Friday, April 16, 2010

DINIHARI DI PANTAI


Menguruskan badan-badan sukan bukanlah mudah. Semua perkara perlu diteliti sehingga sekecil-kecil isu peribadi turut berpotensi menjejaskan perjalanan dan kelancaran pentadbiran dan pengurusan badan sukan itu sendiri. Persatuan-persatuan yang kita perlu berikan perhatian utama sekarang ini pun bukannya persatuan yang kecil-kecil, besar-besar belaka!”
Saya sekadar mengiyakan kata-kata Datuk Nik Mahmud itu. Lewat malam itu kami berbual panjang. Suasana di lounge sebuah resort yang agak menenangkan di Port Dickson itu menjadikan perbualan kami tidak terasa sehingga melalut ke dinihari. Datuk Nik, Pesuruhjaya Sukan Malaysia sejak dua tahun lalu – selepas menggantikan Tan Sri Elyas Omar – bukanlah orang baru dalam dunia sukan tanah air. Kerjaya beliau seolah-oleh terikat dengan perkembangan sukan Negara ini terutamanya sewaktu berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian berkenaan. Ikatan itu semakin menyimpul apabila dilantik sebagai Pesuruhjaya Sukan Malaysia.

Ketika sesi penyampaian saya berlangsung di hadapan mereka, saya sebutkan kepada Datuk Nik dan anak-anak buahnya di dewan seminar itu bahawa mengurus konflik badan-badan sukan memerlukan lebih daripada kemahiran pengurusan. Lihat MPGA misalnya, atau persatuan Taekwondo umpamanya. Kemahiran mengurus semata-mata – seperti merancang, menyusun bajet, mengorganisasi atau sekadar menyelia pekerja – tidak berupaya menyelesaikan kemelut kepemimpinan persatuan atau badan organisasi itu sekiranya tidak diolah dengan kreativiti dan keupayaan memimpin dan mentadbir yang cekap dan berkesan. Itu turut dipersetujui pegawai-pegawai lain yang ada bersama kami pada malam itu sambil menikmati teh panas. Penasihat Undang-Undang serta Pengarah Jabatan, yang bersama-sama kami pada malam itu tahu semuanya perkara yang diutamakan itu.

Apa pun, kami menerima konsensus bahawa isu politik dan kepentingan peribadi merupakan antara perkara-perkara sensitif yang menentukan perkembangan dan pembangunan badan-badan sukan secara umumnya. Segi-segi perundangan turut perlu diberikan perhatian. Sentimen umum pada dasarnya melihat kemelut pengurusan badan sukan sebagai sesutau yang sukar diselesaikan secara terbuka melalui proses perbicaraan di mahkamah pengadilan. Konvensyen dan norma turut menjadi rujukan utama lebih-lebih lagi apabila melihat kepada fakta bahawa badan-badan sukan di Negara ini tidak banyak dioperasikan atas kaedah persendirian sebagaimana di Negara-negara Barat khususnya. Dana yang disalurkan kebanyakannya datang daripada kerajaan, menjadikan faktor kewangan sebagai medan kuasa yang berupaya sama ada menarik atau menolak konflik menurut mana-mana hala tertentu. Akhirnya, kepemimpinan menjadi penentu utama yang memberikan arah dan corak pentadbiran badan sukan sendiri.

Sembang-sembang larut malam kami pada malam itu berakhir dengan kebimbangan kami yang berasas. Badan-badan tertentu perlu diperhatikan dan dijaga dengan cermat. Sentimentalisma serta romantisisma tertentu yang dibawa oleh sukan tertentu perlu diperlihara atas banyak sebab yang menasabah. Kami memohon undur diri masing-masing sesudah bersetuju untuk mengerjakan beberapa hal lain sebagai projek masa hadapan.

Hujan lebat malam - dan kemudiannya hujan lagi selebat-lebatnya pada awal pagi esoknya - itu kebetulannya berhenti pada saat-saat kami tidak lagi mempunyai isu-isu lain untuk diborakkan. Bunyi gempita deruan ombak di belakang resort mengundang keinginan saya untuk bermalas-malas pada dinihari itu di persisiran pantai yang basah oleh air daripada hujan yang turun sebelum itu. Ralatnya saya kerana terlupa untuk memasukkan joran saya kembali ke but kereta sewaktu meninggalkan Shah Alam dua hari lepas!