Saturday, February 27, 2010

PUCUK DICITA






Namanya agak masyhur dan penting di suatu kawasan di Kota Kinabalu




Dibesarkan dalam persekitaran yang begitu, saya berpeluang mengenal dan memahami beberapa sumber makanan segar yang boleh diperoleh terus daripada muka bumi. Pemelajaran sosial sebegitu sentiasa berlaku. Arwah datuk misalnya, yang sepanjang hayatnya mengukur sempadan-sempadan tanah di mana-mana sentiasa memberi peluang - sekiranya ada - kepada saya untuk mengenal tumbuh-tumbuhan atau haiwan-haiwan bukan peliharaan. Sekecil mana hutan atau belukar yang ada, besar kemungkinannya akan terdapat satu-dua tumbuh-tumbuhan  atau seekor-dua haiwan tertentu yang sukar dilihat di persekitaran biasa yang dihuni orang. Pucuk-pucuk kayu - sama ada untuk tujuan perubatan menurut perspektif tradisional atau semata-mata dimakan tanpa mengetahui khasiat pemakanan kerana sememangnya ia sudah dibuktikan boleh dimakan oleh orang-orang terdahulu - sentiasa ada di mana-mana selagi ada tanah atau belukar sama ada yang terbiar atau pun yang diusahakan secara sedar oleh seseorang.

Sewaktu bersantai si sebuah tempat, saya terlihat pohon ini, yang agak rendah dan rendang, namun agak lebat dengan buahnya. Saya senyum sendirian, puas dan gembira kerana ada sumber makanan segar, percuma, namun sangat mengasyikkan untuk menikmatinya dengan cara khusus. Saya petik sebiji buahnya berserta setangkai pucuk mudanya, lalu diunjukkan kepada rakan-rakan setugas setelah kembali ke tempat berbengkel yang agak jauh jaraknya dari kawasan belukar itu. Dalam kurang-lebih 30 orang membelek-belek buah dan pucuk muda itu, cuma seorang sahaja yang kenal nama dan rupa tumbuhan itu. Saya terfikir bagaimana situasi sosial hari ini dapat menawarkan sesuatu kepada generasi sekarang dan akan datang.

Perkumpulan seumpama yang dianjurkan ini sememangnya memberi banyak manfaat. Penyatuan fikiran antara beberapa minda menjadikan pandangan serta gagasan yang dilahirkan tinggal sebagai pilihan atau alternatif yang boleh diulang kaji pada bila-bila masa. Selain tempat acara yang sesuai - seperti di di situ - bukan sahaja tumpuan dapat diarahkan langsung ke setiap gerak cara, malahan boleh pula menggunakan masa yang ada antara sela-sela kelapangan itu untuk riadah atau apa sahaja.

Sunday, February 21, 2010

SELEPAS SATU, SATU

MASA
Image, http://t0.gstatic.com/images?q=tbn:aLt4JwEutGqk2M

Seminggu berlalu. Seingat saya, tujuh hari itu dihabiskan kepada urusan-urusan pentadbiran. Dua daripadanya ditumpukan kepada isu-isu dalaman. Kami perlu berulang-alik ke atas dan kembali ke bawah. Pada kedua-dua hari itu kami perlu berada di pejabat itu seawal pukul 7 pagi. Saya tidak melihatnya sebagai masalah kepada diri saya sendiri. Ia tidak berlangsung dengan begitu baik. Saya fikir mungkin ada terlalu banyak unsur yang tidak dijangka. Barangkali juga kehadiran saya tidak kena pada masanya walau pun saya keberatan pada awalnya untuk turut berada di situ.  

Namun ianya tidaklah seburuk itu. Saya berkesempatan bertemu beberapa sahabat lama - Beap (dia kelihatan begitu sibuk mengatur urus susun-letak pasu-pasu bunga hiasan di pejabat besar itu); Mail (kelihatannya masih gelisah); Ramona (dia agak gugup dan terpinga-pinga untuk seketika); Zaidi (sebagaimana Mail); Zai (sedang sibuk mengemas di pejabatnya); dan Roza (terkejar-kejar ke sana dan ke mari). Beap sempat mengatakan sesuatu kepada saya dengan isyarat tangan yang sempat saya baca dengan tangkas. Namun saya cuma membalas dengan gelengan kepala setakat dua-tiga kali. Saya berteka-teki sebenarnya. Kemudian, berbicara seketika dengan bos sebelum saya memohon diri untuk ke acara seterusnya di bawah. Kami sempat singgah di kedai mamak berdekatan untuk bersarapan sebelum meneruskan perjalanan ke mesyuarat yang sudah sampai waktunya. Saya memberikan taklimat dan penjelasan sepenuhnya. (aroma tosei bawang yang saya nikmati pagi tadi masih mengudara sekali-sekala tatkala tangan saya berdekatan dengan hidung!).



WAJAH-WAJAH YANG PERNAH DILIHAT


Saya di kedai buku/majalah kegemaran saya di uptown pada suatu malam kira-kira dua malam lepas. Agak malang, buku yang dicari tidak ada pada waktu itu. Lalu menghabiskan masa seketika membelek-belek majalah-majalah yang tersusun bertingkat-tingkat di situ. Di sebelah saya, seorang lelaki metro sedang asyik meneliti satu halaman majalah International Business.

Saya kenal wajah itu, "Jay Jay...", bisik hati kecil saya.

Sedang asyik, tiba-tiba dua susuk tubuh melintas perlahan di hadapan.

"Ayin, Ayong...", sapa saya.

Ayong tergelak besar tatkala perasan bahawa saya yang menyapa mereka. Kami berbual seketika sebelum masing-masing memohon pergi. Sempat juga saya berbual seketika dengan Ayin sewaktu di kaunter pembayaran manakala Ayong masih tercari-cari sesuatu di rak yang agak jauh.

"Pasangan yang cocok..."


DI LUAR KAWASAN



http://farm3.static.flickr.com/2391/1928742567_d1575fb020.jpg

Melihat diari, memang jelas minggu hadapan - dan itu bermula esok - menyediakan jadual yang sangat padat. dengan fikiran masih lagi dibelenggu dengan kursus jangka pendek Penn-State University di Hotel PJ Hilton, cara-acara temuduga (skim pensyarah muda) dan bengkel Perancangan di Selatan Perak mengisi keseluruhan minggu ini.  Dalam disiplin Pengurusan Perubahan, Lewin ada menyebut dan menjelaskan mengenai "Freeze, Unfreeze, Freeze"...
 
Ertinya, memang tidak akan ada kesudahannya.

Friday, February 19, 2010

REZEKI

Imej, nasrudin 19 februari 2010
Rezeki dan budi baik selalu datang seiring. Di pejabat, biasanya rakan sejawatan sentiasa ada sesuatu yang diniatkan untuk diberikan sebagai hadiah kepada rakan yang lain. Begitulah, dari semasa ke semasa, saya menerima bermacam-macam benda daripada mereka, terutamanya apabila mereka baru pulang dari bertugas di luar daerah atau luar negara.

Pagi ini, rezeki muncul lagi. Kali ini dalam bentuk buku terbaru yang ditulis sendiri oleh rakan. (Datuk) Ramlah tiba-tiba muncul di muka pintu pejabat saya awal-awal pagi tadi.

"Buah tangan daripada saya", ujar beliau, "baru dapat daripada DBP".

Saya sambut dengan gembira dan bersyukur. Bertambahlah sumber maklumat saya untuk hari ini dan esok atau mungkin hingga ke lusa (bergantung bila saya akan habiskan pembacaan buku itu).

Datuk Ramlah juga selalunya membekalkan saya dengan akhbar berkala tempatan yang khusus membicarakan isu-isu politik tanah air.

Syukur!

SEJAUH PERJALANAN


Image, http://www.featurepics.com/FI/Thumb/20070705/Highway-Heaven-371595.jpg


Banyak yang boleh difikirkan sewaktu dalam pemanduan untuk perjalanan yang agak panjang. Bercakap mengenai ilham, tentu sahaja ia boleh datang dalam pelbagai bentuk. Saya gambarkan, sekiranya saya seorang pencipta lagu, perjalanan berkereta antara 3 dan 4 jam di lebuh raya mungkin mencukupi untuk melagukan irama yang paling asas sebelum melengkapkan sebuah lagu. Sekiranya saya penulis lirik, saya agak pasti tidak kurang 3 lagu akan dapat disudahi lirik-liriknya sepanjang perjalanan sejauh itu.

Memandu bersendirian di lebuh raya masih lagi menjadi sesuatu yang saya sangat senangi. Dengan kelajuan antara 100 - 110km/j, pemanduan santai seperti itu lebih daripada mencukupi untuk saya mendapat banyak faedah. Paling tidak, waktu selama pemanduan itu sangat dimanfaatkan untuk berfikir semata-mata - tidak semestinya berisi - namun cukup untuk mengharmonikan paduan hati dan cetusan akal.

Hari itu - Rabu, 16 Februari - masih lagi cuti umum Perayaan Tahun Baru Cina. Awal petang, mak tiba dari Kuantan bersama-sama adik. Adik bekerja pada hari itu, lalu saya menyambung tugas adik untuk menghantar mak dan abah ke kampung. Kami menetap di utara, di Kamunting. Jika Kamunting jarang disebut orang, mungkin Taiping lebih agak masyhur. Ya, kamunting letaknya di Taiping.

Kami memulakan perjalanan pada kira-kira pukul 6 suku petang. Menyusuri lebuh raya Guthrie, langsung ke Rawang, dan menyambung ke lebuh raya PLUS menghala Utara, kenderaan dari Selatan boleh dibilang dengan mudah. namun jika ditoleh ke lorong bertentangan - dari Utara ke Selatan pada waktu itu - kenderaan semuanya merangkak-rangkak.

Hati saya berbisik, "Agak pasti malam nanti, perjalanan balik dari Taiping ke Shah Alam tentu mengambil lebih daripada 6 jam!"

Kami tiba di Taiping kira-kira pada pukul 9.15 malam. Dalam perjalanan, kami berhenti seketika - kira-kira selama 30 minit - di Rehat & Rawat Tapah kerana menguruskan mak yang sudah pun tidak berupaya menguruskan dirinya sendiri. Oleh kerana kami bertiga - bersama-sama ayah dan saya sendiri - timbul sedikit kesulitan untuk melepaskan mak bersendirian ke tandas. Dalam dilema - sambil saya melayan serba salah ayah dengan gurauan dan senyuman - kami disapa tiga perempuan yang berhenti sebentar antara sela perjalanan mereka ke Pulau Pinang - saya yakin ketiga-tiganya anak beranak - yang menawarkan bantuan untuk memimpin mak masuk ke tandas. Syukur!

Agak ralat kerana saya tidak sempat berterima kasih secara peribadi kepada mereka walau pun abah sempat berbuat demikian. Saya terlalu kalut terkejar-kejar antara tandas dan kereta saya yang diletakkan agak jauh sedangkan saya perlu mendapatkan pakaian salinan untuk mak.

"Tidak mengapalah", hati saya memujuk, "Abah pun dah berterima kasih kepada mereka".

Waktu selebihnya, dari Tapah ke Taiping, saya peruntukkan seluruhnya memikir macam-macam. Abah dan mak kelihatannya melelapkan mata pada sepanjang perjalanan.

"Bagaimana agaknya aku pada usia seperti abah dan mak kelak?", hati saya menyoal meski pun gambaran yang ada hampir-hampir polos sama sekali.

Selepas 10 minit di rumah, aku pun bersegera untuk kembali memandu pulang ke Shah Alam pada malam itu juga memandangkan awal pagi esoknya harus berada di pejabat. Wajah mak dan abah tidak mampu ku tatap lama. Rasanya, perjalanan sendirian selama 3 jam dari Taiping ke Shah Alam pada tengah-tengah malam itu aku telah manfaatkan nilainya menjadi 8 jam.

Tuesday, February 16, 2010

MENGINGSUT SENJA




http://www.turnbacktogod.com/poe...fortune/


Agak menyedihkan kerana secara tiba-tiba sudah sampai rupa-rupanya masa saya - atau mungkin juga kita - mula menerima secara redha kesedaran bahawa ibubapa sudah kian mengingsut ke senja. Di luar sedar, selama ini saya masih dibuai memori silam - kembali berpuluh-puluh tahun lampau - bahawa ibubapa masih seperti yang dulu; segar dan sihat sebagaimana adanya. 

Kelmarin saya membaca catatan sahabat karib - Al-Baishah - di facebook-nya yang menyebut mengenai ibunya yang menerima rawatan di Pulau Pinang. Begitu juga dengan beberapa ibu atau bapa teman-teman lain, termasuk Hajjah Saenah yang pada setiap kali saya temui kelihatannya kian uzur meski riak keibuan di wajahnya menyejukkan hati pada setiap masa; atau Haji Md Kodry, yang sifat kebapaanya sentiasa saya kagumi. Kali terakhir saya dengar khabarnya tidak begitu baik keadaannya beberapa minggu lalu. Saya mendoakan yang terbaik segalanya untuk mereka. 

Lewat petang nanti saya akan membawa ibu pulang ke Taiping. Ibu sudah terlalu uzur penglihatannya. Segalanya terpaksa dipandu dan dipimpin untuk apa juga pergerakannya. Abah masih bagus kesihatannya meski usianya sudah mencecah penghujung 70an tahun. Kelmarin ibu sempat dibawa pulang ke kampung halamannya di Negeri Sembilan. Kegembiraanya dapat bertemu dengan sanak saudara jelas tergambar di wajahnya.   

Sekiranya semudah itu boleh dilakukan, saya sanggup kehilangan mata saya ini untuk ibu. Namun saya memikul banyak tanggungjawab yang saya fikir sama beratnya. Malam ini saya harus kembali semula ke Shah Alam sebaik sahaja menghantar ibu pulang ke kampung. Saya tidak dapat bercuti panjang kerana komitmen kerja membataskan saya kali ini.

Itulah, pengorbanan sentiasa ada harganya di mana-mana dan pada bila-bila masa.

Monday, February 15, 2010

TANAH, AIR, ANGIN & API

Selain kumbang badak yang sememangnya menjadi kekaguman saya - yang bertanduk tiga seperti lambang syaitan itu - ada sejenis lagi kumbang seperti di sebelah ini, yang sejak waktu anak-anak dahulu kami panggil kumbang kayu. Sesuai dengan namanya, spesis ini kerjanya makan kayu. Mudah ditemui di kawasan-kawasan yang berpohon, biasanya di kawasan hutan yang berdekatan dengan sumber air, khususnya sungai. Rupanya seperti kulit pokok, sukar dilihat sekali imbas.


Aliran deras sungai berbatu di sebuah resort pusat latihan di luar Kuala Lumpur menjadikan kawasan ini tempat yang sangat sesuai untuk beriadah atau bersenang-senang diri. Gerakan ikan-ikan batu - seperti tengas dan sebarau - amat mudah dilihat dan sangat menenangkan. Bagi saya, sebelah malamnya, memancing mungkin acara paling tenteram dan aman. Berbekalkan umpan tepung atau cebisan daging ayam, sebuah lampu suluh kecil sebagai sumber cahaya, dan secawan kopi panas sambil bersila di atas bongkah batu besar, tiga jam di tengah-tengah malam yang gelap pekat, sangat mengasyikkan.   



Apa lagi yang menyamankan selain berenang-renang dan berendam di dalam air sungai yang dingin pada awal-awal pagi? Atau semata-mata menikmati kemeriahan percikan air pada bonjolan batu-batu di atas permukaan aliran air yang berterusan sambil menangkap kelibat ikan-ikan yang berenang deras di bawah permukaan air?

Atau sekadar menjadi pemerhati yang tidak pasti di mana titik tumpuannya?

Friday, February 12, 2010

ITU TAKDIR

Image, graphicshunt.com/




Bukan pada setiap hari kita berasa bahawa kita sudah pun dijadikan musuh paling dibenci oleh seseorang yang selama ini paling akrab dan hampir sejak bertahun-tahun. Jika waktu ini berupaya mengembalikan semua memori lampau, hanya Allah yang tahu.

Thursday, February 11, 2010

SEKIRANYA DIBERI PILIHAN


Image, http://i972.photobucket.com/albums/ae209/PepWol/Alone.jpg



Sedang asyik duduk sambil menyingkap-nyingkap lembaran pada sebuah buku yang ada di Aspirasi Sarjana petang tadi, mata saya tertumpu langsung kepada sepotong ayat yang saya fikir sangat memintas fikiran secara tiba-tiba,

"Sekiranya kita tidak boleh menghilangkan kegelapan, kenapa kita tidak fikirkan cara untuk mencerahkan suasana?”

Saya terfikir, dalam banyak keadaan atau situasi yang saya berpeluang saksikan, pilihan seperti di dalam kata-kata di atas itu jarang sekali diberikan kesempatan untuk mendominasi. Mungkin, sekadar tekaan, pilihan seperti itu bukanlah sebenarnya pilihan. Alasannya, mungkin disebabkan kegelapan adalah sifat yang sememangnya menjadikan semua pilihan tidak releven. Dengan kata lain, gelap adalah sifat yang mematikan segala pilihan. Saya ingin berfikir begitu, namun jauh di dasar, hati saya percaya tidak semua benda perlu dipadankan. Saya tidak memilih untuk mempercaya dualisma. Kepercayaan bukanlah semudah memilih antara gelap dan terang, hitam dan putih. Kepercayaan menyangkut soal keikhlasan dan ketulusan hati. Dalam pada itu, selalu juga saya mendengar, "Anda boleh memilih untuk percaya atau tidak!"

Apa pun, dalam banyak keadaan, hal seperti ini sangat berkait dengan persepsi dan stereotaip. Ada masanya, ia seperti menduga kekuatan akal dan hati seseorang. Bukan selalu kita berpeluang untuk menyatakan kebenaran semudah itu. Ada banyak halangan yang mesti difikirkan sedalam-dalamnya. Namun ada kata-kata bermutiara yang berbunyi, "Kebenaran seumpama pedang, ia sentiasa melukakan".

Tuesday, February 09, 2010

PRATUNAM





Images, nasrudin, February 8th 2010

Dari sudut Sosiologi Bandar, ada beberapa perkara yang agak menarik untuk diperhatikan di bandaraya Bangkok.

Pertama, Pengawal lalu lintas sentiasa berada di setiap lokasi yang melibatkan pejalan kaki. Ini dapat dilihat terutamanya di kawasan-kawasan perniagaan utama seperti di pusat-pusat membeli belah seperti Pratunam (imej di sebelah) khususnya, dan Chinatown.

Pratunam - dengan mall seperti Platinum, Pantip Plaza dan hotel-hotel seperti First dan Amari - sentiasa padat dengan pejalan kaki. Lorong-lorong ke arah bangunan untuk meletak kenderaan sentiasa dijaga oleh pengawal lalu lintas. Sama ada kenderaan mahu pun pejalan kaki, semuanya bergerak dengan lancar dan selamat. Secara am, tidak ada konsep 'waktu sesak' di kawasan ini kerana apa yang saya perhatikan, kesesakan sentiasa berlaku seawal pukul 9 pagi waktu tempatan (10 pagi waktu Malaysia).

Setiap kenderaan yang menggunakan jalan utama di kawasan ini amat patuh kepada pengawal lalu lintas kerana saman akan terus dikeluarkan tanpa bersoal-jawab. Sebagai contoh, bas yang berhenti di tempat yang tidak sepatutnya akan terus disaman, begitu juga dengan teksi dan kereta persendirian.

Kedua, teksi-teksi di kawasan ini sentiasa sedia menunggu pelanggan. Kadar kenaan juga tidaklah semahal di Kuala Lumpur. Nota: Kebanyakan warga Thailand yang saya temu bual mengatakan kerajaan Malaysia sangat bagus, jauh bezanya dengan kerajaan Thailand sekarang ini (Thaksin lebih disayangi oleh kebanyakan warga Thailand berbanding Abhisit; alasannya Thaksin lebih bijak mendatangkan pendapatan kepada rakyat Thailand). Semua pemandu teksi yang saya berpeluang temui dan berbual, ramah-tamah belaka dan sentiasa menjadi pemandu pelancong yang sangat berpengetahuan mengenai sejarah tempatan.

Monday, February 01, 2010

DALAM KENANGAN

Pemergian Allahyarham King Ghaz, Tun Ghazali Shafie pada 21 Januari baru-baru ini adalah suatu kehilangan besar kepada negara, terutamanya bagi dunia diplomasi dan hubungan antarabangsa khususnya. Beberapa kenalan rapat Allahyarham - seperti (TS) Razali Ismail dan (TS) Kadir - serta orang-orang yang sangat mememahami personaliti dan kepemimpinan Allahyarham - seperti (Datuk) Salehuddin dan (Datuk) Yusof - memberikan pelbagai maklumat yang menarik mengenai gaya kepemimpinan Allahyarham selama memegang beberapa jawatan semasa hayat beliau sewaktu kami berkumpul untuk apa-apa tujuan terutamanya ketika menikmati jamuan teh selepas mesyuarat misalnya.

Kami mengusulkan untuk mengadakan majlis khusus - "Tun Ghazali Shafie dalam Kenangan" - dalam waktu terdekat ini. Awalnya, pagi kelmarin sewaktu bersembang di pintu masuk pejabat, (Datuk) Ramlah Adam menyebut untuk mengadakan majlis hanya sesama kami - berdua atau bertiga sebagai panel - dan tumpukan kepada tema khusus mengikut bidang. Bagaimana pun, selepas memikirkan fakta bahawa Allahyarham pernah mempunyai ikatan yang sangat rapat dengan universiti ini sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah, idea itu perlu dikembangkan dengan lebih luas.

Bermula di Shah Alam, majlis itu mungkin sewajarnya dipanjangkan langsung ke tempat-tempat lain sehingga meliputi Sabah dan Sarawak. Kemuncaknya, mungkin dapat dibukukan sesuatu dalam bentuk memoir misalnya? Mungkin lebih menarik jika ahli-ahli panelnya melibatkan tokoh-tokoh yang kini sudah bertaraf mentor, seperti Dollah Kok Lanas, TS Razali, Pak Lah atau Tun Musa Hitam misalnya?

Sunday, January 31, 2010

RETROSPEKTIF - PMs, AKHLAKEN...

Image from: murasame5.wordpress.com


1. Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, dan Tun Hussein Onn - ketiga-tiganya bekas Perdana Menteri - memiliki personaliti yang tersendiri yang sekaligus membezakan ketiga-tiganya dari segi kepemimpinan politik. Teori Sifat atau Teori Personaliti memberikan landasan yang kelihatannya menyebelahi Tunku Abdul Rahman manakala Teori Situasi memberi kelebihan kepada Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn.

Apa yang berlaku sewaktu sesi pagi dan petang tadi menjelaskan betapa kepemimpinan dan etika tidak boleh diasingkan walau sedikit pun. Kes-kes yang dikaji menunjukkan pada awalnya bahawa sebarang taakulan (reasoning) yang menyalahi peraturan dan tanggungjawab yang difahami dan diterima bersama akan menjadi kesalahan moral di mana-mana. Motif kemudiannya akan menjadi suatu unsur yang sangat diutamakan yang akan menjelaskan tindakan atau keputusan.

2. "Kosong", begitu reaksi Akhlaken selepas ditanyakan khabar dirinya pada pertemuan lewat petang tadi.

Kami berbicara sambil menikmati beberapa gelas teh panas di Syed. Tengah malam tadi kami bersembang di FB, bertukar-tukar pandangan dan fikiran mengenai pelbagai isu. Bagaimana pun, ia tidak berakhir di situ. Kami terfikir ada banyak lagi perkara yang perlu diungkapkan, namun jaringan sosial elektronik bukanlah platformnya. Emosi khususnya amat sukar untuk diluahkan secara maya. Di samping itu, agak sukar bagi seseorang untuk menulis - atau menggunakan papan kunci untuk menaip - sebebas dan sepanjang mungkin apa-apa sahaja yang dihajati lantaran beberapa halangan dan batasan. Berjumpa secara langsung masih lagi merupakan cara terbaik untuk berhubung dan berinterkasi. Cara bagaimana seseorang meluahkan perasaannya, sebagaimana terpancar melalui riak wajahnya, nada suaranya, kemarahan yang ditunjukkannya melalui banyak cara - misalnya bahasa yang digunakan sama ada secara verbal dan bukan verbal - boleh diperhatikan dengan mudah.

Sudah agak lama kami tidak berjumpa sejak kali terakhir dulu - kira-kira beberapa bulan lepas - di Damansara. Pertemuan petang tadi mengembalikan semula perspektif sebenar kami mengenai apa makna persahabatan yang tulen. Kami bersetuju - sesudah mempertimbang beberapa insiden kurang menyenangkan yang melibatkan rakan-rakan kami beberapa minggu kebelakangan - bahawa ia hanya memerlukan suatu isu yang sangat kecil untuk meletakkan nilai persahabatan di penghujung hubungan. Takdir kemudiannya menjadi penentu yang membawa makna kepada setiap perkara dalam apa yang dipanggil 'persahabatan'.

Lingkaran 'persahabatan' itu - dalam bentuk-bentuk Akhlaken, FinFin, ShiShi, WaWa, Alex dan Purple Stockings - pernah suatu ketika dulu merupakan rantaian perasaan dan kasih-sayang yang sangat hebat dan mistikal.

Kami sangkakan ia akan berakhir jauh lebih lama; namun ia tidak berlaku sedemikian.

Hidup perlu diteruskan.

Saturday, January 30, 2010

SELA-SELA WAKTU SENGGANG



Image, nasrudin, 29january2010, desa aman



Memancing - satu daripada banyak acara waktu senggang sejak zaman anak-anak. Seingat saya, sebelum menjejakkan kaki di dunia persekolahan, saya sudah ke sana sini bersama-sama abang atau rakan-rakan sebaya mencari tempat-tempat menangkap ikan. Ikan lawan (ikan laga) mungkin antara ikan-ikan terawal yang saya kenal. Setiap lubang (sebesar penumbuk, kerana ia bekas tapak kaki kerbau) di kawasan berair menjadi perhatian kami; warna dan rupa air (sama ada berbuih, gelap dan berkarat) menjadi perhatian kami kerana semua maklumat itu membolehkan kami mengetahui sama ada ikan di dalam lubang itu jantan atau betina dan sebagainya. 

Kemudian saya mengenal ikan-ikan keli, fatty (dikenal juga sebagai ikan beras), haruan, tilapia, lampam, sebarau, sepat, puyu, dan banyak lagi. Sedikit demi sedikit saya mula mengetahui fakta-fakta bahawa teknik yang berlainan diperlukan untuk menangkap jenis-jenis ikan yang tertentu.   

Setelah agak lama meninggalkan dunia itu, saya berpeluang untuk kembali mendekati kegiatan yang pernah mewarnai kehidupan saya ketika kecil dahulu. Bezanya, pada kali ini saya melihat senario yang sangat berlainan. Memancing di kolam buatan, duduk berkeliling, sambil menghirup kopi o pekat dan mengunyah-ngunyah kacang tanah, saya berasa seolah-olah ia lebih kepada acara untuk duduk bersendirian, memikir dan merenung. Sama ada ikan memakan mata pancing atau tidak, tidak pernah menjadi isu kepada saya dalam keadaan seperti itu.

Agaknya, apakah kepuasan memancing kepada orang lain, yang berada di kiri-kanan saya, di seberang sana, atau di mana-mana dalam kawasan kolam berbentuk lonjong seperti itu?

Thursday, January 28, 2010

KLASIFIKASI ILMU



Image from: samotalis.blogspot.com






1. Saya tidak berhasrat untuk mengulas panjang isu 'kepala babi di masjid-masjid'. Agak terlalu awal untuk menyatakan apa-apa mengenai kejadian itu. Apa yang saya fikir lebih penting adalah sudut pandang yang perlu digunakan untuk mendekati isu tersebut dengan cermat dan berhikmah. Ada beberapa kemungkinan yang mesti dipertimbang. Setakat ini, perkara terbaik yang mesti dilakukan adalah membiarkan pasukan polis negara kita melaksanakan tugas mereka dengan cepat, betul dan cermat. Andaian adalah ibu segala kekalutan; jadi simpan dahulu segala andaian sekiranya ada.



Image, nasrudin, 28 January 2010






2. Sekarang ini musim pilihan raya kampus. Pengundian pada siri pilihan raya kali ini dilakukan secara e-undi. Sepanjang kempen pilihan raya, saya berpeluang mengumpul beberapa risalah yang digunakan oleh pelajar-pelajar yang terlibat dalam proses 'politik mahasiswa' untuk berkempen di universiti.

3. Satu daripada beberapa kesimpulan yang saya boleh luahkan adalah kenyataan bahawa kebebalan dan ketidakpedulian mengenai maklumat dan ilmu tidak akan membawa sesiapa ke mana-mana. Betul, memang ada beberapa kemungkinan dalam soal risalah yang ditulis secara tidak beradab itu. Namun, walau apa pun alasannya, sesiapa sahaja yang berbuat demikian - yang saya tidak fikir calon itu sendiri yang menulisnya -  tentu sahaja merupakan individu yang menyerlahkan tingkat akalnya sendiri yang mengkhianati peluang dan amanah yang telah diberikan kepadanya untuk berada sebentar di universiti. Dia seharusnya mengasihani dirinya sendiri.   

Wednesday, January 27, 2010

TITIPAN YANG TIDAK DIHARAPKAN






Titipan daripada Zura yang diterima semalam bukanlah sesuatu yang dinantikan atau diharapkan. Ia cuma sekadar alasan untuk menjadikan sesuatu. Apa pun, ia sudah tidak memberi makna apa-apa. Kekeliruan dan tanda tanya kadang-kala mengundang andaian sama ada apa yang dibekalkan di balik titipan itu berupa dendam, atau mungkin juga sekadar suka-suka. Kezaliman datang dalam pelbagai rupa, itu mungkin salah satu daripadanya. Soalan sama ada kezaliman itu wajar atau tidak bukanlah sesuatu yang penting. Kezaliman dalam apa bentuk dan rupa sekali pun tidak pernah diwajarkan oleh apa-apa pun. "Sekeping gambar memberi makna yang lebih berbanding seribu perkataan", begitu kata pepatah. Terima kasih kesabaran, bersyukur atas keredhaan.

Tuesday, January 26, 2010

SEDIKIT, NAMUN BERTERUSAN



Image, from: www.thenutgraph.com



1. Saya bertemu dan mendengar hujah-hujah langsung secara berhadapan dengan YB Zulkifli Nordin, seorang peguam, ahli PKR, buat pertama kali di Al I'tisam, TTDI Jaya, kurang lebih 4 tahun dahulu. Peguam yang kerap bermotorsikal kuasa besar untuk ke sana sini itu seorang yang bercakap agak jelas, langsung, sedikit keras dari segi penghujahan, tegas dan tidak berselindung. Kupasan beliau mengenai isu yang sangat hangat ketika itu - mungkin sehingga kini pun masih panas - sangat menyakinkan kerana disokong dengan fakta dan bukti penyelidikan.

2. Saya menyentuh kisah Zulkifli kerana seharian ini saya memikirkan mengenai isu yang berkaitan dengan beliau. Pendirian beliau yang konsisten selama saya mula mengikuti perkembangan peguam itu membuatkan saya terfikir betapa seburuk mana pun sistem dan tata cara politik tahap rendah dicorakkan oleh ahli-ahli politik, personaliti dan pendirian seperti yang dipamerkan Zulkifli memungkinkan harapan untuk terus menguntum walau pun barangkali cuma sedikit.

3. Penghayatan dan pelaksanaan secara zahir adalah refleksi perjuangan murni dan tulen yang sukar ditemui secara kerap. Dalam bidang kepemimpinan, keadaan seperti itu menggambarkan paduan nilai-nilai tinggi yang mengukuhkan personaliti dan kematangan pemimpin dalam semua keadaan secara konsisten. Dengan kata lain, walau isu apa pun yang diperbahas, soalan akhirnya berkemungkinan besar menjurus kepada "Apa sebenarnya yang kita mahukan?"

Monday, January 25, 2010

SELUAS & SEBANYAKNYA


Image from, horsesli.com


Perbualan saya dengan teman, DSA, menimbulkan satu persoalan pada penghujungnya: "Untuk apakah semuanya?"

Kisah ini segera menerpa di fikiran. Pada suatu masa dahulu, entah bila, seorang raja memperkenan untuk menganugerahkan kepada seorang perwira berkuda istana dengan suatu hadiah sebagai menghargai jasa perwira tersebut. Raja tersebut menitahkan bahawa perwira itu boleh memiliki sebanyak mungkin tanah di negara tersebut, bergantung kepada sejauh dan seluas mana kawasan tanah negara itu mampu diliputi oleh larian kudanya itu.


Tanpa bertangguh-tangguh, perwira itu pun menyesah-nyesah cemetinya ke tubuh kudanya, memerintahkan kuda itu berlari sederas dan sekencang yang boleh untuk meliputi seluas mungkin kawasan. Selama perjalanan itu, perwira itu tidak mengendahkan keadaan tubuhnya sama ada letih, lapar mahupun dahaga. Sebaliknya, dia meneruskan perjalanan berkudanya untuk meliputi lebih banyak kawasan lagi. Keadaan itu berterusan sehinggalah dia tiba-tiba kepenatan dan kian nazak.

Dalam nafasnya yang tersangkut-sangkut, perwira berkuda itu menanyakan soalan kepada dirinya sendiri, “Kenapakah aku memaksa diriku secara keterlaluan untuk mendapatkan sebanyak-banyak tanah? Kini aku menunggu saat-saat kematian. Sebenarnya, aku hanya perlukan suatu kawasan tanah yang amat kecil sahaja. Itu pun hanya untuk dijadikan kuburku.”

Pada setiap masa, kebanyakan manusia menghabiskan tenaga dan masa mereka untuk mencari dan mengumpul kekayaan. Manusia mendesak diri mereka, ada kalanya sehingga melampaui batas dan keupayaan diri. Sebahagian daripada mereka melakukan itu semua demi untuk memperoleh kedudukan, kuasa, wang dan kemegahan. Selama berada dalam kesibukan dan keutamaan mencari kesenangan itu, banyak perkara lain terabai dan dilupakan. Kesihatan, kegemaran masa lapang dan masa terluang untuk kebahagiaan berkeluarga dan menghayati keagungan Tuhan tidak diberikan keutamaan.

Suatu hari, apabila menoleh sejenak ke belakang, kita tersedar bahawa sebenarnya kita tidaklah memerlukan sebegitu banyak harta-benda dan kesenangan. Bagaimanapun, untuk mendapatkan semula apa yang kita telah terlepas itu – menghargai apa yang ada di hadapan mata – sudah pun terlalu mustahil untuk diharapkan semula. Pada saat itu, ada yang sampai menyalahkan unsur-unsur lain kerana menyebabkan mereka ‘terpaksa’ mengabaikan perkara-perkara yang asas. Dalam hal ini, mereka seolah-olah menyalahkan Tuhan dengan apa yang mereka lalui dan kesali itu.
“Maka nikmat yang mana satukah daripada Tuhanmu yang engkau mahu dustakan?” (Al-Qur’an, 55:13)

Thursday, January 21, 2010

SOSIOLOGI BANDAR 2



Image, nasrudin - Sarawak Golf & Resort, Kota Samarahan
21012010 (1230hrs)





1. Sebaik menyudahkan sarapan awal pagi (0640hrs), Sakawi sudah siap menunggu di ruang lobi hotel. Langsung ke Samarahan. Sepanjang perjalanan dari Bandaraya Kuching ke Kota Samarahan, saya berpeluang mencatat beberapa pemandangan yang menarik. Saya fikir, yang paling menonjol adalah pada sistem perhubungan jalan raya yang semakin dipertingkat. Ada sedikit kesesakan sewaktu mengarah ke Samarahan kerana pembinaan jalan tambahan untuk tujuan pelebaran. Adanya UiTM dan UNIMAS di tempat yang sama menjadikan kawasan ini tumpuan ramai. Deretan kedai-kedai dan rumah-rumah kedai, sambil diselang seli dengan pembinaan kompleks membeli belah dan taman-taman perumahan menjelmakan konsep perbandaran eko dengan jelas di mana-mana. Saya jangka, dalam masa kurang dari lima tahun akan datang, pelbagai elemen rekreasi dan hiburan awam mungkin akan dibangunkan dengan lebih pesat di sini. Hypermarkets sudah tentunya akan memberikan pandangan yang khusus yang akan mencorakkan tata atur perbandaran di kawasan ini, sekaligus mengurangkan tumpuan berlebihan di sekitar bandaraya Kuching.

2.  Selesai urusan-urusan rasmi, saya dan teman-teman lama - Wan Akil, Rashidee dan Halimahton - menikmati jamuan tengahari di kelab golf di Samarahan. Sudah hampir 5 tahun tidak bertemu Wan Akil, rakan se-universiti sejak penghujung 1980an. Topik perbualan semuanya menjurus kepada hal-hal peribadi dan sosial. Kesempatan seperti ini terlalu berharga untuk dihabiskan kepada hal-hal pekerjaan dan seumpamanya. Wan Akil masih seperti dahulu, periang, rendah diri dan baik hati. 

3. Saya masih meneliti sudut pandangan Emily mengenai pengembangan dan pembangunan bandar. Dalam minda saya, saya membayangkan sifat-sifat bandar bermula dari Kota Samarahan langsung ke Bandaraya dan melewati kawasan menghala ke lapangan terbang antarabangsa Kuching. Itu akan saya sudahkan malam nanti, insyaAllah.    


SOSIOLOGI BANDAR






Image, nasrudin 20012010, riverside, kuching (1330hrs)








Image, nasrudin 21012010, tebingan, kuching (0700hrs)





Memandang ke luar jendela kamar Riverside Majestic, Kuching, ingatan saya segera menumpu kepada memori lebih 17 tahun lampau. Sudah agak terlalu lama rupanya saya mengenali Sarawak; memadai untuk memahami aspek sosiologi bandar-nya yang saya fikir sangat istimewa dan menarik, berbanding dengan tempat-tempat tumpuan di kota-kota Bangkok, Manila, Singapura ataupun Jakarta umpamanya. Saya lebih gemar memerhatikan sifat-sifat warga di kota-kota berkenaan. Bagaimana susun atur kota direka bentuk menggambarkan dengan jelas pergerakan dan kegiatan harian warga di tempat-tempat tersebut. Elemen-elemen masa (awal pagi, tengahari, petang hingga ke malam misalnya), keluasan ruang (berapa banyak tanah yang masih tinggal untuk dibangunkan), corak budaya (gender dan kegiatan harian umpamanya), serta aspek pentadbiran politi dan politik tempatan, semuanya merupakan antara komponen-komponen yang menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan bandar. Yang pasti, saya masih membuat penelitian lanjut. Saya harus menyudahkan urusan-urusan rasmi terlebih dahulu!

Wednesday, January 20, 2010

KATARSIS


Image from: frozenwinds.com

1. Panggilan telefon awal pagi - seawal pukul 7 - memulai urusan hari Rabu ini. Masih mengenai hal-hal rasmi yang perlu dilaksanakan segera, selain daripada janji temu, perjumpaan khas dengan pihak industri, serta hal-hal peribadi yang tidak upaya ditangguhkan lagi. Dalam sebanyak itu hal-hal pada pagi ini, barangkali cuma satu yang menarik perhatian: nota tiga baris yang tertulis pada papan putih di luar pejabat saya. Sukar saya pastikan emosi yang bagaimana melatarbelakangi apa yang tertera di situ. Lalu saya pilih untuk berdiam diri sahaja.

2. Dalam keserabutan jadual pagi, sempat juga di sela-sela itu berhubungan sms dengan Zura dan Finaz. Saya terleka seketika.

3. Saya memikirkan mengenai dua manuskrip buku yang perlu diberikan sentuhan akhir. Ada tarikh akhir yang saya perlu tepati.

Dalam fikiran, "Ya, mungkin boleh disudahkan sewaktu di kota Bangkok dua minggu lagi sambil menghirup teh tarik di Pratunam, atau memesrai secawan kopi pekat di Mak Yah?" Saya hampir boleh tersenyum.

4. Tema kejujuran dan kesetiaan masih lagi melekat kuat di minda. Biarlah saya pinggirkan dahulu soal itu. Barangkali saya dapat menyudahkan sesuatu sewaktu berlapang dada di kamar hotel di Kuching pada malam ini. Tugasan menanti awal-awal pagi esok. Saya perlu mengejar flight!

Tuesday, January 19, 2010

PERIHAL TOPENG









Image, from: axe_vin flickr.com


1. "Dr. Nash ceria sahaja akhir-akhir ini? Ada apa-apa ke?" Nurul menyoal saya awal petang tadi sewaktu saya melewati pejabat pentadbiran. Zu dan Nisa, yang kedua-dua mereka berada di ruang kerja masing-masing turut mencelah di mana boleh. 

2. Seharian di pejabat memberikan kesempatan kepada saya untuk memikir dan kemudian mencatat apa-apa sahaja yang barangkali saya boleh jadikan renungan pada masa hadapan. Dari sudut pengurusan, ini dipanggil impersonification, apabila seorang pengurus menggunakan sifat-sifat peribadinya yang sebenar dalam berkomunikasi dan berinteraksi dengan orang-orang lain. Ada juga beberapa perspektif lain yang mengaitkan dengan perilaku memakai pelbagai 'topi' atau 'topeng' untuk menyesuaikan diri dengan situasi dan keperluan lain. Lalu timbullah 'thinking cap' dan seumpamanya.

3. Saya fikir semuanya semestinya ada masa yang sesuai dan wajar untuk berbuat demikian. Apa pun, senyuman adalah sedekah.