Friday, February 17, 2012

INSOMNIA

Segalanya bermula dengan sesuatu. Tidak ada sesuatu yang terjadi secara kebetulan atau begitu sahaja. Perkataan kebetulan itu sahaja secara ironisnya sudah menggambarkan ia sesuatu yang betul; ertinya ia sudah diatur dan ditetapkan oleh sesuatu untuk menjadi sesuatu dan diletakkan khusus di tempat dan pada masanya. 

Memang, seboleh mungkin semua orang inginkan sesuatu menurut apa yang dimahukan atau dihajatkan. Namun, tidak semuanya dapat diperoleh lebih-lebih lagi pada sesuatu masa. Antara keinginan dan kepunyaan ada jurang yang sangat dalam dan lebar. Malah 'kepunyaan' atau hakmilik itu sendiri perlu diteliti dan direnung  dengan cermat. Kadang-kadang sesuatu yang dilihat baik itu sangat buruk bila diletak di hati manakala yang kelihatannya amat buruk itu rupa-rupanya sangatlah molek dan bersih tatkala disimpan di hati. Ada contoh yang sangat biasa dan mudah namun terlalu bernilai jika diamati. Saya bayangkan ketika ini saya sedang jalan bersendirian di sebuah pasar raya. Antara ramai-ramai orang yang sedang berlegar-legar itu, dengan tiba-tiba saya dihampiri oleh seseorang lalu memohon pertolongan, kurang-lebihnya begini keadaannya:

"Encik, maafkan saya. Saya perlu pertolongan. Saya kehilangan dompet duit saya. Kini saya tidak mempunyai walau sesen pun untuk pulang:, sambil matanya merenung tepat ke mata saya.

Ya, saya boleh katakan itu kebetulan. Antara ramai-ramai orang itu, saya yang dihampirinya dan memohon bantuan. Dalam situasi itu, saya ada pilihan, malah ada banyak pilihan. Lalu saya memilih untuk menghulurkan sedikit wang tanpa mengucapkan apa-apa kepadanya selain daripada sedikit senyuman.

Mungkin dalam hati, saya akan bertanya-tanya, "Mengapa, antara ramai-ramai orang, dia meminta bantuan saya? Mengapa, jika wang yang ada dalam simpanan saya ini, sepatutnya milik saya, tetapi ada orang yang datang meminta sedangkan dia dan saya sendiri tahu bahawa wang tersebut sememangnya ada dalam simpanan saya. Dengan kata lain, bukankah wang itu milik saya? Kepunyaan saya?", soal hati saya lagi.

Begitulah, ada masanya sesuatu menjadi amat sukar untuk ditelah. Ia semakin sulit dan payah untuk dimengerti kerana maklumat dan pengetahuan yang ada pada kita amat terhad mengenai apa yang ada di dalam hati atau kalbu.

Mungkin situasi ini ibarat insomnia. Kita perlukan sesuatu - tidur umpamanya - namun apabila tidur itu disusahkan oleh keadaan jaga dan sedar berpanjangan sehingga kita terus tidak berupaya untuk tidur, maka perlahan-lahan ia menjadi sesuatu yang dianggap sebagai penyakit dan tidak diingini sama sekali. Tentu sahaja, pada ketika ini, adalah lebih baik untuk tidak cuba memahami. Sekurang-kurangnya kita  tidak diusik igauan insomnia; dan tentu sahaja tidak memerlukan ubat semata-mata untuk menikmati tidur kita. Kita pun berharap semoga insomnia itu tidak beranjangan.

- nasha dalam ingatan -