Tuesday, March 23, 2010

BERKAMPUNG DI DUNGUN

Golf Jemputan Jelajah Terengganu sudah menjadi tradisi bagi Kampus Terengganu, seingat saya sejak 2001 atau mungkin setahun selepas itu. Acara hujung minggu yang dianjurkan secara tahunan ini sentiasa sahaja menjadi sesuatu yang sentiasa dinanti-nantikan.

Biar pun ada beberapa kampus yang lain turut menganjurkan acara yang serupa sekali dalam setahun, namun Jelajah Terengganu selalunya menjadi acara yang jarang sekali dilepaskan oleh setiap ahli. Suasana Dungun yang tenang, damai dan menyenangkan, makanan yang pelbagai yang boleh dinikmati dengan mudah pada sepanjang jalan berhadapan pantai, ditambah pula dengan keramahtamahan dan kemesraan berlebihan di pihak Pengarah kampus Dungun, YM Tengku Yusuf - kami lebih senang memanggil beliau TY sahaja - menjadikan acara tahunan Terengganu Tour ini sebagai acara yang tetap dan pasti mengisi slot dalam kalendar rasmi masing-masing.

Bukanlah acara permainan golf itu sendiri yang menjadi kegilaan atau tarikan utama perkampungan seperti ini dianjurkan pada setiap tahun. Golf hanya sekadar platform untuk bertemu dan berkumpul bersama-sama dua atau tiga hari pada hujung minggu yang terpilih. Tambah-tambah bagi pemain seperti saya ini - yang kesempatan untuk bermain golf hanya mungkin diusahakan paling-paling sekali dalam sebulan namun selalunya lebih lama daripada itu - perkumpulan seperti ini merupakan peluang berharga untuk bertemu semua rakan lama yang sudah saling mengenal bertahun-tahun.

Pada pertemuan seumpama inilah kami mendapat perkhabaran mengenai siapa yang telah meninggalkan kami terlebih dahulu, sebelum kami susul mengikut ketentuan takdir ilahi. Usia yang semakin ke penghujung menjadikan kami semakin menghargai kehadiran rakan-rakan pada setiap kali bertemu dalam acara-acara seperti ini.

"Jom makan ICT?", pelawa seorang daripada rakan."Boleh", balas kami, "Di mana?", soal kami lagi.

ICT - Ikan Celup Tepung, makanan paling popular antara kalangan kami!

Terima kasih TY!

Saturday, March 13, 2010

BERSEMADILAH DALAM KENANGAN, EDDY

Eddy cuma tersenyum sewaktu kami bertemu kali pertama. Jarak kami yang agak jauh, kira-kira 30 meter, sewaktu pertemuan itu - kami berjalan menurut arah bertentangan dan saya cuma sekadar menoleh untuk berinteraksi dengannya - membataskan kebiasaan untuk bersalam-salaman dan bertanya khabar. Ketika itu pula, Eddy dan rakan karibnya, Khirriah, sedang bergegas untuk ke kuliah di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media yang terletak di belakang bangunan pejabat saya. Laluan pintas yang mereka selalu ikuti memerlukan mereka untuk melewati pejabat saya di situ. Selepas pertemuan itu, Eddy berkesempatan meluangkan masa menziarahi saya di bilik pejabat saya beberapa kali. Eddy agak pemalu. Dia sangat berhati-hati sebelum menuturkan sebarang kata-kata. Saya mengambil sedikit masa untuk memperoleh kepercayaannya sebelum dia mula menunjukkan sedikit kemesraan kemudiannya. 

Itu berlaku kira-kira pertengahan Januari 2007 dahulu.

Petang ini, saya terima khabar Eddy sudah kembali ke RahmatuLlah pada malam tadi. Ada sedikit kesedihan - mungkin juga bercampur kesalan - kerana berita ketiadaan Eddy saya terima agak lewat. Apa pun, saya sangat berterima kasih kepada Finaz (TV9) dan Eliza (teman sepengajian Eddy) kerana memanjangkan dan mengesahkan hal kehilangan Eddy itu.

Saya tidak berkesempatan menziarahi Eddy pada hari-hari terakhir usianya. Johor Baru itu tidaklah begitu jauh jaraknya dari Shah Alam, namun urusan-urusan peribadi saya melengahkan masa dan perhatian saya. Melalui telefon, saya berbicara - itu yang terakhir - dengan Eddy. Eddy sudah tidak berupaya untuk berbuat apa-apa selain berbaring di katil.

"Apa khabar, Doc? Doc ok?"   

Dalam keadaannya sebegitu, dengan nada suaranya yang sangat perlahan, namun cukup lembut dan dalam, Eddy sempat menanyakan khabar saya ketika itu.

Saya memilih untuk tidak berbual lebih lama dengan Eddy selepas itu. Saya fikir saya tidak mampu menipu diri saya sendiri ketika perbualan itu berlangsung. Saya tidak pasti perasaan sebenar saya apabila dia bertanya sama ada saya 'ok' sedangkan sebaliknya saya sendiri tidak mempunyai barang sedikit kekuatan sekali pun untuk menanyakan khabarnya pada waktu itu. Bunyinya memang klise jika saya bertanya sama ada "Eddy ok?" walhal saya tahu bahawa Eddy sudah terlantar agak lama.

Saya ingin berbicara lebih lama dengan Eddy. Pada tempoh agak lewat perkenalan kami, Eddy semakin berkongsi banyak perkara dengan saya. Saya percaya Eddy juga sangat memahami bahawa saya sudah tidak terlalu berahsia dengannya terutamanya pada saat-saat akhir usianya. 

Selamat bersemadi, Eddy.

Sunday, March 07, 2010

SESUDAH SEMINGGU, LAGI

Setelah menghitung, rupa-rupanya hanya dua hari sahaja saya berpeluang berada di lingkungan kampus pada minggu lepas. Dua hari itu pun semuanya dihabiskan di luar daripada pejabat saya atau di pejabat pentadbiran kerana kedua-dua hari itu diisi dengan mesyuarat dan acara lain, khususnya mengenai KRA (Inggeris: Key Result Areas; Melayu: Bidang-Bidang Keberhasilan Utama). Saya fikir tidak perlu saya ceritakan semuanya di sini mengenai KRA itu; sasarannya sangat terhad, mungkin hanya dalam kalangan yang berkepentingan sahaja. Saya sempat mengajukan beberapa soalan kepada perunding KRA itu. Saya di acara itu pun bersama-sama Datuk Ramlah, Dekan FSPPP; mungkin agak kurang kena masa dan tempatnya untuk menanyakan lebih banyak. Apa pun, saya fikir saya dapat menangkap agak banyak juga hal-hal tertentu yang menjadi persoalan penyelidikan saya mengenai pengurusan perubahan dalam organisasi. Kebetulannya, ketika itu saya sudah memikirkan yang saya akan menghadiri Certificate in Change Management kelolaan Pennsylvania State University (entah berapa banyak sijil yang saya sudah ada mengenai pengurusan perubahan pun saya tidak pasti, tetapi agak banyak juga, seingat saya sejak tahun 2000 dahulu) yang diadakan di Hotel PJ Hilton.

Kali ini - 4 hingga 6 Mac 2010 - saya berpeluang menyertai kuliah-kuliah dan klinik mengenai pengurusan perubahan yang dikendalikan oleh Prof Dr Rothwell dari Penn-State University, Amerika Syarikat. Meski pun tidak banyak maklumat baru yang saya perolehi kerana teori dan model mengenai bidang itu masih juga di sekitar binaan teori yang sama - misalnya dalam bentuk-bentuk ciptaan Lewin, Senghe, Kotter, Lippit dan Rothwell sendiri - namun beberapa maklumat disiplin-bantu yang dipertonton oleh Prof Rothwell sedikit sebanyaknya sangat bermanfaat. Kesempatan menambah maklumat baru itu juga diperkaya lagi oleh peluang untuk saya bertemu sama ada dengan orang-orang baru yang berurusan langsung dengan bidang pengurusan perubahan di organisasi masing-masing atau pun dengan sahabat-sahabat yang sudah lama saya tidak temui, seperti Kamaruddin (sahabat seasrama di Universiti Malaya sejak tahun 1983 dahulu).

Selain itu, kursus 3 hari itu juga dapat diredakan keletihan (dan sedikit kebosanannya, kadang-kala) dengan adanya sahabat-sahabat seperti Aniah (Timbalan Pendaftar), Alfina (Penolong Pendaftar), Ehsan (Timbalan Pendaftar), Ismie Roha (orang kuat IlQaM), dan Dr Zura (ahli matematik). Sepanjang 3 hari itu saya dibekalkan dengan kudapan yang sangat mencukupi daripada mereka - Aniah membekalkan peanuts; Alfina sentiasa membawa gula-gula dan coklat yang sangat banyak; Zura membawa halwa enak yang dibawa terus dari Turki! Saya dan Ismie sekadar tukang menghabiskan kesemuanya!


Ismie sentiasa menjadi peserta yang patuh; menulis, menyiapkan tugasan dan menjadi pembentang sekali-sekala sudah menjadi kewajipannya.




Antara sela-sela kuliah dan klinik, kami - dari kiri: Ehsan, Kamaruddin dan saya - menghabiskan masa meneliti pelbagai penerbitan yang ada di sekitar klinik sambil menikmati jamuan yang sentiasa disediakan secara berlebihan di luar ballroom.