Universiti wujud sejak berkurun-kurun lampau, yang terawal ialah Al-Azhar (970 SM). Ini kemudiannya diikuti lebih lewat oleh penubuhan universiti-universiti yang ternama seperti Bologna, Paris, Oxford dan Cambridge. Secara asasnya, sebuah universiti mengandungi:
1. Para pentadbir universiti serta Lembaga Pengarah; atau majlis universiti; dan sebagainya yang berkaitan.
2. Istiadat Konvokesyen;
3. Para profesor, dan staf akademik sepenuh masa serta staf lain yang berkhidmat sebagaimana dibenarkan oleh perundangan
4. Graduan dan mahasiswa yang dijelaskan secara terang oleh perundangan.
Universiti selalunya ditakrif menurut fungsi serta idealismenya. Sukar untuk menentukan takrifan mana yang tepat dan mesti diterima. Bagaimanapun, secara umum, dan sering berlaku, universiti ditakrifkan melalui peranan atau fungsi mereka (yang ditentukan dan dibataskan oleh perundangan tertentu).
Paling asas, secara idealnya, peranan universiti dikatakan sebagai meliputi 3 fungsi utama:
i. Mengajar
Sebuah universiti menghebahkan dan memperakui sesuatu pengetahuan sebagai “kebenaran” atau “fakta”. Ini melibatkan pengajaran disiplin akademik tahap tinggi, dan seterusnya melibatkan penyebaran maklumat dan pengetahuan dan seterusnya membudayakan kemahiran generik yang membawa kepada pengajaran berasaskan penyelidikan.
ii. Menyelidik
Dalam atmosfera sebuah universiti, fungsinya secara awal meliputi penyiasatan dan perenungan – tanpa batasan – terhadap apa yang dianggap sebagai “fakta” atau “kebenaran”. Oleh yang demikian, amalan menyelidik dilihat bersampingan dengan fungsi-fungsi mengajar dan menyelidik. Ini yang membezakan antara “universiti” dengan institusi pendidikan yang lain. Di sini, peranan universiti sebahagiannya adalah untuk membudayakan kegiatan merenung, memikir, mengkaji dan membuat perakuan berkenaan pelbagai fenomena dalam pembelajaran dan pengajian.
iii. Khidmat Masyarakat
Kegiatan-kegiatan mengajar dan menyelidik sebenarnya bertujuan untuk memberi sumbangan kepada komuniti universiti dan juga membantu masyarakat umum mencapai cita-cita dan matlamat mereka. Dalam hal ini, universiti menjadi tempat rujukan untuk percambahan idea-idea baru serta memperkembang dan menghalusi idea-idea sedia ada. Universiti jadi gedung ilmu yang digunakan oleh masyarakat.
Peranan-peranan yang lain termasuklah:
i. Menyediakan kemudahan-kemudahan pendidikan pada standard universiti untuk kemanfaatan mahasiswa yang layak untuk mendaftar dan menggunakan kemudahan berkenaan
ii. Mentadbir kursus-kursus pengajian
iii. Mentadbir pengajaran dan peperiksaan
iv. Menyuburkan kesarjanaan dan menghebahkan maklumat-maklumat “fakta”
v. Menganugerahkan ijazah-ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah serta diploma dan sijil-sijil lain.
Pada penghujung abad ke 20, dua fenomena besar berlaku: (1) peledakan maklumat dalam kehidupan manusia; dan (2) pertembungan atau konfrontasi ideologi / budaya antara kuasa-kuasa besar dunia. Implikasi daripada fenomena ini, berlaku perubahan dan anjakan besar-besaran seluruh dunia, yang pada hari ini dikenal sebagai “globalisasi”.
Dalam konteks pendidikan tinggi, banyak universiti di mana-mana rantau sekalipun mula memberikan keutamaan kepada pemakaian paradigme universiti yang tunggal dalam operasi masing-masing. Banyak universiti diharapkan untuk beroperasi seperti badan perniagaan di pasaran, yang berfungsi untuk menghasilkan kepakaran teknikal dalam pelbagai disiplin pengetahuan kepada para graduan dan orang lain yang dianggap sebagai pelanggan.
Selain daripada itu, abad ke 20 dan 21 dicorakkan dengan peralihan secara terang-terangan dari segi mode ekonomi. Penekanan mula berubah daripada beberapa tahap:
1. Dari tahap ekonomi berasaskan buruh kepada modal (labor intensive – capital intensive)
2. Dari tahap berasaskan modal kepada pasaran (capital intensive – market based)
3. Dari market based kepada knowledge based.
Dengan itu, universiti – secara sukarela atau terpaksa – didorong dan terdorong untuk memikirkan pemilihan paradigme operasi yang konsisten sebagai pilihan untuk survival dan reputasi masing-masing. Meskipun banyak universiti awal zaman lampau ditubuhkan lebih atas faktor-faktor tuntutan agama, namun kemudiannya, tidak kurang bilangannya universiti tersebut yang kemudiannya beroperasi sebagai ‘syarikat-syarikat komersil’.
Sebagai contoh, Harvard, universiti tertua di Amerika Syarikat dilaporkan memiliki kekayaan melebihi 6 bilion USD. Di sesetengah negara Asia – misalnya Jepun, Korea, Taiwan – ada kecenderungan atau trend yang menunjukkan bahawa universiti swsta kian menumbuh dan di sebahagian negara tersebut, ada universiti yang disenaraikan dalam pasaran saham.
Selain daripada itu, banyak universiti baru dibangunkan terutamanya di United Kingdom, Australia, Amerika Utara, Eropah Tengah dan Timur. Bagaimanapun, di Eropah Barat, perkembangan sebegini tidak begitu dikesan. Semua perkembangan ini menunjukkan ada tanda-tanda bahawa proses perubahan organisasi dalam pendidikan tinggi sedang berlaku secara global.
Di negara ini sendiri, trend serupa itu sudah jelas dan terbukti: misalnya, penubuhan universiti berasaskan keperluan industri yang terang-terang ditunjukkan melalui nama universiti seperti UNITEN, Universiti Teknologi PETRONAS, Universiti Industri Selangor, Universiti Multi Media dan beberapa yang lain.
Dalam sejarah peradaban manusia, kita melihat pendidikan berjalan seiring dengan tamadun manusia. Sebagai contoh, sewaktu zaman di mana kegiatan masyarakat adalah berasaskan pertanian, pendidikan lebih mengarah kepada pengembangan dan pembangunan yang bertujuan untuk memajukan teknologi dan kepakaran berdasarkan keperluan pada masa itu. Revolusi Hijau misalnya merupakan contoh apabila bidang pertanian dimajukan khasnya melalui kaedah penanaman tanpa mengikut jadual secara rigid. Penanaman boleh dilakukan secara berulang kali. Bilangan stok makanan ditambah untuk menampung keperluan yang meningkat.
Apabila berlaku Revolusi Industri, bidang pekerjaan masyarakat dimajukan melalui pengenalan kepada pengautomasian. Banyak pekerjaan dikendalikan oleh mesin, sekaligus menjimatkan masa dan tenaga kerja secara manual. Pengenalan kepada komputer kemudiannya memberi lebih banyak kemudahan dan kelebihan kepada masyarakat. Produktiviti meningkat seiring dengan kualiti. Apabila era peledakan maklumat tiba, seawal tahun 1990an, lebih banyak aspek dalam kehidupan manusia – boleh dikatakan semua aspek – terlibat secara langsung. Urusan perbankan, pendidikan, pekerjaan, rumahtangga, keselamatan umpamanya semuanya ditadbir melalui penggunaan Teknologi Maklumat. Dalam hal ini, universiti perlu melaksanakan peranannya sebagai “frontier of knowledge”.
Antara lain, universiti mengembangkan peranannya sebagai:
1. Tempat melahirkan graduan yang berkemahiran dan berketrampilan untuk menampung keperluan industri
2. Tempat untuk menyuburkan percambahan ilmu di kalangan warga dalaman dan luaran
3. Tempat untuk melatih mahasiswa memikirkan secara analitikal dan kritis, akan isu-isu yang melibatkan masa hadapan negara dan masa hadapan mereka sendiri melalui kuliah-kuliah yang dikendalikan secara berkualiti serta latihan-latihan praktikal
4. Rakan kerjasama dengan pihak industri dalam usaha untuk menjalin hubungan yang berkualiti secara bijaksana untuk memantapkan pasaran, sekaligus memberi peluang kepada tenaga kerja untuk mencari pekerjaan tanpa kesukaran.
Dalam hal ini, minat serta keutamaan universiti harus berjalan seiring dengan fungsi ideal sebuah universiti. Memberi keutamaan hanya kepada fungsi universiti, tanpa memberatkan soal minat dan kepentingan universiti menurut keperluan semasa, akan menyebabkan wujud ketidakimbangan dari segi faktor pemintaan dan penawaran di pasaran. Pilihan terbaik masa kini adalah dengan berusaha untuk mengutamakan minat, kepentingan serta keperluan semasa dengan fungsi ideal universiti. Prinsip-prinsip asas dan tradisi universiti – yang berpaksi kepada mengajar, menyelidik dan memberi khidmat komuniti – perlu disokong dengan strategi bijak universiti terutamanya dalam mendapat faedah terbaik hasil daripada kerjasama erat dan bermakna terutamanya dengan pihak industri.