Friday, July 24, 2009

CUTI SEMESTER

1. Ada beberapa blog mengumumkan bahawa UiTM Shah Alam ditutup selama seminggu mulai minggu depan.

2. Maklumat ini sebenarnya tidak tepat. Oleh kerana beberapa kampus sudah ditutup sebelum ini kerana kes Selesema Babi H1N1, maka cuti semester yang sepatutnya berkuatkuasa kurang lebih dua minggu lagi, dipercepat ke Isnin minggu hadapan (27 Julai hingga 2 Ogos 2009).

Wednesday, July 22, 2009

DUA BABAK

1. Saya di Persidangan Global Philanthropy, Hotel Nikko (mula 22 Julai). Speaker pertama - dari negara luar - membentangkan sedikit-sebanyak isu-isu yang meliputi kegiatan 'menyayangi manusia, lalu memberi setulus hati'. Satu daripada kenyataan yang sempat diselitnya di celah-celah penyampaian pemikirannya adalah, "Newspapers in Malaysia don't publish local bad news, except, of course, from foreign countries."

Ini sudut pandangan aktivis luar. Ia merujuk insiden-insiden kemiskinan dan kemelaratan di kalangan kumpulan-kumpulan orang tertentu seperti kanak-kanak, wanita, orang-orang miskin di luar bandar dan bandar. Dilaporkan juga tidak kurang 2.2 bilion kanak-kanak melarat di atas muka bumi ini. Kesimpulannya, bumi perlukan lebih banyak individu yang bersedia memberi kerana menyayangi manusia lain.

2. Wacana-wacana serta maklumat-maklumat bertulis mengenai Universiti Penyelidikan (Research University) yang didoktrinkan dan diinstitusikan dalam lanskap pendidikan tinggi tempatan semakin rancak dizahirkan usaha-usahanya. Sesudah agak lama, saya fikir ada beberapa perkara yang memanjangkan igauan saya mengenai hal itu.

Pertama, saya masih tidak dapat menggambarkan secara jelas di fikiran saya akan kewujudan 'roh' universiti sekiranya penekanan kepada maklumat, pengetahuan dan ilmu dalam konteks insani & ketuhanan difikirkan di minda.

Sifat-sifat luar dan dalamnya seolah-olah terlalu mekanikal dan robotik. Sanjungan dan kepercayaan peribadi kepada 'pengklasifikasian ilmu' menurut makna yang holistik dihakiskan secara beransur-ansur oleh pengutamaan kepada komersilisasi justeru penyelidikan, yang digandingkan dengan dana, menjadi tunjang besar yang diharapkan untuk mencemerlangkan apa yang sudah ditakrif sebagai "ilmu", iaitu S&T.

Ada di fikiran saya ini andaian - kerana digambarkan sedemikian oleh usaha-usaha tersebut - bahawa segala yang lain, yang bukan dicabangkan oleh disiplin S&T berfungsi hanya sebagai penyendal atau penyokong kepada apa-apa sahaja yang berteraskan S&T. Saya tidak perinci semuanya di sini, kerana apa yang ditulis di sini adalah kesimpulan pemikiran saya sesudah meneliti setiap satu perkara-perkara yang sudah dipiagamkan menerusi pelbagai dokumen berkenaan Universiti Penyelidikan itu terutamanya pada soal-soal selidik yang berkaitan.

Saya cuma membayangkan sejarah tamadun-tamadun agung masa silam. Tidak kira betapa hebat dan tinggi mana upaya dan wibawa S&T mereka, tamadun-tamadun itu kecundang juga akhirnya. Antara penyebab kecundangan itu termasuklah keasyikan, ketaksuban dan kesombongan manusia-manusia dalam tamadun-tamadun silam itu memahami dan meletakkan ilmu itu menurut adabnya. Dengan kata lain, 'pengklafisifikasian ilmu' yang disusun mereka ternyata membelakangkan tertib dan adab. Dan hari ini, meski dikaitkan dengan istilah 'holistik', ucapan itu ternyata terlalu janggal untuk dimaknakan dengan berkesan dalam konteks insani.

Saya tidak mengharapkan terlalu banyak. Jangkaan saya selalunya tidak terlalu membabas secara ekstrem. Saya menunggu sama ada penggubal-penggubal, penyetuju-penyetuju dan pelaksana-pelaksana polisi akan mengambil masa yang terlalu lama untuk sedar bahawa sesuatu yang asas itu selamanya tetap akan tinggal sebagai yang terpenting.

Saturday, July 11, 2009

100 HARI

“SATU Malaysia, rakyat didahulukan, prestasi diutamakan”.

Begitulah ikrar dan janji Datuk Seri Mohd Najib sewaktu istiadat penerimaan jawatan Perdana Menteri pada 3 April 2009 yang lalu.

11 Julai 2009 menandai genapnya 100 hari pentadbiran Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri Malaysia ke enam.

Menyingkap tirai pentadbiran kerajaan yang baru, Datuk Seri Mohd Najib mengajak keseluruhan warga untuk bersama-sama beliau menjayakan apa yang diungkapkannya sebagai transformasi besar berpandukan iltizam untuk “Bekerja tanpa mengenal erti jemu atau penat lelah, berkhidmat dan membela untung nasib rakyat.”

Hari ini, berbekalkan pengalaman dan wibawanya selama 32 tahun dalam dunia politik, lanskap pentadbiran negara terus dilatarbelakangi warna-warni episod-episod perubahan yang melonjakkan karisma kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib sebagai Ketua Pentadbiran kerajaan.

Jentera pentadbiran kerajaan, terutamanya barisan menteri kabinet dicabar oleh Datuk Seri Mohd Najib untuk memberikan khidmat yang terbaik. Tidak sekadar melalui kata-kata, pencapaian setiap menteri harus dibuktikan melalui penyediaan dan hebahan petunjuk prestasi masing-masing melalui indek prestasi utama (kpi) mereka.

“Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”. Gagasan Satu Malaysia yang dilontarkan oleh Perdana Menteri sebagai satu menifestasi pembinaan bangsa digunakan dengan berkesan untuk memperkukuh perpaduan struktur rakyat Malaysia ke arah menggemilangkan pencapaian negara secara holistik.

Dengan resapan semangat Satu Malaysia, beberapa pembaharuan diperkenal. Antaranya termasuklah pembebasan beberapa tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), penganugerahan biasiswa pendidikan tinggi berdasarkan merit, serta pengukuhan integrasi dan pembangunan antara negeri-negeri khususnya Sabah dan Sarawak.

“Bahasa jiwa bangsa.”

Keputusan kerajaan pimpinan Datuk Seri Mohd Najib memansuhkan dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) tidak syak lagi merupakan tindakan yang menonjolkan nilai-nilai kerberanian dan keterbukaan.

Isu tersebut ditangani dengan sangat berhemah. Sebagai langkah pengukuhan, usaha-usaha peninggian martabat Bahasa Melayu dipertingkat manakala pada masa yang sama pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris dimantapkan.

Ekonomi adalah tunjang kemakmuran negara. Ungkapan “Prestasi diutamakan” diterjemahkan oleh Datuk Seri Mohd Najib melalui beberapa cara atas nama kesejahteraan rakyat.

Terbaru, beberapa pakar asing serta tempatan dilantik mengganggotai Majlis Tindakan ekonomi negara (MTEN) dalam usaha untuk memperkukuh dan memantapkan landasan ekonomi Malaysia.

Beberapa instrumen fiskal, misalnya melalui penubuhan Ekuiti Nasional Berhad (EKUINAS), pemerkasaan syarikat-syarikat kerajaan (GLC), penilaian semula bidang kuasa Pelaburan Asing (FIC), pemansuhan beberapa syarat pelaburan serta dasar liberalisasi ekonomi yang melibatkan 27 sektor kecil, merupakan antara perubahan-perubahan yang direncanakan oleh beliau.

Kemakmuran dan daya tahan ekonomi negara dijadikan keutamaan sebagai agenda kesejahteraan rakyat. Model ekonomi Malaysia yang baru kemudiannya dirangka oleh Datuk Seri Mohd Najib dengan mengambil kira potensi-potensi pelaburan asing yang boleh diterokai bersama, khususnya melibatkan negara China serta negara-negara Timur Tengah.

Hubungan antarabangsa adalah antara teras-teras kekuatan negara.

Pepatah sains politik menyebut, “Banyak negara musnah bukan disebabkan mempunyai terlalu banyak musuh, tetapi kerana tidak memiliki banyak sahabat”.

Siri-siri lawatan diplomatik Datuk Seri Najib ke negara Indonesia dan China ternyata memetrai dan memperkukuh keikhlasan dan ketulusan Malaysia dalam konteks perhubungan antarabangsa serta reputasi sebagai jiran dan rakan yang budiman.

Interaksi serta perbincangan beliau dengan pemimpin utama dunia pula, terutamanya dengan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, pada 27 Jun lalu, dilihat sebagai suatu pengiktirafan serta mempunyai signifikan yang tersendiri dalam konteks kedaulatan negara. Malah, dalam konteks sejarah kenegaraan Malaysia, Datuk Seri Najib merupakan Perdana Menteri yang pertama mengadakan interaksi langsung dengan Presiden Amerika Syarikat.

“Potensi dicari, seteru dijauhi” menjadi asas yang dipertimbangkan oleh Datuk Seri Mohd Najib dalam usaha beliau untuk memakmurkan negara. Isu-isu pelaburan, keselamatan serantau, perkhidmatan yang bersifat kesalingan, serta pelbagai isu lain yang menjadi kepentingan bersama dihalusi sebagai langkah awal penerokaan masa hadapan.

Namun, “Bumi mana tidak ditimpa hujan, laut mana tidak bergelombang.”

Kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sedikit teruji apabila media negara jiran, Indonesia, memainkan isu Ambalat secara tidak berimbang. Dakwaan berlakunya tindakan pencerobohan wilayah yang dikaitkan dengan pihak penguatkuasa Malaysia dipolitikkan secara di luar konteks dan rasional.

Bagaimanapun, isu ini berjaya ditangani dengan berkesan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak, berkat semangat kerjasama dan kejiranan yang dipamerkan oleh Perdana Menteri serta pemimpin-pemimpin negara jiran.

100 hari yang pertama tentunya mencerminkan beberapa tahun mendatang.

Kewibawaan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dalam menerajui jentera pentadbiran kerajaan dijelaskan dengan nyata melalui perubahan-perubahan yang didorong oleh beliau.


Melangkah ke hadapan, Datuk Seri Mohd Najib membawa bersama-sama beliau harapan besar sambil menggalas impian untuk mentransformasi Malaysia sebagai sebuah negara yang terus disegani.