Wednesday, March 07, 2012

BERSEMADILAH, OPAH


SEKEPAL TANAH

Merah tanah ini
dikepal dalam genggaman
adalah bulatnya azam
daripada harapan
atas perjanjian
dengan Tuhan

(Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam, 6 Mac 2012)

Sewaktu hampir Asar, setelah mengharungi hidup selama lebih daripada 72 tahun di dunia ini, Opah - Selamah Ayub - meninggalkan anak-anak dan cucu-cucunya untuk selama-lamanya. Beberapa hari sebelumnya, di Institut Jantung Negara, Opah bergelut dengan sisa-sisa nafasnya yang kian menipis. Opah mengadu kepenatan. Salur-salur darahnya yang hampir-hampir sudah tidak boleh digunakan kesemuanya melemahkan jantung Opah sehingga ke saat-saat akhir usia. Dalam proses merawatnya, Opah dibisikkan dengan gambaran yang sangat menyulitkan. Pembedahan terlalu sukar dilakukan kerana hanya tinggal seurat saja lagi salur darah yang masih berfungsi; namun urat yang satu itu pun sudah terlalu uzur dan hanya menunggu masa untuk rosak. Gambarannya seumpama selaput luar telur rebus yang sudah kering, hanya menunggu retak dan pecah.

Lewat pagi Rabu, 7 Mac 2012, Opah disimpan kemas di bumi Seksyen 21, Shah Alam selepas dimandikan sesucinya di Surau Bukit Jelutung Shah Alam. Opah sudah pergi. Ainul, Shukri, Zaliha, Zarina dan Yati terus menanti. Opah adalah lambang isteri dan ibu mithali. Opah menyimpan dukanya selama terdaya. Opah menyembunyikan bimbang dan sugulnya di sejadah selama hayatnya. Opah adalah lambang azam dan harapan yang sentiasa mengerdip di hati. Bersemadilah dengan tenang, Opah.