Monday, February 18, 2008

Budaya Politik

Budaya politik ada beberapa wajah, antaranya sikap, kepercayaan, emosi dan nilai yang semuanya berkaitan secara langsung dan tidak langsung dengan sistem dan isu-isu politik. Semua itu mungkin ditunjukkan sama ada dalam keadaan sedar ataupun di luar sedar.
Bagaimana seseorang aktor/aktres politik berbudaya dalam lanskap politiknya ditunjukkan sebahagiannya oleh tingkah laku dan percakapannya pada setiap masa. Sebagai contoh, jika sebelum musim pilihanraya, isu-isu seperti pembaziran tidak pernah disentuh sama sekali, namun setiap kali menjelang pilihanraya umum, dialah yang paling lantang menyebut mengenai pembaziran dan sebagainya. Dan selalunya, kesejahteraan rakyat akan diungkap-ungkapkan sebagai alasan utama mengapa pembaziran tidak harus berlaku. Pada saat-saat seperti itu, dialah aktor/aktres politik paling berwibawa dan prihatin dengan kesejahteraan rakyat.
Perilaku seperti itu memberi isyarat bahawa kualiti peribadi aktor/aktres politik boleh menjadi tajuk bualan. Hari ini dia bercakap mengenai buruknya wajah perlakuan rasuah setelah sekian lama sebelum ini dia bergelumang di dalam dunia yang sekarang dianggapnya keji dan kotor itu. Hari ini dia bercakap berdegar-degar mengenai perlunya berbuat baik dan berkasih sayang antara satu dengan yang lain setelah sekian lama sebelum ini dialah petualang yang tidak mengenal harga dan erti ehsan dan budi. Dan hari ini dia memperagakan segala kelebihan dan kekuasaan Ilahi seolah-olah manusia lain tidak pernah mengetahui dan mengakui kehebatan kuasa ilahi , hanya setelah dia melalui semua tahap kehidupan bebal dan jahiliah sebelum ini.
Budaya politik hidup dalam persekitaran yang dibentuk sendiri oleh manusia pelakunya.