Wednesday, December 20, 2006
Akal Budi 71 - Fakta Sejarah
Tuesday, December 05, 2006
Akal Budi 70 - Kejiranan & Kenegaraan
Akhirnya bidang tersebut kian dikembangkan sehingga perhatian khusus akhirnya dipusatkan kepada proses-proses yang tercetus di dalam mental. Pada masa yang sama, ia turut mengambil kira aspek-aspek perasaan dan kesedaran manusia. Pada hari ini, bidang psikologi tertumpu secara lebih khusus terhadap aspek tingkah-laku manusia.
Dalam rangka kerja bidang pentadbiran pembangunan secara menyeluruh, aspek psikologi dikaitkan secara langsung dan tidak langsung terutamanya di dalam menjelaskan persoalan-persoalan yang berhubungan dengan sikap, tabiat serta tindakan yang dilakukan oleh individu apabila merangsang terhadap sesuatu perubahan misalnya.
Persoalan-persoalan seperti kekeliruan masyarakat di dalam memahami sesuatu program pembangunan contohnya memerlukan penyelesaian secara kaedah psikologi. Ini termasuklah antara lainnya, penganalisisan berkenaan kandungan serta kaedah bagaimana sesuatu program berupaya memberi keyakinan di kalangan masyarakat untuk menikmati, di samping menilai kekesanan projek-projek pembangunan yang disusun untuk kebaikan masyarakat sendiri.
Untuk sekian lamanya, psikologi memainkan peranan yang sangat berkesan di dalam membantu melancarkan perancangan serta pentadbiran pembangunan. Dalam isu persekitaran umpamanya, psikologi digunakan untuk menimbulkan kesedaran betapa menjaga kebersihan dan kemurnian alam sekitar sebenarnya merupakan tangungjawab semua manusia dan bukannya tugas yang hanya dilaksanakan oleh pihak pemerintah semata-mata.
Oleh yang demikian, sambil kaedah kitaran-semula (re-cycle) digunakan oleh jentera pentadbiran pembangunan sebagai salah satu kaedah menjaga keseimbangan eko-sistem, individu-individu di dalam masyarakat pula 'dipujuk', dididik semula dan 'diindoktrinasi' untuk melihat alam sekitar sebagai sebahagian daripada kehidupan di dunia ini. Untuk tujuan tersebut, psikologi digunakan dengan sebaik-baiknya menurut kaedah yang difikirkan sesuai oleh pihak pentadbir pembangunan.
Dengan menggunakan kaedah psikologi, pentadbiran pembangunan dapat mengesan serta mengenal pasti kecenderungan semulajadi manusia terhadap sesuatu benda. Dengan mengkaji punca-punca kecenderungan tersebut, maklumat-maklumat berkenaan akan membantu kerajaan khususnya untuk merangka sesuatu tindakan yang bersesuaian dengan kehendak serta penerimaan masyarakat. Sebagai contoh, ketika kerajaan berusaha keras untuk membina reputasi yang menyakinkan bagi pertumbuhan ekonomi sesebuah negeri, beberapa soal psikologi – seperti mendapatkan keyakinan rakyat tempatan dan asing – menjadi pertimbangan utama, terutamanya sekiranya sesebuah negeri itu telah tercalar reputasinya oleh insiden-insiden tertentu yang membawa kesan negatif dari sudut ekonomi.
Ini dialami misalnya oleh Johor dalam hubungannya dengan pelanggan-pelanggan berpotensi dari Singapura. Laporan kejadian jenayah yang berterusan dilancarkan oleh media Singapura – terutamanya dengan kenyataan-kenyataan media Republik tersebut bahawa rakyat Singapura sering menjadi sasaran peragut, perompak dan penculik – dikatakan menjejaskan ekonomi Johor yang mengakibatkan kehilangan pendapatan kira-kira RM225 juta. Ekoran itu, kerajaan negeri Johor menghantar delegasi ketua-ketua jabatan agensi keselamatan dan pelancongan negeri untuk menanamkan keyakinan rakyat Johor bahawa: (1) Johor selamat bagi pelancong; dan (2) kenderaan-kenderaan Singapura bukanlah sasaran penguatkuasaan Majlis Bandaraya Johor Baru. Lihat laporan “Group to woo back Singaporeans”, New Straits Times, January 3, 2006, halaman 4.