Friday, January 05, 2007

Akal Budi 72 - Bila Media Menilai Perkhidmatan

Pada seminar ‘Abdullah Ahmad Badawi Tiga Tahun Di Putrajaya: Menjejaki Pencapaian dan Strategi Masa Depan Negara’ yang diadakan di Putrajaya baru-baru ini, timbul beberapa perkara yang amat sesuai untuk ditaakulkan. Pertama, hampir-hampir semua pembentang dan sarjana yang ditemubual oleh pihak media mengaitkan 'keberkesanan' pentadbiran Perdana Menteri dengan aspek-aspek, antara lainnya, integriti, kelembutan dan hemah dalam seni pentadbirannya. Kemahiran berpolitik nampaknya lebih ditekankan. Jika memikirkan dari sudut penyelidikan, semua yang dikaitkan oleh 'sarjana-sarjana' itu merupakan variabel atau pemboleh-pemboleh ubah yang sukar dihitung dengan tepat; non-parametric serta tidak quantifiable.
Seni dan sains pentadbiran berbeza sifatnya walaupun kedua-duanya sangat berkaitan. Dalam hal ini, kontrak atau persetujuan (ijab & kabul) yang mengikat urusan dan hubungan antara kerajaan dengan rakyat tetap juga sama: bahawa kerajaan mestilah dalam apa perkara dan keadaan sekalipun, memberi perkhidmatan tidak berbelah bagi kepada rakyat. Dengan kata lain, keutamaan mana-mana kerajaan mestilah bertumpu kepada kesejahteraan rakyat. Kerajaan yang berkesan mesti mampu menunjukkan pada setiap masa bahawa rakyat sentiasa berasa sejahtera dan tidak terancam. Oleh itu, sekiranya media ingin mengungkapkan kejayaan sesuatu jabatan atau malah sesebuah kerajaan, seharusnya mereka mendapatkan lebih banyak perakuan dan pengiktirafan daripada komponen yang lebih penting daripada sebilangan sarjana atau ahli politik, iaitu tekankan sentimen rakyat. Itu barangkali jauh lebih berkesan dan bermakna. Dengan itu, tentunya sentimen yang berunsurkan altruisme akan lebih menonjol dan dihargai ramai.