Saturday, March 13, 2010

BERSEMADILAH DALAM KENANGAN, EDDY

Eddy cuma tersenyum sewaktu kami bertemu kali pertama. Jarak kami yang agak jauh, kira-kira 30 meter, sewaktu pertemuan itu - kami berjalan menurut arah bertentangan dan saya cuma sekadar menoleh untuk berinteraksi dengannya - membataskan kebiasaan untuk bersalam-salaman dan bertanya khabar. Ketika itu pula, Eddy dan rakan karibnya, Khirriah, sedang bergegas untuk ke kuliah di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media yang terletak di belakang bangunan pejabat saya. Laluan pintas yang mereka selalu ikuti memerlukan mereka untuk melewati pejabat saya di situ. Selepas pertemuan itu, Eddy berkesempatan meluangkan masa menziarahi saya di bilik pejabat saya beberapa kali. Eddy agak pemalu. Dia sangat berhati-hati sebelum menuturkan sebarang kata-kata. Saya mengambil sedikit masa untuk memperoleh kepercayaannya sebelum dia mula menunjukkan sedikit kemesraan kemudiannya. 

Itu berlaku kira-kira pertengahan Januari 2007 dahulu.

Petang ini, saya terima khabar Eddy sudah kembali ke RahmatuLlah pada malam tadi. Ada sedikit kesedihan - mungkin juga bercampur kesalan - kerana berita ketiadaan Eddy saya terima agak lewat. Apa pun, saya sangat berterima kasih kepada Finaz (TV9) dan Eliza (teman sepengajian Eddy) kerana memanjangkan dan mengesahkan hal kehilangan Eddy itu.

Saya tidak berkesempatan menziarahi Eddy pada hari-hari terakhir usianya. Johor Baru itu tidaklah begitu jauh jaraknya dari Shah Alam, namun urusan-urusan peribadi saya melengahkan masa dan perhatian saya. Melalui telefon, saya berbicara - itu yang terakhir - dengan Eddy. Eddy sudah tidak berupaya untuk berbuat apa-apa selain berbaring di katil.

"Apa khabar, Doc? Doc ok?"   

Dalam keadaannya sebegitu, dengan nada suaranya yang sangat perlahan, namun cukup lembut dan dalam, Eddy sempat menanyakan khabar saya ketika itu.

Saya memilih untuk tidak berbual lebih lama dengan Eddy selepas itu. Saya fikir saya tidak mampu menipu diri saya sendiri ketika perbualan itu berlangsung. Saya tidak pasti perasaan sebenar saya apabila dia bertanya sama ada saya 'ok' sedangkan sebaliknya saya sendiri tidak mempunyai barang sedikit kekuatan sekali pun untuk menanyakan khabarnya pada waktu itu. Bunyinya memang klise jika saya bertanya sama ada "Eddy ok?" walhal saya tahu bahawa Eddy sudah terlantar agak lama.

Saya ingin berbicara lebih lama dengan Eddy. Pada tempoh agak lewat perkenalan kami, Eddy semakin berkongsi banyak perkara dengan saya. Saya percaya Eddy juga sangat memahami bahawa saya sudah tidak terlalu berahsia dengannya terutamanya pada saat-saat akhir usianya. 

Selamat bersemadi, Eddy.