Friday, March 23, 2012

CAHAYA DAN KEGELAPAN

"Sebenarnya amatlah mudah untuk marah - sesiapa pun boleh melakukannya. Namun untuk berasa marah atau bertindak terhadap orang yang sepatutnya, pada tahap yang betul, pada masa yang tepat, dengan cara yang sesuai dan kena, ia tidaklah semudah itu. Bukan setiap orang mampu melakukannya. Untuk melakukan semua itu adalah sesuatu yang sangat jarang, namun terpuji dan amat mulia".

Mendalami kata-kata Aristotle itu memerlukan beberapa pertimbangan. Pertama, soal masa. Masa sangat berkait dengan beberapa unsur lain, terutamanya konteks, jarak, tempat dan kesegeraan (urgency) atau boleh juga dikaitkan dengan keutamaan serta sasaran yang dipilih.

Kebiasaannya, dalam banyak keadaan, marah sebenarnya merupakan satu daripada beberapa jenis emosi. Emosi? Mudahnya, emosi adalah benteng psikologi seseorang yang terbentuk atau terluah sewaktu perasaannya terkesan oleh sesuatu, seperti kata-kata yang didengar atau imej yang dilihat. Secara tidak langsung, emosi memberi gambaran keadaan perasaan seseorang pada satu masa tertentu. Ia adalah pantulan atau balikan pemikiran. Psikologis seperti Plutchik, Darwin serta Wundt mengaitkan keadaan ini dengan keupayaan pemikiran seseorang dalam menghadapi sesuatu situasi. Apabila tercabar, seseorang itu kemudiannya membuat pilihan dengan satu objektif di hatinya - membina benteng atau pertahanan dirinya dengan membuat satu pilihan. Contohnya, dia akan memilih untuk sama ada gembira atau sedih, menerima atau menyampah, marah atau takut, ataupun barangkali dia akan sama ada terkejut atau bersedia untuk bertenang.

Sekiranya yang dipilih itu bersifat agresif/defensif, maka rentetan tindakan balas - biasanya negatif - akan menyusul. Dia memilih untuk menyerang sama ada memarahi, memaki hamun, berkurang ajar melalui ekspresi wajah serta tingkah laku misalnya. Kesannya amat nyata. Setiap kata dan tindakan jauh daripada rasionaliti walau pun dia sebenarnya seorang yang normal pada kebanyakan masa lain. Dia yang merupakan pasangan paling intim dan mesra boleh berubah seolah-olah dia musuh paling berbahaya yang sarat dengan dendam kesumat. 

Dalam emosi sebegitu, tidaklah sukar untuk dimengerti segala tingkah laku seseorang. Malah tidak ada keperluan untuk terlalu memahami atau menduga pelbagai soalan mengenai kenapa ia lakukan apa yang dilakukannya sewaktu di dalam keadaan itu. Sekiranya dia adalah teman paling rapat, jangan berkecil hati jika ia berubah menjadi musuh paling menjengkelkan. Usah kecewa sekiranya dia sentiasa mesra dan sangat berbaik hati dengan orang lain walaupun orang-orang lain itu tidak sentiasa berada bersamanya walhal dia sering berada di samping kita sehinggakan kita bahkan berasa dia sentiasa menjadikan kita tempat melepaskan kemarahan dan maki hamun - jika tidak diucapkannya terus ke muka kita mungkin digunakannya rangkaian sosial seperti facebook kerana dia mungkin rasa berpuas hati begitu. Teruslah tenang meskipun sewaktu beremosi dia tidak lagi memesrai kita seperti berlalu meninggalkan kita tanpa bersalam atau bersuara lunak seperti selalunya.

Sabar. Maafkan dia dan maafkan diri kita. Kemarahan adalah umpama ranting kering yang membesarkan unggun api. Usahlah menyalahkan kegelapan. Carilah cahaya.         

Thursday, March 08, 2012

MASA

Saya tidak pasti kenapa saya begitu hormat dan menghargai masa. Saya juga tidak dapat mengingati saat-saat awal saya mula menjadi seorang yang sangat mengambil berat mengenai masa. 

Apa yang pasti, saya senang dan agak akrab dengan masa. Masa menjadi kunci yang membuka segala peti, rahsia atau terbuka. Saya sentiasa merindui masa.

PERCAYA


Ibarat lilin yang menyala, kepercayaan mengerdip antara sela-seli hembusan angin. Siapa yang memilih untuk mempercaya atau sebaliknya, sama ada dia yang menghembus atau dia yang terkena hembusannya, jarang dipersoal selama kepercayaan itu terus dinyalakan. Pilihlah antara keduanya.

Wednesday, March 07, 2012

BERSEMADILAH, OPAH


SEKEPAL TANAH

Merah tanah ini
dikepal dalam genggaman
adalah bulatnya azam
daripada harapan
atas perjanjian
dengan Tuhan

(Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam, 6 Mac 2012)

Sewaktu hampir Asar, setelah mengharungi hidup selama lebih daripada 72 tahun di dunia ini, Opah - Selamah Ayub - meninggalkan anak-anak dan cucu-cucunya untuk selama-lamanya. Beberapa hari sebelumnya, di Institut Jantung Negara, Opah bergelut dengan sisa-sisa nafasnya yang kian menipis. Opah mengadu kepenatan. Salur-salur darahnya yang hampir-hampir sudah tidak boleh digunakan kesemuanya melemahkan jantung Opah sehingga ke saat-saat akhir usia. Dalam proses merawatnya, Opah dibisikkan dengan gambaran yang sangat menyulitkan. Pembedahan terlalu sukar dilakukan kerana hanya tinggal seurat saja lagi salur darah yang masih berfungsi; namun urat yang satu itu pun sudah terlalu uzur dan hanya menunggu masa untuk rosak. Gambarannya seumpama selaput luar telur rebus yang sudah kering, hanya menunggu retak dan pecah.

Lewat pagi Rabu, 7 Mac 2012, Opah disimpan kemas di bumi Seksyen 21, Shah Alam selepas dimandikan sesucinya di Surau Bukit Jelutung Shah Alam. Opah sudah pergi. Ainul, Shukri, Zaliha, Zarina dan Yati terus menanti. Opah adalah lambang isteri dan ibu mithali. Opah menyimpan dukanya selama terdaya. Opah menyembunyikan bimbang dan sugulnya di sejadah selama hayatnya. Opah adalah lambang azam dan harapan yang sentiasa mengerdip di hati. Bersemadilah dengan tenang, Opah.

Saturday, March 03, 2012

DIAM



"Cogito ergo sum", kata Descartes, ahli falsafah Perancis. Ungkapan itu, "Saya fikir, maka itulah saya", barangkali cukup untuk menjelaskan bagaimana proses pemikiran membentuk jiwa dan personaliti manusia.

Dalam tradisi Inggeris, sarjana selalu menyarankan supaya elakkan daripada menggunakan ungkapan "I don't think...". Alasannya adalah sekiranya diungkapkan kata-kata "I don't think.." atau "Saya tidak fikir...", ertinya si penutur itu bukanlah dirinya yang sebenarnya. Barangkali dia berkias-kias. Mungkin juga dia menyembunyikan sesuatu.

Ada pula ketikanya, dalam keadaan biasa, seseorang sekadar menyebut "Nantilah saya tengok bagaimana caranya untuk..." atau dalam Inggeris, "I will see what I can do...". Ini memberi isyarat bahawa si penutur menggunakan pemikirannya, walaupun apa yang disebutnya adalah 'tengok' dan bukannya 'fikir'. 'Tengok' atau 'lihat' sangat berkaitan dengan 'fikir'.

Bagaimana dengan 'diam'? Dalam sedar - bukannya tidur atau mabuk hilang akal dan sebagainya - diam menggabungkan 'lihat atau renung' yang menjurus kepada berfikir. Lalu, "Diam-diam ubi" dijadikan peribahasa Melayu untuk menjelaskan kelebihan berfikir; sebagaimana juga "Silence is golden" diucapkan dalam budaya Inggeris. Moral kepada coretan ini adalah izinkanlah 'diam' itu dijadikan terminal untuk mendapat ruang dan keselesaan sekali sekala. Hikmahnya sangat besar. dalam dan bermakna