Friday, August 21, 2009
SELAMAT HARI LAHIR, NASIHA
Selamat menyambut ulang tahun kelahiran, Nasiha! Think big & be a meaningful winner.
APABILA PENDIDIKAN SEMEMANGNYA DIPERLUKAN
1. Melewati sejarah awal Singapura. Pada abad 20, Winstedt, sarjana bahasa Melayu - yang juga Pengarah Pelajaran - melaksanakan polisi yang membantutkan terus perkembangan pendidikan dalam kalangan orang-orang Melayu kerana orang-orang Melayu dilihat 'berminda-mudah,hidup berbahagia jauh daripada daratan'.
2. Apa yang paling sesuai untuk orang-orang Melayu? Windstedt memperaku dan melaksanakan polisi untuk menyediakan orang-orang Melayu dengan pendidikan yang hanya berkaitan dengan menangkap ikan, berkebun-berladang dan membuat bakul.
3. Sebelum itu, habis semua sekolah Melayu ditutup di Singapura atas alasan sekolah-sekolah Melayu dilihat oleh orang-orang Melayu sendiri sebagai tidak menarik terutamanya kerana sekolah-sekolah Melayu hanya menggunakan bahasa Melayu sahaja. Orang-orang Melayu tidak berkeinginan untuk merebut peluang dalam pendidikan awal di Singapura pada waktu itu walau pun pendidikan diberikan secara percuma.
Nota: sentimentalisma sentiasa ada tempatnya di mana-mana!
Saturday, August 01, 2009
"MERDEKA TANPA DIJAJAH"
1. Ogos adalah bulan "kemerdekaan". Negara ini "merdeka" kerana berpeluang untuk mentadbir semula tanahair ini secara bersendirian. Pentadbir sebelum ini - British - meletakkan sedikit sebanyak asas-asas ilmu pentadbiran. Namun, penelitian dan penulisan sejarah negara ini telah dibuat dengan cara yang agak berlainan. Gambaran bahawa negara ini dijajah oleh Inggeris dilukis dengan cara amat berkesan. Model mental kebanyakan murid sekolah - dan kemudiannya dipanjangkan sehingga ke IPT - meletakkan 'penjajahan Inggeris' sebagai fakta kekal yang tidak boleh diubah-ubah. Soalan seperti "Benarkah Inggeris penjajah negara ini?" tidak pernah ditimbulkan sama sekali selama ini.
2. 50 tahun sebelum Malaysia merdeka iaitu selepas Perang Dunia Kedua, Liga Bangsa-bangsa Bersatu telah diwujudkan. Kebanyakan negara di bawah jajahan British, Peranchis, Portugis dan Sepanyol mahu melepaskan diri dari penjajahan ini. Sebelum pencapaian kemerdekaan, negara-negara yang dijajah ini menuntut 'universal franchise’ , ataupun hak untuk mengundi. Ini berlaku pada tahun 1955. Seterusnya satu demi satu negara mencapai kemerdekaan dan kemerdekaan Malaya ketika itu merupakan satu pergerakan global yang hanya menjurus ke arah kemerdekaan pentadbiran dan politik.
3. Dari suatu segi, kemerdekaan membawa makna bebas daripada cengkaman penjajah. Ini merupakan kejayaan paling besar, bersejarah dan sangat bermakna. Malah kita membayar harga yang cukup mahal – darah dan air mata – dalam usaha untuk mengecap status sebagai sebuah negara yang "merdeka" dan berdaulat.
4. Proses-proses yang mendahului peristiwa pengisytiharan kemerdekaan seperti perjuangan menentang Malayan Union dan Komunis umpamanya, merupakan antara ‘universiti tidak formal’ yang mendidik bangsa kita untuk memahami bahawa kemerdekaan bukanlah hanya slogan kosong semata-mata. Namun saya percaya, dalam konteks era selepas kemerdekaan, penghayatan dari segi falsafah, semangat dan jiwa merdeka seharusnya diangkat sebagai warisan yang bernilai tinggi di kalangan setiap warga negara tercinta ini.
5. Namun, apabila negara kita merdeka, tidaklah pula bermakna tidak ada "penjajahan" lagi. Penjajahan boleh dilihat daripada beberapa sudut. Meskipun kita tidak dijajah secara fizikal, misalnya kita sudah berkerajaan sendiri, namun jika pemikiran kita masih lagi bergantung kepada ehsan dan tekanan tidak berimbang dari pihak dalaman dan pihak asing , ini bermakna kita sebenarnya masih lagi tidak merdeka dari segi minda dan pemikiran.
6. Banyak negara di dunia ini pada hari ini pun sebenarnya belum merdeka dalam ertikata sebenarnya walaupun negara mereka sudahpun mendapat kemerdekaan secara formal daripada penjajah terdahulu. Pada hari ini, mereka masih lagi perlu berlutut dan meminta sedekah dan kasihan berterusan daripada kuasa-kuasa asing. Kuasa-kuasa asing pula datangnya dalam pelbagai bentuk, ada dalam rupa institusi kewangan antarabangsa, dan ada pula dalam bentuk Rancangan Pemulihan Ekonomi yang disusun khusus untuk tujuan menindas negara-negara yang diakatakan sudah merdeka berpuluh-puluh tahun lepas.
7. Kemerdekaan melibatkan tekad dan kesanggupan untuk berdikari, berkerja keras, komited, dan tabah dalam membangunkan diri sendiri dan masyarakat. Dengan itu, jiwa yang merdeka adalah jiwa yang tidak bergantung sepenuhnya kepada ehsan dan simpati orang lain. Sebaliknya berusaha keras untuk meraih kejayaan demi kesejahteraan umat.
Subscribe to:
Posts (Atom)