Wednesday, September 29, 2010

SUDAH BERLALU SETAHUN

Syawal - pada bila-bila masa dan dalam apa jua keadaan - tetap meriah dan bermakna. Saat-saat hening dan terindah solat sunat raya bersama jemaah - termasuk anak-anak lelaki saya - di masjid atau surau,  rasanya sudah memadai untuk menyimpul perasaan yang sangat sukar untuk digambarkan secara terus-terang.

Syawal kelihatannya tipikal - mengenai televisyen, makanan, saudara-mara, tetamu-tetamu lain. Namun, saya tidak ada masalah dengan televisyen walau pun banyak program berkaitan raya disiarkan. Saya tidak begitu menghadap televisyen kecuali saya benar-benar ingin menonton. Saya tidak ada masalah dengan makanan yang pelbagai. Saya percaya saya tahu apa yang saya ingin nikmati. Saya tidak ada masalah dengan kunjungan tetamu tanpa mengira masa dan keadaan. Secara konsisten, saya sentiasa menerima sesiapa juga, lebih-lebih lagi saudara mara.

Saya akan terus menunggu-nunggu kedatangan Syawal. 


Monday, September 27, 2010

SYARAHAN KSN 2010

1. “Our Youth, Our Prospect, Our Future”. Kepentingan dan peranan generasi muda sebagai aset dan sumber utama dalam merangka masa depan negara sudah lama diperaku dan disepakati oleh para ilmuwan dalam hampir-hampir semua peradaban. Melalui pemikiran mereka yang dikongsi merentasi semua disiplin dan alam geografi, Ibn Khaldun, Al-Ghazalli, Socrates, Aristotle, Confucius, serta Mahatma Ghandi umpamanya - sekadar menyebut beberapa nama - percaya bahawa generasi muda adalah gambaran lanskap sistem politi dan politik sesebuah negara pada masa akan datang.

2. Generasi muda itulah kelak yang akan dipertanggungjawab bagi semua urusan kenegaraan. Potensi kepemimpinan yang sedia menunggu masa untuk dizahirkan secara amali oleh setiap remaja dan belia menjadi sebahagian daripada komponen utama negara dalam meneruskan agenda khusus membangun bangsa dan negara secara fizikal dan spiritual.

3. Dengan kenyataan itu di fikiran, serta atas kesedaran bahawa generasi muda perlu terus dididik, dilatih dan dibimbing secara holistik, sebagai universiti terbesar – baik dari segi bilangan pelajar mahu pun dari sudut bilangan alumni yang sudah melangkaui angka 200,000 orang, UiTM melangsungkan tradisi ilmu secara tahunan ini dengan menganjurkan sekali lagi Syarahan KSN atas tema “Our Youth, Our Prospect, Our Future”.

4. Tema itu menyimpulkan secara holistik kandungan serta mesej yang akan disampaikan secara langsung oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan pada siri ketiga Syarahan KSN 2010 nanti. Syarahan tersebut akan berlangsung pada 13 Oktober 2010 bertempat di Hotel UiTM, Shah Alam. Secara tradisi, Siri Syarahan KSN dihadiri oleh jabatan-jabatan serta agensi-agensi awam dan swasta.

4. Bagaimana pun, jemputan turut dipanjangkan kepada orang-orang awam yang berminat untuk mengikuti secara langsung perkongsian pemikiran yang akan disampaikan sendiri oleh KSN. Mereka yang berminat untuk mengikuti syarahan tersebut boleh mendapatkan maklumat lanjut serta mengesahkan kehadiran dengan menghubungi: Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam (Telefon: Puan Norizah Mahmud di talian 03-55444166).