Friday, February 17, 2012

INSOMNIA

Segalanya bermula dengan sesuatu. Tidak ada sesuatu yang terjadi secara kebetulan atau begitu sahaja. Perkataan kebetulan itu sahaja secara ironisnya sudah menggambarkan ia sesuatu yang betul; ertinya ia sudah diatur dan ditetapkan oleh sesuatu untuk menjadi sesuatu dan diletakkan khusus di tempat dan pada masanya. 

Memang, seboleh mungkin semua orang inginkan sesuatu menurut apa yang dimahukan atau dihajatkan. Namun, tidak semuanya dapat diperoleh lebih-lebih lagi pada sesuatu masa. Antara keinginan dan kepunyaan ada jurang yang sangat dalam dan lebar. Malah 'kepunyaan' atau hakmilik itu sendiri perlu diteliti dan direnung  dengan cermat. Kadang-kadang sesuatu yang dilihat baik itu sangat buruk bila diletak di hati manakala yang kelihatannya amat buruk itu rupa-rupanya sangatlah molek dan bersih tatkala disimpan di hati. Ada contoh yang sangat biasa dan mudah namun terlalu bernilai jika diamati. Saya bayangkan ketika ini saya sedang jalan bersendirian di sebuah pasar raya. Antara ramai-ramai orang yang sedang berlegar-legar itu, dengan tiba-tiba saya dihampiri oleh seseorang lalu memohon pertolongan, kurang-lebihnya begini keadaannya:

"Encik, maafkan saya. Saya perlu pertolongan. Saya kehilangan dompet duit saya. Kini saya tidak mempunyai walau sesen pun untuk pulang:, sambil matanya merenung tepat ke mata saya.

Ya, saya boleh katakan itu kebetulan. Antara ramai-ramai orang itu, saya yang dihampirinya dan memohon bantuan. Dalam situasi itu, saya ada pilihan, malah ada banyak pilihan. Lalu saya memilih untuk menghulurkan sedikit wang tanpa mengucapkan apa-apa kepadanya selain daripada sedikit senyuman.

Mungkin dalam hati, saya akan bertanya-tanya, "Mengapa, antara ramai-ramai orang, dia meminta bantuan saya? Mengapa, jika wang yang ada dalam simpanan saya ini, sepatutnya milik saya, tetapi ada orang yang datang meminta sedangkan dia dan saya sendiri tahu bahawa wang tersebut sememangnya ada dalam simpanan saya. Dengan kata lain, bukankah wang itu milik saya? Kepunyaan saya?", soal hati saya lagi.

Begitulah, ada masanya sesuatu menjadi amat sukar untuk ditelah. Ia semakin sulit dan payah untuk dimengerti kerana maklumat dan pengetahuan yang ada pada kita amat terhad mengenai apa yang ada di dalam hati atau kalbu.

Mungkin situasi ini ibarat insomnia. Kita perlukan sesuatu - tidur umpamanya - namun apabila tidur itu disusahkan oleh keadaan jaga dan sedar berpanjangan sehingga kita terus tidak berupaya untuk tidur, maka perlahan-lahan ia menjadi sesuatu yang dianggap sebagai penyakit dan tidak diingini sama sekali. Tentu sahaja, pada ketika ini, adalah lebih baik untuk tidak cuba memahami. Sekurang-kurangnya kita  tidak diusik igauan insomnia; dan tentu sahaja tidak memerlukan ubat semata-mata untuk menikmati tidur kita. Kita pun berharap semoga insomnia itu tidak beranjangan.

- nasha dalam ingatan -

Tuesday, February 14, 2012

URBANISASI-PSEUDO

"Pelbagai jenis naan, kebab, roti, tandoori dan nasi kandar yang disediakan sebagai menu oleh sesebuah restoren makanan India belum menjadikan kawasan itu sebagai sebuah perbandaran."

Saya fikir itulah kesimpulan paling adil yang boleh diterima mengenai pembandaran atau urbanisasi. Malah, lokasinya yang berada sangat berhampiran dengan sebuah bangunan penguasa tempatan juga belum boleh mengangkat kawasan tersebut sebagai sebuah yang telah melalui proses perbandaran secara seimbang dan bersistematik.

Sunday, February 12, 2012

SELAMAT TINGGAL, WHITNEY...

Ia kehilangan yang agak besar bagi industri muzik. Suaranya hebat, pernah menguasai atmosfera sebesar-besar sebuah ballroom terkemuka. Sehingga itu, selamat tinggal Whitney. (Imej: Yahoo.com)

SOAL SALAH, BERSALAH & MEMPERSALAH 1

Manusia sentiasa berada dalam kesusahan dan resah gelisah. Tidak ada yang pelik mengenai kenyataan itu kerana sifat kejadian manusia itu sendiri secara azali dilingkungi oleh unsur-unsur kesusahan dan kepayahan. Ada masanya, ketika di persimpangan, membuat pilihan untuk menentukan tindakan paling wajar dan berhemah barangkali menjadi suatu proses yang sangat sukar. Soal-soal waktu (sesingkatnya), keadaan (sesulit dan sesukar mana), emosi (stabil atau sebaliknya), kesan dan akibat (lewat pilihan yang dibuat), pengaruh di luar atau di bawah sedar (impian dan harapan, spekulasi, pengalaman lampau dan seumpamanya) menjadikan proses membuat pilihan itu semakin sulit dan bersifat terlalu peribadi. 

Analogi mudah mungkin boleh dibuat dengan memikir sejenak fakta kejadian dan perkembangan manusia. Meringkaskan cerita, seawal-awal pembenihan berlaku dalam kandungan atau rahim seorang wanita, bermacam-macam situasi susah, sulit dan payah perlu ditangani. Pembawa kandungan biasanya menghadapi pelbagai keadaan yang dianggapnya sukar: loya, pening, suhu badan yang sering dirasakan meninggi, muntah, dan kepenatan. Emosi kemudiannya seakan-akan dihayun pergi dan balik, sekaligus mencetuskan potensi situasi tegang yang tidak berarah. 

Proses membuat pilihan perlu dilakukan, ada masanya dalam waktu yang sangat singkat lantaran didorong oleh pelbagai pertimbangan. Lalu, setiap perkara menjadi isu yang berpotensi menjadi masalah kemudiannya. Fikir berapa kerap isu-isu seperti mencari doktor yang sesuai, menetapkan waktu pertemuan rawatan di klinik bersama pasangan dapat dirancangkan dengan mudah, memikirkan soal kos yang akan ditanggung, memastikan emosi kedua-dua pasangan sentiasa tenang dan terkawal, atau mungkin juga mengenai soal-soal lain yang ada kalanya memang di luar daripada konteks yang tercetus dari semasa ke semasa yang menjadikan proses kehamilan sebagai sesuatu yang dipersalah kerana sulit dan susahnya. 

Ia tidak terhenti di situ sahaja. Pada saat-saat kelahiran, persepsi mengenai kesusahan dan kepayahan masih menguasai proses membuat pilihan dan menentukan tindakan, seolah-olah seluruh alam dihiruk-pikukkan oleh suasana tidak menentu. Antara keterujaan dan keributan menerima 'orang baru', kesusahan dan kepayahan kelihatannya menjadi urusan semua orang. Soal orang-orang itu berkaitan atau tidak dengan si pembawa kandungan bukan lagi menjadi isu peribadi kerana kini ia berubah menjadi soal manusiawi; tidak ada siapa yang boleh menentukan bahawa hak itu masih kekal sebagai hak individu atau urusan peribadi lagi. Maka, berkejaranlah sesiapa pun yang berada dalam situasi seseorang yang akan  hampir melahirkan kandungan itu melakukan apa sahaja difikirkan wajar semata-mata untuk menenangkan dan memudahkan keadaan. Ini soal dan sifat manusiawi. Ia situasi yang susah dan payah. Namun kepayahan dan kesusahan itu menjadi sesuatu yang mengikat hubungan manusia secara murni.

Sunday, February 05, 2012

MASA BERKUALITI

Sudah agak lama saya tidak dapat menulis di sini, kira-kira hampir 9 bulan. Kata laluan untuk beberapa aplikasi yang saya gunakan secara tiba-tiba tidak berfungsi. Saya tidak begitu berusaha bersungguh-sungguh untuk mencari alternatif kepada laluan ke blog yang saya selenggarakan. Sebaliknya saya beralih hala ke arah yang tidak begitu konvensional. Saya menghabiskan masa menulis manuskrip untuk penrbitan seterusnya - terima kasih kepada penerbit (saya akan sebutkan kemudian bila masanya sesuai).

Sementara itu, saya akan gunakan masa berkualiti ini untuk memikir dan menulis isu-isu yang tertentu selepas ini.