"Sebenarnya amatlah mudah untuk marah - sesiapa pun boleh melakukannya. Namun untuk berasa marah atau bertindak terhadap orang yang sepatutnya, pada tahap yang betul, pada masa yang tepat, dengan cara yang sesuai dan kena, ia tidaklah semudah itu. Bukan setiap orang mampu melakukannya. Untuk melakukan semua itu adalah sesuatu yang sangat jarang, namun terpuji dan amat mulia".
Mendalami kata-kata Aristotle itu memerlukan beberapa pertimbangan. Pertama, soal masa. Masa sangat berkait dengan beberapa unsur lain, terutamanya konteks, jarak, tempat dan kesegeraan (urgency) atau boleh juga dikaitkan dengan keutamaan serta sasaran yang dipilih.
Kebiasaannya, dalam banyak keadaan, marah sebenarnya merupakan satu daripada beberapa jenis emosi. Emosi? Mudahnya, emosi adalah benteng psikologi seseorang yang terbentuk atau terluah sewaktu perasaannya terkesan oleh sesuatu, seperti kata-kata yang didengar atau imej yang dilihat. Secara tidak langsung, emosi memberi gambaran keadaan perasaan seseorang pada satu masa tertentu. Ia adalah pantulan atau balikan pemikiran. Psikologis seperti Plutchik, Darwin serta Wundt mengaitkan keadaan ini dengan keupayaan pemikiran seseorang dalam menghadapi sesuatu situasi. Apabila tercabar, seseorang itu kemudiannya membuat pilihan dengan satu objektif di hatinya - membina benteng atau pertahanan dirinya dengan membuat satu pilihan. Contohnya, dia akan memilih untuk sama ada gembira atau sedih, menerima atau menyampah, marah atau takut, ataupun barangkali dia akan sama ada terkejut atau bersedia untuk bertenang.
Sekiranya yang dipilih itu bersifat agresif/defensif, maka rentetan tindakan balas - biasanya negatif - akan menyusul. Dia memilih untuk menyerang sama ada memarahi, memaki hamun, berkurang ajar melalui ekspresi wajah serta tingkah laku misalnya. Kesannya amat nyata. Setiap kata dan tindakan jauh daripada rasionaliti walau pun dia sebenarnya seorang yang normal pada kebanyakan masa lain. Dia yang merupakan pasangan paling intim dan mesra boleh berubah seolah-olah dia musuh paling berbahaya yang sarat dengan dendam kesumat.
Dalam emosi sebegitu, tidaklah sukar untuk dimengerti segala tingkah laku seseorang. Malah tidak ada keperluan untuk terlalu memahami atau menduga pelbagai soalan mengenai kenapa ia lakukan apa yang dilakukannya sewaktu di dalam keadaan itu. Sekiranya dia adalah teman paling rapat, jangan berkecil hati jika ia berubah menjadi musuh paling menjengkelkan. Usah kecewa sekiranya dia sentiasa mesra dan sangat berbaik hati dengan orang lain walaupun orang-orang lain itu tidak sentiasa berada bersamanya walhal dia sering berada di samping kita sehinggakan kita bahkan berasa dia sentiasa menjadikan kita tempat melepaskan kemarahan dan maki hamun - jika tidak diucapkannya terus ke muka kita mungkin digunakannya rangkaian sosial seperti facebook kerana dia mungkin rasa berpuas hati begitu. Teruslah tenang meskipun sewaktu beremosi dia tidak lagi memesrai kita seperti berlalu meninggalkan kita tanpa bersalam atau bersuara lunak seperti selalunya.