Tuesday, September 30, 2008

selamat hari raya idilfitri

selamat hari raya idilfitri 1429! maaf zahir & batin.

Sunday, September 28, 2008

bon voyage, lyana


Have a nice journey to LSE, lyana!

Saturday, September 27, 2008

gurindam pemimpin

Pemimpin berani
berjiwa murni
Pemimpin ikhlas
berjiwa tuntas
Pemimpin nasionalis
berjiwa humanis
Pemimpin mulia
tebal ilmu, kukuh agama
(sumber: Tenas Effendy)

seminar & persidangan

Ada tiga seminar yang kurang lebih berkaitan, namun penting dalam konteks kepemimpinan dan politik negara.

1
Seminar Politik Malaysia - diadakan di UiTM Sabah pada 28-30 Oktober 2008;
2
round table conference on the future of Malaysia - diadakan di Concorde Shah Alam pada 10 November 2008;
3
Seminar Kepemimpinan Melayu, diadakan di Shah Alam (anjuran InQKA UiTM) pada 18-19 November 2008. Antara isu yang akan dibentangkan merangkumi: Alam & sistem politi Malaysia; pilihanraya dan parti politik; kepemimpinan; dasar-dasar kerajaan; Perdana-Perdana Menteri Malaysia.

Selamat bersidang.

Thursday, September 25, 2008

urbanisasi

Razi,
kurang lebih, urbanisasi bermaksud proses kependudukan - bila bilangan atau kadar penduduk di bandar semakin bertambah. Selalunya urbanisasi dianggap sebagai salah satu daripada beberapa ciri negara yang maju ekonominya. Agak kerap juga urbanisasi dikaitkan langsung dengan industrialisasi walaupun sejarah merekodkan kewujudan banyak kawasan bandar sejak sebelum Revolusi Perusahaan dahulu.

Thursday, September 18, 2008

ajaib dan hikmah

Susah hendak diperkata mengenai keajaiban dan hikmah, lebih-lebih lagi jika ia menyentuh sesuatu yang berkaitan sedikit sebanyaknya dengan soal-soal masa hadapan. Cuma, saya terkenang semula kata-kata Pak Imad (dari Indonesia) sewaktu kami bertemu di Genting Highlands sekitar 1987 dahulu, "Hikmah ada di dalam diri; ajaib ada di luar diri." Walaupun saya tidak faham sepenuhnya kata-kata itu dahulu, hari ini saya fikir saya lebih memahami.

Wednesday, September 17, 2008

nuzul Qur'an

Nuzul Qur'an. Saya berada di Selangor. Negeri Selangor mewartakan Nuzul Qur'an sebagai cuti umum. Bagaimanapun, tidak semua pekerja berpeluang bercuti kerana banyak negeri lain yang tidak mewartakan nuzul Qur'an sebagai cuti umum - satu daripada kelainan sistem Persekutuan a'la Malaysia yang sukar ditemui di tempat lain - menjadikan cuti ini sebagai cuti yang disambut secara sporadik sahaja.

Nuzul Qur'an kali ini menyaksikan kecelaruan politik (dan siasah) tanahair yang kian membimbangkan. Pada saat-saat seperti ini, bukannya soalan seperti "Apa akan terjadi kepada negara ini?" yang penting, sebaliknya soalan begini, "Sesuatu mesti dilakukan oleh kepemimpinan tertinggi politik kerajaan untuk menyakinkan rakyat" terlebih utama.

Salam nuzul Qur'an.

Monday, September 15, 2008

zaid letak jawatan

Terbaru, zaid ibrahim dilaporkan sudah meletak jawatan ekoran kenyataan terbuka beliau bahawa ISA hanya patut digunakan untuk pengganas komunis (kurang lebih).
Mahyuddin pula dilaporkan berkata beliau hanya menyampaikan suara dan pandangan akar umbi sahaja.
Kenyataan bahawa iklim dan lanskap politik Malaysia semakin menggegar sememangnya tidak upaya dinafikan lagi. Dalam bidang kepemimpinan, hal seperti ini mengundang apa yang diungkapkan sebagai 'power distance'...

Friday, September 12, 2008

meneka dalam kesamaran

Reaksi PM terhadap kenyataan Mahyuddin Yassin digambarkan oleh media massa sebagai 'kejutan'. PM dilaporkan berkata bahawa masih banyak yang beliau perlu usahakan sehingga berjaya, termasuklah soal perkhidmatan kepolisan dan kemiskinan tegar. Kenyataan bahawa dua menteri dalam kerajaan yang sama bertukar balas kenyataan di luar lingkungan rasmi kabinet tentulah isyarat yang tidak manis untuk diperlihat. Permainan teka-meneka tentu sahaja terus menguasai.
Terkini:
1. Raja Petra Kamaruddin ditahan di bawah ISA tengahari ini.
2.Pak Lah dan Najib Tun Razak menyatakan bahawa mereka menyerahkan kepada pertimbangan Majlis Tertinggi berhubung sebarang pendirian mengenai tarikh baru peralihan kepemimpinan.

Thursday, September 11, 2008

permulaan baru

Kemunculan Panglima Angkatan Tentera membuat kenyataan akhbar berhubung soal perkauman adalah permulaan yang pelik dan sedikit menggusarkan. Selain Thailand, Indonesia dan Filipina yang sejarah negara-negara itu kerap menyaksikan penglibatan personaliti tentera dalam jaringan politik tempatan, Malaysia tidak pernah dilihat mempunyai barang sedikit pun kelibat personaliti tentera dalam sistem politi dan politik negara ini.
Lanskap politik Malaysia mungkin berubah lagi dari segi ini?

Tuesday, September 09, 2008

Isu & masalah, gejala & isyarat

Kecelaruan dan kekalutan suasana dan iklim politik negara semakin tidak berupaya dilindungi lagi. Apa yang jelas, situasi seolah-olah makin sudah di luar kawalan. Dalam keadaan begini, garis pemisah antara 'isu' dan 'masalah sebenar', 'simptom/gejala' dan 'isyarat' atau petanda, tidak lagi menjadi sempadan penting dalam perkiraan banyak pihak.
Apa sebenarnya yang perlu diperhatikan?
1 - isu 16 September
Lawatan BBC ke Taiwan tidak dapat dirasionalisasi umum. Taiwan bukanlah model yang unggul untuk dipelajari segi-segi politiknya oleh ahli-ahli politik negara ini. Apa yang ada di Taiwan tidak perlu diteladani untuk diamalkan di sini.
2 - isu Datuk Ahmad Ismail (Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera)
Apa yang berlaku merupakan gejala kepada penyakit politik semasa. Ini cuma juluran kecil yang dihulurkan oleh sekumpulan kecil orang-orang Melayu yang letih dan bosan dengan kerenah dan keterlampauan bukan sekumpulan kecil dan besar orang-orang bukan Melayu yang lupa sejarah tanahair. Setiap kali berlaku hal seperti ini, orang-orang Melayu dikatakan 'rasis' sedangkan Hindraf dan Persatuan Pendidikan Cina tidak sekali pun di katakan rasis (kerana tempelan slogan 'hak asasi' yang dipropagandakan di seluruh dunia dan diperjuang secara membuta oleh NGO di negara ini yang sebahagiannya melibatkan personaliti Melayu sendiri). Setiap kali hal seperti ini timbul, orang-orang Melayu juga yang perlu memilih sikap apologetik.
Ada banyak isu dan masalah sebenar lain yang perlu dilihat. Bagaimanapun, pada ketika ini, cukuplah sekadar selesaikan terlebih dahulu kedua-dua hal di atas kerana ia lebih penting dan genting.
Seperti biasa, di sebalik semua pendirian orang-orang Melayu - accomodation, acculturation, assimilation, tolerance, acceptance - mereka terus ditentukan untuk menjadi apologetik dan penyesal atas himpitan yang dikenakan ke atas mereka bukan sahaja oleh anasir luar, malah kepemimpinan mereka sendiri.

Saturday, September 06, 2008

celaru

Breaking news yang disiarkan dari sumber berita Perancis menyebut antara lain Anwar Ibrahim sudah bersedia untuk mengambilalih kuasa mengepalai kerajaan daripada Pak Lah. Tarikh 16 September pula khabarnya kini dijadikan tentatif oleh Anwar yang berkira-kira untuk mengubahnya kepada 17 September ekoran tindakan kerajaan yang didakwa oleh Anwar cuba menghalang Ahli-Ahli Parlimen daripada melancong ke luar negara, khususnya negara China. Misi Anwar ke Indonesia baru-baru ini dikatakannya amat berjaya. Namun ia kekal misteri.
Ini soal percaturan strategi politik antara pemimpin-pemimpin politik. Di pihak rakyat, hal sebegini tentu sahaja mencetuskan kecelaruan. Ditelan mati emak, diluah mati bapak. Pada penghujung hari, semuanya kembali kepada kesejahteraan ummah. Dalam keadaan sekarang, ke arah manakah rakyat - majoriti - akan berpaling? Mungkin ada banyak petanda yang boleh dijadikan penerang masa depan: (i) sentimen umum semasa; (ii) sentimen ahli-ahli politik; (iii) kenyataan-kenyataan rasmi dan tidak rasmi pemimpin-pemimpin negara; (iv) cakap-cakap kedai kopi; (v) analisis luar negara (rasionalnya, sumber berita mereka dibayar mahal).
Jika mengikut Teori Kekalutan (chaotic theory), perkara begini sebetulnya baik kerana akhirnya akan wujud keseimbangan selepas siri-siri kekalutan. Teori Pemimpin Agong pula antara lain percaya bahawa personaliti menentukan sebahagian besar keputusan dan sokongan politik manakala Teori Situasi pula meletakkan keyakinan kepada pemimpin yang berwawasan dan berani bertindak.
Kita tunggu.

Friday, August 29, 2008

pelaku politik, pemimpin & pengurus

Pengurus mengurus, pemimpin mencipta
Pengurus tanya bagaimana dan bila, pemimpin menyoal apa dan kenapa.
Pengurus fokus kepada sistem, pemimpin fokus kepada manusia.
Pengurus membuat perkara dengan betul, pemimpin melakukan perkara yang betul.
Pengurus mengekalkan, pemimpin mengubah dan membangun.
Pengurus mengawal, pemimpin mencambah kepercayaan.
Pengurus melihat jangka pendek, pemimpin memandang jauh ke hadapan.
Pengurus kekalkan status-quo, pemimpin menyanggah status-quo.
Pengurus melihat hasil akhir, pemimpin merenung horizon.
Pengurus meniru, pemimpin mencipta keaslian.
Pengurus perlu model, pemimpin menjadikan diri mereka model.


Nota: Betulkah begitu?

Bajet 2009

Saya masih meneliti teks laporan yang baru sahaja dibentangkan di Parlimen petang tadi. Sekali dengar dan baca, rasanya tidak banyak yang perlu dihalusi. Bagaimanapun, tunggu sajalah.

Thursday, August 28, 2008

zero-sum

Dalam politik, selalu juga diperkata orang bahawa tidak ada sesiapa yang menang atau kalah. Apa pun keputusan atau hasil daripada aktiviti politik - dalam bentuk pilihanraya misalnya - menang atau kalah sebenarnya tidak menjadi isu. Ke mana pun pengundi akan dibawa, akhirnya yang tertonjol bukanlah proses politik itu sendiri, tetapi lebih kepada apa yang akan dialami oleh rakyat kemudiannya. Yang menang dalam sesuatu pilihanraya hanya menang sorak, manakala yang dilihat kalah, hanya 'tewas' dari sudut keputusan pengundian. Tempoh lima tahun atau kurang daripada itu kemudiannya menjadi medan proses pembuatan keputusan dan perlaksanaan rencana-rencana khusus yang direkabentuk oleh pelaku-pelaku politik.
Anwar tidak menang, manakala Arif Shah bukanlah seorang yang tewas. Apa yang berlaku hanyalah pilihan pengundi yang menyimpan jangkaan dan harapan tertentu untuk tahun-tahun yang berbaki selanjutnya sebelum aktiviti politik seterusnya dicetuskan semula.
Pengundi - dan rakyat - sebenarnya hanya pemerhati.

Saturday, August 23, 2008

hak & keistimewaan

Isu peruntukan 10% tempat untuk bukan Bumiputera di UiTM memanglah berkaitan dengan hak dan keistimewaan. Cuma, yang perlu ditekankan - dengan kadar yang sama berat dan keutamaannya - adalah soal tanggungjawab. Setiap hak mesti diiring dan dijamin dengan tanggungjawab. Malangnya, hal ini tidak selalu diberikan perhatian pada setiap kali soal hak dan keistimewaan diangkat ke perhatian awam.

Maka, apa tanggungjawabnya?

Wednesday, August 13, 2008

Saya rujuk artikel "Keistimewaan UiTM", 13 Ogos 2008, Utusan Malaysia.

Maaf, ada sedikit kesalahan/kesilapan maklumat. Rencana itu sebetulnya dibaca saya sebagai "pensyarah" dan bukannya "dekan". Pangkalan data (data base) meja rencana Utusan mungkin masih belum mengemaskini status berkenaan walaupun sudah dimaklumkan beberapa kali. Pada beberapa hari lepas, memang digunakan "pensyarah", kemudian, tersalah pandang, sekali lagi "Dekan" digunakan tanpa disedari oleh jurnalis berkenaan.

Mungkin ramai orang sedang marah-marah dan beremosi atas isu 10% tersebut?

Harap maklum.

Wednesday, July 23, 2008

Kognitif

Emma, sedikit mengenai kognitif. Semoga bermanfaat.
”Dan Kami tetap memberi kemudahan kepadamu untuk (melaksanakan segala perkara) ugama yang mudah diterima oleh akal yang sihat” Al-Qur’an (87:8)


Apabila ditanya mengenai dirinya sendirinya, Sir Isaac Newton (1642-1727), yang terkenal kerana kajiannya mengenai Hukum Graviti, mengatakan:

”Saya tidak tahu bagaimana diri saya di mata dunia, tetapi bagi diri saya sendiri, saya seolah-olah budak lelaki yang bermain di pantai dan mengubah diri saya sekarang dengan mencari batu-batu dan kulit-kulit kerang yang kecil yang cantik, manakala lautan yang luas menghamparkan di hadapan saya, pelbagai benda yang belum pernah saya lihat.”


Keupayaan manusia untuk menggunakan pemikiran adalah sangat besar. Namun, potensi tersebut tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Hanya segelintir orang sahaja yang berpeluang untuk menyingkap kuasa pemikiran mereka ke tahap yang mereka sendiri tidak menduga pada awalnya. Mereka yang berupaya memanfaatkan kekuatan dan kekentalan mental itu berpeluang menyingkap tabir yang menutupi dunia pemikiran manusia. Mental yang tidak diperkukuh dan dilatih diibaratkan sesak dengan sarang lelabah yang tidak ketentuan. Selama mental bersarang, kepercayaan menjadi sukar untuk diubah kerana diikat dan dikakukan oleh kepercayaan yang sedia ada. Dan ia memerlukan keajaiban deria untuk memberi isyarat kepada mental bahawa sesuatu yang sukar itu sebenarnya boleh dilakukan, sedangkan semuanya boleh dilakukan sekiranya mental sentiasa dipelihara keupayaanya, seperti yang boleh direnungi daripada kefalsafahan kata-kata ini,

”Sebenarnya yang kerap membunuh manusia bukanlah disebabkan bekerja keras; sebaliknya kebimbanganlah yang lebih kerap membunuh manusia.”

Dalam satu kisah, Yuri Gagarin (1934-1968), angkasawan Russia, merupakan manusia pertama menjelajah angka lepas. Beliau adalah anak seorang petani. Melalui kejayaan penjelajahannya dengan kapal angkasa Vostok I pada 12 April 1961, Gagarin membuktikan bahawa manusia boleh mengatasi tekanan mental dan fizikal sewaktu mengelilingi bumi. Kejayaan itu adalah sesuatu yang tidak pernah diimpikan atau dilihat sebagai sesuatu yang mungkin oleh manusia pada zaman tersebut. Beliau meninggal dunia dalam satu kemalangan udara. Namun namanya kekal di dalam sejarah hidup manusia. Namanya, Gagarin, diabadikan kepada bandar kelahirannya di Russia.
Nota: Budi dengan pelbagai cara.

Wednesday, July 16, 2008

bila debat sebenarnya bukan debat

Seperti dilangsungkan dan disiarkan di tv malam semalam, debat antara Anwar Ibrahim dan Shabery Cheek berlaku dalam keadaan yang biasa-biasa sahaja. Shabery menggunakan pendekatan 'debat kolej' (menggunakan satu maklumat biasa yang diulang-ulang dengan cerita-cerita lama dan menyerang peribadi) manakala Anwar Ibrahim memperkukuh kedudukannya sebagai orator yang matang (tidak menyerang diri peribadi lawan) dan sukar dicabar kemahiran pembentangan maklumatnya. Pendekatan Shabery menjurus kepada tusukan personaliti, Anwar Ibrahim pula mengalaskan hujah dengan fakta-fakta yang dibalut dengan logik politik-ekonomi.
Debat malam tadi adalah permulaan yang sangat baik ke arah kematangan politik. Pembudayaan acara keilmuan sebegini berupaya mencelikkan mata rakyat atau pengundi untuk berfikir. Dari segi yang lain, kematangan ahli-ahli politik serta keupayaan mereka menguasai dan memanfaatkan maklumat serta disokong dengan kemahiran oratori akan membuka lembaran baru dari segi usaha untuk memprojekkan personaliti ahli politik yang mantap wibawa dan penguasaan maklumat mereka.

Friday, July 11, 2008

Bila kepemimpinan dikatakan berkesan

Radhi, ada banyak petunjuk mengenai kepemimpinan berkesan. Ini cuma sebahagian yang utama secara umum sahaja.

Berupaya menginspirasi orang lain untuk berusaha dengan gigih bagi melaksanakan tugas-tugas yang ditetapkan.
Berupaya mempengaruhi orang lain untuk bekerja dengan bersemangat untuk menyokong objektif-objektif prestasi organisasi.
Menghidupkan dan memperkasa daya wawasan dianggap sebagai ramuan utama kepemimpinan berkesan.
Kemahiran berkomunikasi dengan positif juga memberi kesan kepada kepemimpinan berkesan kerana ia mampu membina kefahaman.