
Analogi mudah mungkin boleh dibuat dengan memikir sejenak fakta kejadian dan perkembangan manusia. Meringkaskan cerita, seawal-awal pembenihan berlaku dalam kandungan atau rahim seorang wanita, bermacam-macam situasi susah, sulit dan payah perlu ditangani. Pembawa kandungan biasanya menghadapi pelbagai keadaan yang dianggapnya sukar: loya, pening, suhu badan yang sering dirasakan meninggi, muntah, dan kepenatan. Emosi kemudiannya seakan-akan dihayun pergi dan balik, sekaligus mencetuskan potensi situasi tegang yang tidak berarah.
Proses membuat pilihan perlu dilakukan, ada masanya dalam waktu yang sangat singkat lantaran didorong oleh pelbagai pertimbangan. Lalu, setiap perkara menjadi isu yang berpotensi menjadi masalah kemudiannya. Fikir berapa kerap isu-isu seperti mencari doktor yang sesuai, menetapkan waktu pertemuan rawatan di klinik bersama pasangan dapat dirancangkan dengan mudah, memikirkan soal kos yang akan ditanggung, memastikan emosi kedua-dua pasangan sentiasa tenang dan terkawal, atau mungkin juga mengenai soal-soal lain yang ada kalanya memang di luar daripada konteks yang tercetus dari semasa ke semasa yang menjadikan proses kehamilan sebagai sesuatu yang dipersalah kerana sulit dan susahnya.
Ia tidak terhenti di situ sahaja. Pada saat-saat kelahiran, persepsi mengenai kesusahan dan kepayahan masih menguasai proses membuat pilihan dan menentukan tindakan, seolah-olah seluruh alam dihiruk-pikukkan oleh suasana tidak menentu. Antara keterujaan dan keributan menerima 'orang baru', kesusahan dan kepayahan kelihatannya menjadi urusan semua orang. Soal orang-orang itu berkaitan atau tidak dengan si pembawa kandungan bukan lagi menjadi isu peribadi kerana kini ia berubah menjadi soal manusiawi; tidak ada siapa yang boleh menentukan bahawa hak itu masih kekal sebagai hak individu atau urusan peribadi lagi. Maka, berkejaranlah sesiapa pun yang berada dalam situasi seseorang yang akan hampir melahirkan kandungan itu melakukan apa sahaja difikirkan wajar semata-mata untuk menenangkan dan memudahkan keadaan. Ini soal dan sifat manusiawi. Ia situasi yang susah dan payah. Namun kepayahan dan kesusahan itu menjadi sesuatu yang mengikat hubungan manusia secara murni.