Salam.
1. Dahulu, kami mengisi malam raya dengan aktiviti luar. Dari surau, kami mengunjungi sebanyak mungkin rumah dalam kejiranan, bertakbir dan mengisi perut.
2. Sesudah itu, kami berkumpul di tanah-tanah lapang, biasanya di atas bukit berhampiran - seperti di kawasan kediaman kami sewaktu kecil dahulu, berhampiran Muzium Perak di Taiping - dengan bermain meriam kabait dan meriam buluh. Seingat kami, tidak pernah berlaku kemalangan kepada salah seorang daripada kami sekali pun. Kalau ada pun kemalangan, akibat daripada terjatuh ke dalam longkang besar, lalu luka pada dahi salah seorang rakan kami rawati dengan menumpukkan campuran kopi dan gula (saya tidak pasti daripada mana kami pelajari rawatan seumpama itu; pelik tetapi rasanya berkesan).
3. Kemudian, kami mencari dan menangkap reriang dan kelip-dikelip beramai-ramai. Itu hiburan. Kami gunakan tanglung yang diperbuat sendiri menggunakan buluh/bertam, plastik berwarna dan lilin kecil sebagai sumber cahaya sewaktu berjalan dalam gelap.
4. Kemuncaknya, kami mengelilingi unggun api yang digunakan untuk membakar lemang semalaman, sambil memusing-musingkan lemang-lemang yang disandar bersusun-susun di palang besi; kemudian menghentak-hentak lemang untuk memampatkannya.
5. Malam ini, sesudah kurang lebih 30 tahun, kami menyaksikan malam raya yang sangat berlainan: kedai-kedai terang benderang sehingga lewat malam; gerai-gerai menjual lemang ketupat beroperasi sehingga dinihari; stesen-stesen TV menyiarkan pelbagai program tanpa tidur.
6. Selamat hari raya idilfitri kepada semua. Maaf zahir dan batin.