SAYA fikir sudah agak lama saya perhatikan bagaimana istilah “race” dan “racist” digunakan dengan amat kerap dalam banyak media. Kelihatannya juga istilah tersebut digunakan secara bebas sehingga ada kalanya melangkaui rasionaliti dan meyimpang daripada konteks dan kesesuaian maksud. Agak meresahkan juga kerana nada tulisan yang yang beremosi panas dan wewenang tidak dapat disembunyikan walau sedikit pun. Sesiapa pun yang membacanya pasti mengesan getus hati si penulis.
Lihat bagaimana rasa hati berikut:
“Why is it that when I defend UMNO or the Malays I am labelled a racist but not when others speak up for Chin Peng?” soal Tun Dr Mahathir dalam satu daripada beberapa entri dalam blog beliau.
Kemudian beliau bertanya lagi, “ If speaking up for the Malays is considered racist then are the Malays to be denied their right to speak for themselves?”
Saya percaya beliau tidak mengharapkan jawaban daripada sesiapa pun. Segala-galanya sudah dicacamerbakan oleh terlalu banyak orang – yang tidak semestinya pelaku-pelaku politik sahaja - yang semakin rakus dan semberono. Kebanyakannya hanya sinikal, sindiran dan cemuhan.
Apa yang semakin jelas adalah pandangan bahawa berapa banyak maklumat dan pengetahuan yang ada dalam kalangan mereka yang bersifat jelek demikian tidak pula memperlihat kewibawaan dan hikmah ilmu mereka.
Tinggalkan dulu semuanya. Ia akan berterusan begitu lama.
Mungkin akan tiba masanya mereka yang memperguna kata-kata dan istilah-istilah sebegitu memikirkan semula kewajaran mereka. Lalu, selepas itu, dapatlah mereka menunjukkan kepada para pembaca makna dan pemakaian yang sebenarnya setiap patah perkataan itu.
Jadi, mungkin akan tiba masanya beza antara “race”, “racist”, “racism”, “ethnocentrism”, “prejudice” dan “discrimination”, “stereotyping” dapat mereka terang dan jelaskan.
Bila? Tunggu!