Thursday, April 08, 2010

EKONOMI MALAYSIA: LAMA & BARU

Saya sempat menghadiri - sebagai peserta - ceramah sambil menikmati hidangan tengahari (luncheon talk) yang dianjurkan oleh Inmind pada 7 April 2010 lalu di Ballroom, Hotel Holiday Inn Glenmarie.

Ceramah tersebut, atas tajuk "Model Ekonomi Baru - Mengubah Ancaman, Meraih Peluang" disampaikan oleh Dato' Mohd Salleh Majid.

Satu daripada beberapa hal yang agak jelas berkenaan Model Ekonomi Baru Malaysia adalah kenyataan bahawa topik tersebut belum lagi begitu diperinci oleh Perdana Menteri sehingga entri ini ditulis. Jadi, saya menjangkakan sejak awal, ceramah sepertimana yang disampaikan oleh Dato' Salleh Majid itu tentunya sekadar perkongsian maklumat umum berdasarkan pemerhatian dan analisis beliau yang berpengalaman luas dalam soal perekonomian khususnya. Atas kapasiti beliau yang mengganggotai beberapa badan dan agensi penting yang berkaitan dengan pembuatan dasar berkaitan ekonomi negara, ceramah itu tentunya sangat releven dengan pandangan peribadi beliau sendiri terutamanya berkaitan dengan soal-soal tafsiran terhadap rangka kerja model baru ekonomi negara yang diangkat oleh Perdana Menteri itu. Kandungan model baru itu sendiri, bagaimana pun, saya fikir tidak memerlukan pengulangan kerana ia sudah diumumkan berkali-kali oleh Perdana Menteri sendiri sama ada melalui siri ucapan beliau, mahu pun melalui bentuk cetakan yang sudah pun diterbitkan di mana-mana.

Ada beberapa perkara yang sempat saya kutip berdasarkan ucapan beliau yang berlangsung selama kira-kira 3 jam itu.

Satu sahaja isu yang saya ingin sentuh, mengenai prinsip dan inisiatif pembaharuan strategik. Tiga prinsip yang diperaku oleh NEAC - (1) berpendapatan tinggi; (2) kemapanan; dan (3) keterangkuman - dipercayakan oleh pihak kerajaan sebagai prinsip-prinsip yang berupaya memacu ekonomi negara secara positif dan berkesan. Selanjutnya, lapan inisiatif pembaharuan strategik itu pula - merangkumi (1) menyuburkan sektor swasta untuk merajui pertumbuhan ekonomi; (2) membangun tenaga kerja berkualiti dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing; (3) mewujudkan ekonomi domestik yang berdaya saing; (4) memperkukuh sektor awam; (5) melaksanakan tindakan afirmatif yang telus dan mesra pasaran; (6) membina infrastruktur berasaskan pengetahuan; (7) meningkatkan sumber pertumbuhan; dan (8) memastikan pertumbuhan yang mapan - dikatakan sebagai komponen yang saling memperlengkap ke arah pencapaian pertumbuhan KDNK yang tinggi.

Saya memikirkan mengenai satu hal yang agak besar: Prinsip ke lima (berkenaan dasar afirmatif) seperti yang digariskan oleh Perdana Menteri itu memerlukan saya untuk memikir lebih dalam akan maksud sebenarnya. Model Ekonomi Baru Malaysia itu dikatakan 'non-ethnic based', atau tidak bedasarkan pertimbangan etnik. Jadi, 'melaksanakan tindakan afirmatif yang telus dan mesra pasaran' itu pastinya bersangkutan dengan unsur-unsur lain, yang bukan berkaitan dengan etnik, bukan berkaitan dengan Melayu, Cina, India, Bumiputera dan seumpamanya. 

Jika itu keadaannya, jelaslah bahawa dasar baru ini - yang kini dinamai sebagai 'model' oleh Perdana Menteri - sangat berlainan sama sekali dengan ideologi ekonomi negara ini sebelum ini, khususnya sosialisma dan kapitalisma (dua tiga hari lepas Tun Dr mahathir mengungkapkan betapa perlunya dikaji semula kapitalisma ekonomi negara ini).

Ertinya juga, dasar-dasar ekonomi dan segala yang berkaitan dengannya mulai model baru itu - Model Ekonomi Baru Malaysia - keseluruhannya berjiwa MALAYSIA (atau 1Malaysia); begitu. Tidak timbul lagi soal-soal etnik mana-mana pun. Sekadar maklum, Rancangan pembangunan Am 1956 (yang merupakan asas kepada Rancangan Pembangunan negara sehingga sekarang) dulu, membawa kepada Rancangan Malaysia Kedua (pentingnya kerana DEB dilancarkan di sini) sehinggalah kepada Rancangan Malaysia Ke Sembilan, ideologinya menumpu langsung kepada Kapitalisma dan sedikit sebanyak heretan Sosialisma yang diwarisi sejak Rancangan Malaysia Kedua dahulu. Lalu, sekadar diamati semula, sejak permulaan DEB,semuanya dilihat atas perkiraan etnik - misalnya, luar bandar (atau kampung) itu miskin; miskin disamakan dengan mundur; mundur disamakan pula dengan tradisional (berlawanan dengan moden); tradisional itu kerana mundur sifatnya lalu dikatakan berproduktiviti rendah; dan kerana berproduktiviti rendah (lantaran teknologi sektor mundur itu juga rendah), maka pendapatan orang-orang di sektor luar bandar itu juga sentiasa rendah. orang-orang yang mendiami sektor luar bandar itu majoritinya Melayu. Noktah.

Berbalik kepada model baru ekonomi Malaysia, analisis awal yang dibuat oleh beberapa pemikir yang saya sempat jengah kandungan fikiran mereka, termasuk yang terbaru, Dato' Salleh Majid, menyimpul kepada tesis bahawa Model Ekonomi Baru Malaysia itu sangat politikal sifatnya. Tidaklah semudah itu untuk mentafsir model baru itu jika sekadar mengira-ngira soal-soal ekonomi semata-mata. Ia memerlukan lebih daripada itu.

Pada hujung acara, saya mengajukan soalan kepada beliau, "Adakah Dato' sanggup untuk mengatakan bahawa Model Ekonomi Baru Malaysia itu berkemungkinan memberikan impak yang lebih mencabar kepada usaha-usaha memajukan ekonomi negara jika bersandarkan ideologi baru itu?"

"Model ini berperspektifkan politik, yang menghalusi cara-cara untuk memajukan ekonomi. ", ujar beliau, diam sebentar, kemudian menyambung pendek, "Lihat siapa-siapa dalam NEAC".