Tuesday, August 14, 2007

Aristotle (384-322 SM)

Damin,
ada banyak sebab kenapa nama Aristotle dilihat besar. Pertama, ada kepercayaan kuat di kalangan saintis dan pemikir yang menyatakan pemikiran Aristotle sangat besar pengaruhnya kepada dunia dan ketamadunan keilmuan Islam, terutamanya dalam soal mantiq (logik). Bagaimanapun, pentafsiran dan penilaian semula yang dibuat oleh ilmuwan-ilmuwan Islam ke atas pemikiran itu dikatakan lebih besar dan penting berbanding pemikiran Aristotle sendiri. Itu persepsi umumnya.

Aristotle ialah ahli falsafah Greek yang dididik oleh Plato. Beliau merupakan guru kepada Alexander the Great. Apabila Alexander menjadi raja Macedonia (336 SM), Aristotle mengasaskan Lyceum yang merupakan komuniti untuk menjalankan penyelidikan. Selepas kematian Alexander, Aristotle meninggalkan Athens atas sebab-sebab politik dan kemudiannya meninggal dunia pada tahun berikutnya. Selama hayatnya, Aristotle menulis tidak kurang 400 buah buku meliputi pelbagai cabang pengetahuan. Bagaimanapun, penulisan beliau atas tema-tema biologi, logik dan sains politik adalah antara yang sangat menonjol dan mempengaruhi pemikiran ramai orang.