Kasturi adalah seorang sahabat lama. Ketika zaman persekolahan rendah dan menengah, di kalangan rakan-rakan, Kasturi sangat terkenal atas sifat-sifatnya yang sentiasa menyenangkan. Dia seorang yang sangat baik hati, peramah, sentiasa membantu orang lain walau pun dirinya mungkin akan mendapat kesusahan semata-mata atas naluri suka membantu orang lain. Namun Kasturi bukanlah datang dari sebuah keluarga yang daif dan miskin. Keluarganya berkemampuan, dikira dari sudut pendapatan yang dibawa pulang oleh bapanya ke rumah. Apa yang menarik, Kasturi tidak pula dikenali sebagai sahabat yang sombong kerana berharta.
Kasturi seorang yang aktif. Rasanya, tidak ada satu pun permainan dan sukan yang tidak dicubanya. Rakan-rakan Kasturi sentiasa bertambah dari sehari ke sehari.
Dari segi pelajaran akademik, Kasturi sememangnya seseorang yang sangat cerdas dan pintar. Dia sentiasa memperoleh kedudukan teratas. Kemudian, Kasturi berpeluang melanjutkan pelajaran ke universiti. Atas kehendak Ilahi, Kasturi dianugerahi kerjaya dan kelebihan material yang serba menyenangkan. Kasturi kini orang berjaya. Pada kebanyakan orang, Kasturi mengkhabarkan mengenai pelbagai aspek mengenai bagaimana mahu berjaya dalam hidup. Kasturi sentiasa mengaitkan kejayaan dan kebahagiaan hidup dengan menggunakan dirinya sebagai model terbaik. Kasturi tidak pernah lekang mengusulkan kepada kebanyakan orang yang ditemuinya – daripada sekecil-kecil hinggalah kepada sebesar-besar orang – mengenai kelebihan yang dipertonoton oleh dirinya sendiri. Kepada semua, Kasturi menganjurkan sifat-sifat yang dijadikannya amalan seharian dalam hidupnya sendiri. Kasturi asyik. Memikirkan dia melakukan sesuatu yang baik dan murni, sifat Kasturi yang menjulang pelbagai kebaikan dan kehebatan manusia dengan cara menggunakan dirinya sendiri sebagai model, terus berkesinambungan.
Sehari demi sehari helaian usianya diselak Kasturi. Pada pertengahan abad, Kasturi semakin dimamah keuzuran. Kesihatannya tidak seperti sebagaimana Kasturi pada usia-usia sebelumnya. Kasturi semakin lelah dihambat degupan jantung yang semakin melemah. Kasturi semakin menunduk ditekan aliran darahnya yang menujah-nujah segenap ruang salurannya. Kasturi kian mereput dikeringkan dan dikecutkan oleh kandungan gula berlebihan yang tidak upaya dilarutkan dengan sempurna oleh anggota dalaman tubuhnya sendiri.
Bayang-bayang memenuhi ruang hidup Kasturi. Bayang isteri yang sangat jelita, baik dan sempurna di mata Kasturi semakin memudar. Bayang anak-anak, yang di mata Kasturi kelihatannya sungguh comel, bijak, mencuit rasa dan sentiasa menambat jiwa, kian membalam.
Rumah itu, istana Kasturi sekeluarga, yang sentiasa membanggakan dirinya kerana imarahnya, entah mengapa semakin mengecil dan menghimpit tiba-tiba. Harta benda, kemudahan, kesenangan dan kelebihan Kasturi yang tidak pernah mengeringkan palitan ihsan di bibirnya sehari-harian, ikut mendesak sekeliling ekor matanya. Suara-suara, hiruk pikuk sesiapa sahaja yang membahagiakan hidup selama ini, mereda tanpa dipinta.
Semuanya menghimpit, mendesak, mendesah, menyesah, merenggut sisa-sisa Kasturi, yang diharumkan namanya di luar oleh sifat dan rupanya, namun di penghujung kala, dia lalu tersedar segalanya rupa-rupanya fana.
Tuesday, April 08, 2008
Thursday, March 27, 2008
Bahana Pelaku Politik
Politik menjadi murni bila kuasa diletakkan dengan cara beradab. Sebaliknya ia menjadi jelek sebaik sahaja dimanipulasi dan dieksploitasi dengan pelbagai cara. Sewaktu berkuasa, kepemimpinan dikeraskan oleh ketegasan kata-kata; di luar sedar, kebongkakan dan kesombongan menjadi perkara amalan biasa.
Sebaik sahaja kehilangan kuasa, kepemimpinan dilembutkan oleh sifat-sifat murni; 'pulang ke pangkal jalan', 'dengar rungutan akarumbi', 'berhemah' dan sebagainya menjadi sebutan harian.
Begitulah pelaku politik. Ia seolah-olah membiaskan kelakuan orang yang tahu atau baru mengenal hakikat hidup: buatlah amal, jauhkan perkara-perkara yang mendekatkan kepada dosa dan yang menjauhkan pengikut; jadilah orang yang baik sebab baik itu banyak kelebihannya; sehinggalah kelakuan politiknya itu menjadikan, selain dirinya sahaja yang sangat baik dan beradab, semua orang lain pada zahirnya buruk dan berdosa. Semuanya kerana dia sudah insaf dan bertaubat daripada perlakuan politik jelek selama ini.
Noktah.
Friday, March 21, 2008
Permata
Ini lirik sebuah lagu, Permata (Buat Isteri), dendangan Kopratasa. Saya fikir lagu ini cukup sempurna, segala-galanya, dari liriknya membawa kepada melodi dan lenggoknya, 'soothing'. Ketika memandu di lebuhraya, dalam hujan lebat, stereo kereta mengudarakan lagu ini. Tafsirannya kelihatan mudah, namun cukup untuk menyimpangkan telahan manusia biasa. Ada ketikanya, manusia perlu membuat pilihan, disusul dengan keputusan. Dan ada masanya, keputusan akibat pilihan itu menjadikan manusia terlupa bahawa hidup tidak semudah dan seindah yang difikirkan. Apa pun, ia tetap tinggal sebagai keputusan yang manusia sendiri telah pilih, sebelum, semasa dan sesudahnya.
Liriknya kurang lebih begini:
Telah ku siapkan
suatu daerah
paling sunyi
untuk engkau isi
dalam hati ini
sebagai isteri
untuk kau penuhi
dengan kemuliaan
sebagai wanita
untuk kau beri erti
dalam hidup ini
untuk kau hargai
dengan kasih sayang
ku ingin
kau jadi wanita mulia
yang tahu erti budi dan hati
seorang lelaki
bernama suami
kerana
engkau isteri
ku ingin kau mengerti
bahawa hidup ini
tak semudah
yang kita janjikan
yang kita janjikan
kerana kau isteri ku.
Thursday, March 20, 2008
Itu Politik
Tidak ada apa-apa yang perlu dihairankan mengenai apa-apa sahaja yang berlaku dalam 'dapur' politik negara pada masa kini. Kesempatan dan peluang yang diberikan kepada pelaku-pelaku politik adalah pemberian pengundi; kepercayaan yang diperolehi pelaku-pelaku politik adalah anugerah pengundi; mandat yang dikembalikan kepada pelaku-pelaku politik adalah atas rasa keyakinan dan penyerahan pengundi semata-mata.
Apa yang berlaku di dapur PM adalah ramuan PM sendiri. PM adalah tukang masak yang menentukan rasa makanan atau racun yang dihidangkan kepada pengundi dan rakyat keseluruhannya. PM melaksanakan apa yang dilihatnya sebagai amanah dan tanggungjawabnya. Pengundi menerima apa yang mereka hadiahkan kepada PM sebagai ganjaran kepada kepercayaan dan risiko yang mereka sedari tatkala mereka memberikan mandat kepada PM atau sesiapa pun yang kemudiannya menjadi pelaku-pelaku politik tanahair; pelaku-pelaku itu kemudiannya merangka dan merumus pelbagai dasar awam untuk merancang dan mentadbir manusia dan segala benda - sama ada yang kelihatan mahu pun yang abstrak - atas nama kesejahteraan manusia yang dilabel sebagai rakyat.
Apabila pelaku-pelaku politik - dalam rupa-rupa seperti Rafidah atau Mukhriz umpamanya - yang menyampaikan pandangan dan rasa hati mereka menerusi surat peribadi, yang diutus kepada PM, maka itu adalah tanggungjawab mereka atas amanah yang mereka junjung selama menjadi pelaku politik. Setiap orang harus tahu batasan dan keupayaan mereka. Maka hormatilah setiap orang atas kenyataan itu.
Atas premis itu, mungkin spekulasinya boleh menjadi begini:
1.
PM ketandusan pelaku-pelaku politik berwibawa. Mungkinkah ada keperluan bagi kerajaan untuk mencontohi Singapura yang membawa masuk lebih ramai inteligensia, dan bukannya menumpukan hanya kepada golongan partisan? Dr Ramasamy sekadar contoh sebagai dilakukan di Pulau Pinang?
2.
Lanskap politik negara memerlukan perancangan dan rekabentuk yang sama sekali baru dan drastik. Adakah masanya sudah tiba untuk PM memikirkan pembinaan landasan baru untuk orientasi dan ideologi politik negara? Tibakah sudah masanya untuk menguburkan budaya politik yang berorientasikan perkongsian kuasa antara kaum, dan sebaliknya mengeraskan ketuanan Melayu? Bukankah negara ini, alamnya alam Melayu dan politi-nya bersistemkan politi Melayu? Dengan kata lain, bersediakah untuk menggenggam bara api sehabisnya dan alang-alang menyeluk pekasam? Masih percayakan kepada 'siapa kuat dialah kudrat'?
3.
Sistem pemilihan pelaku-pelaku politik negara ini mungkin perlu diubah. Sistem pemilihan ahli kabinet juga perlu ikut diubah. Keterbukaan yang diperolehi oleh PM dalam menentukan barisan kabinet dikhuatiri akan menjadikan PM terlepas pandang mengenai satu-dua perkara yang berkaitan dengan pelantikan menteri dan portfolio masing-masing. Menteri tidak seharusnya menjadi 'pengurus', atau 'pembesar' yang dilantik semata-mata atas kepercayaan dan keyakinan peribadi.
Sunday, March 16, 2008
Minda Sedar
1
Dia bukan mengharapkan yang terbaik; cuma minta difahami
2
Dia tidak mahukan yang istimewa; cuma mohon dipercayakan
3
Dia tidak berhajatkan segalanya; cuma mensyukuri sekadar yang sudah ada
4
Dia tidak ingin melukakan; hanya ingin membahagiakan.
Selainnya, tidak ada apa yang tinggal untuknya.
Dia bukan mengharapkan yang terbaik; cuma minta difahami
2
Dia tidak mahukan yang istimewa; cuma mohon dipercayakan
3
Dia tidak berhajatkan segalanya; cuma mensyukuri sekadar yang sudah ada
4
Dia tidak ingin melukakan; hanya ingin membahagiakan.
Selainnya, tidak ada apa yang tinggal untuknya.
Mata hanya mahu melihat yang baik
Sheef,
Saya tidak pasti jika apa yang dikatakan itu benar-benar berlaku. Politik adalah seni serba mungkin dan serba jadi. Apa yang dikatakan betul hari ini, tiba-tiba menjadi kesalahan pula keesokan harinya; apa yang dianggap baik waktu ini, dengan segera menjadi sumbang sebentar nanti. Harapan sebenarnya tidak menjadikan impian sebagai sesuatu yang boleh dijadikan sandaran dalam apa keadaan sekalipun. Ketulenan perasaan biasanya hanya menjadi khayalan orang yang sentiasa bermimpi dan mengharapkan impian itu berpanjangan sehingga pagi.
Saya tidak pasti jika apa yang dikatakan itu benar-benar berlaku. Politik adalah seni serba mungkin dan serba jadi. Apa yang dikatakan betul hari ini, tiba-tiba menjadi kesalahan pula keesokan harinya; apa yang dianggap baik waktu ini, dengan segera menjadi sumbang sebentar nanti. Harapan sebenarnya tidak menjadikan impian sebagai sesuatu yang boleh dijadikan sandaran dalam apa keadaan sekalipun. Ketulenan perasaan biasanya hanya menjadi khayalan orang yang sentiasa bermimpi dan mengharapkan impian itu berpanjangan sehingga pagi.
Sunday, March 09, 2008
PRU 12 - Sedikit Spekulasi
Huzairi, Ron, Daud, Nazimah, Faizah (& beberapa orang media yang lain, maaf, tidak sempat mencatatkan nama-nama anda),
Sepertimana perbualan kita lewat malam tadi, saya masih yakin dengan perkara-perkara tersebut. Mungkin, kita boleh spekulasi semuanya begini:
1. Pengundi menghukum Pak Lah atas beberapa motif;
2. Pengundi di zon selesa tidak gentar dengan apa pun; lalu memangkah pembangkang adalah protes nyata yang terbaik dalam keadaan begini.
3. Pengundi di zon yang selama ini dianggap selamat kepada BN meluahkan sentimen kebencian mereka tanpa berselindung; lalu biar apa pun yang bakal berlaku, 4-5 tahun akan datang rela ditempuhi mereka. Emosi menentukan segalanya kelmarin.
4. Protes senyap yang dimuntahkan kelmarin adalah paduan antara gerakan terancang dan tidak terancang. Semua negeri yang tumbang mempunyai gejala awal yang gagal dimanfaatkan BN; antaranya ledakan emosi gassroots di Kedah, Selangor dan Pulau Pinang.
5. Politik se-komunal semakin merebak. Melayu bencikan kepemimpinan partisan Melayu; Cina bencikan kepemimpinan partisan Cina dan India bencikan kepemimpinan partisan India. Isunya? Banyak, antaranya - Melayu - seperti di Selangor 'penat' dengan kepemimpinan Mohamad Khir Toyo, khususnya mengenai aspek kepemimpinan dan hemah beliau di skop negeri Selangor. Sebagai contoh, keupayaan Mohamad Khir menangani isu banjir besar di Shah Alam diragui setelah beliau gagal menunjukkan kelebihan 'hubungan awam' yang baik dengan penduduk bandaraya Shah Alam. Slogan Selangor Maju secara ironisnya tidak membawa erti bermakna kepada ramai penduduk. Hayunan pengundi kepada pembangkang tidak bermakna mereka menyayangi pembangkang, tetapi lebih kepada rajuk hati kepada kerajaan BN.
6. Ada tanda-tanda berlaku perubahan kepada budaya politik Malaysia. Ini perlu kepada analisis mendalam dan memerlukan pemerhatian yang lebih lanjut dalam masa setahun dua ini.
Wednesday, March 05, 2008
Politik & Perkhidmatan
Dalam politik, ungkapan 'khidmat' boleh membawa beberapa pengertian. Walau bagaimanapun, selalunya golong partisan lebih memilih untuk melihat 'khidmat' dari sudut kebendaaan semata-mata. Jadi, dalam seminggu dua ini, jalan-jalan di kawasan perumahan tertentu diturap semula; janji-janji ditabur di sana-sini termasuklah menaikkan elaun, meluaskan pelbagai perkhidmatan dan bermacam-macam lagi.
Dalam disiplin 'Service Quality', produk ertinya sesuatu benda seperti kain, rumah, makanan, premis dan kemudahan tertentu; harga ertinya nilai atas wang; manakala perkhidmatan pula bermaksud keselesaan lokasi, suasanan persekitaran, keramahtamahan serta kemesraan dan sensitiviti pemberi khidmat.
Ini soal budaya politik. Budaya memerlukan masa untuk dibentuk menurut acuan yang disediakan. Acuan disediakan oleh golongan partisan. Golongan non-partisan hanya menunggu menggunakan kemudahan. Itu prinsip asas dalam sistem politik semasa.
Tuesday, February 19, 2008
Pilihanraya Umum 2008
Apa yang sebenarnya dinanti-nantikan. Saya fikir ini spekulasinya:
1
'Hayunan' pengundi Melayu terutamanya strata pertengahan, khususnya di zon bandar dan pengundi bukan Melayu, khususnya pengundi India di semua zon. Ada tanda-tanda pengundi Melayu akan menzahirkan sesuatu melalui pilihanraya kali ini;
2
Kekucaran DAP yang mungkin membuka ruang dan peluang untuk keputusan mengejutkan khususnya yang memihak kepada parti-parti pembangkang lain;
3
Keresahan struktur dalaman UMNO - isu pencalonan, integriti kepemimpinan, kewibawaan kepemimpinan menangani banyak isu nasional terutamanya Hindraf, inflasi, kenaikan harga barangan asas tanpa tanda-tanda kawalan yang cekap - diasak pula oleh isu-isu antarabangsa lain;
4
Kemungkinan berlakunya konflik terbuka melibatkan kepemimpinan lama dan muda - bukan sahaja UMNO tetapi semua parti komponen BN.
1
'Hayunan' pengundi Melayu terutamanya strata pertengahan, khususnya di zon bandar dan pengundi bukan Melayu, khususnya pengundi India di semua zon. Ada tanda-tanda pengundi Melayu akan menzahirkan sesuatu melalui pilihanraya kali ini;
2
Kekucaran DAP yang mungkin membuka ruang dan peluang untuk keputusan mengejutkan khususnya yang memihak kepada parti-parti pembangkang lain;
3
Keresahan struktur dalaman UMNO - isu pencalonan, integriti kepemimpinan, kewibawaan kepemimpinan menangani banyak isu nasional terutamanya Hindraf, inflasi, kenaikan harga barangan asas tanpa tanda-tanda kawalan yang cekap - diasak pula oleh isu-isu antarabangsa lain;
4
Kemungkinan berlakunya konflik terbuka melibatkan kepemimpinan lama dan muda - bukan sahaja UMNO tetapi semua parti komponen BN.
Monday, February 18, 2008
Budaya Politik
Budaya politik ada beberapa wajah, antaranya sikap, kepercayaan, emosi dan nilai yang semuanya berkaitan secara langsung dan tidak langsung dengan sistem dan isu-isu politik. Semua itu mungkin ditunjukkan sama ada dalam keadaan sedar ataupun di luar sedar.
Bagaimana seseorang aktor/aktres politik berbudaya dalam lanskap politiknya ditunjukkan sebahagiannya oleh tingkah laku dan percakapannya pada setiap masa. Sebagai contoh, jika sebelum musim pilihanraya, isu-isu seperti pembaziran tidak pernah disentuh sama sekali, namun setiap kali menjelang pilihanraya umum, dialah yang paling lantang menyebut mengenai pembaziran dan sebagainya. Dan selalunya, kesejahteraan rakyat akan diungkap-ungkapkan sebagai alasan utama mengapa pembaziran tidak harus berlaku. Pada saat-saat seperti itu, dialah aktor/aktres politik paling berwibawa dan prihatin dengan kesejahteraan rakyat.
Perilaku seperti itu memberi isyarat bahawa kualiti peribadi aktor/aktres politik boleh menjadi tajuk bualan. Hari ini dia bercakap mengenai buruknya wajah perlakuan rasuah setelah sekian lama sebelum ini dia bergelumang di dalam dunia yang sekarang dianggapnya keji dan kotor itu. Hari ini dia bercakap berdegar-degar mengenai perlunya berbuat baik dan berkasih sayang antara satu dengan yang lain setelah sekian lama sebelum ini dialah petualang yang tidak mengenal harga dan erti ehsan dan budi. Dan hari ini dia memperagakan segala kelebihan dan kekuasaan Ilahi seolah-olah manusia lain tidak pernah mengetahui dan mengakui kehebatan kuasa ilahi , hanya setelah dia melalui semua tahap kehidupan bebal dan jahiliah sebelum ini.
Budaya politik hidup dalam persekitaran yang dibentuk sendiri oleh manusia pelakunya.
Monday, February 11, 2008
Hikmah perenungan klasik
Nani,
Saya tidak begitu arif mengenai persoalan yang ditimbulkan itu, cuma sekadar mencuba menulis sesuatu di sini. Namun, janganlah pula tulisan ini dianggap sebagai jawaban kepada semua persoalan itu pula. Tidak ada jawaban yang betul atau salah.
1. Jika tiada api, manakan datang asapnya: minda Melayu dilentur sejak sekian lama untuk memikir sesuatu atas landasan 'hitam-putih' atau dualisme (betul/salah; buruk/baik). Asap mungkin perlu dilihat dari sudut keupayaannya untuk memedihkan mata atau barangkali juga dari segi statusnya sebagai komponen pelengkap api kerana bahang atau haba api tidak dilihat sebagai unsur 'jahat' atau merimaskan.
2. Jika tiada angin, masakan pohon bergoyang: sesuatu itu tidak terjadi dengan sendirinya. Semua unsur melibatkan kehendak atau kemahuan sesuatu yang dilihat berkuasa dan setiap kuasa tidak ada noktah kekuasaan kerana semuanya dibatasi oleh kemahuan mutlak Ilahi.
Selamat membaca.
Saya tidak begitu arif mengenai persoalan yang ditimbulkan itu, cuma sekadar mencuba menulis sesuatu di sini. Namun, janganlah pula tulisan ini dianggap sebagai jawaban kepada semua persoalan itu pula. Tidak ada jawaban yang betul atau salah.
1. Jika tiada api, manakan datang asapnya: minda Melayu dilentur sejak sekian lama untuk memikir sesuatu atas landasan 'hitam-putih' atau dualisme (betul/salah; buruk/baik). Asap mungkin perlu dilihat dari sudut keupayaannya untuk memedihkan mata atau barangkali juga dari segi statusnya sebagai komponen pelengkap api kerana bahang atau haba api tidak dilihat sebagai unsur 'jahat' atau merimaskan.
2. Jika tiada angin, masakan pohon bergoyang: sesuatu itu tidak terjadi dengan sendirinya. Semua unsur melibatkan kehendak atau kemahuan sesuatu yang dilihat berkuasa dan setiap kuasa tidak ada noktah kekuasaan kerana semuanya dibatasi oleh kemahuan mutlak Ilahi.
Selamat membaca.
Electoral systems
Obama (Im sure this is not that 'Obama', right?),
Broadly, there are four main types of electoral systems ); single-member constituency & single vote (example - countries such as Britain and Canada); single member and second ballot (France); single member with preferential vote (Australia); and proportional representation (Italy, Denmark) (either the list system or single transferable vote).
Have fun voting!
Wednesday, February 06, 2008
Menyorot Minggu
1
Pandangan Chandra Muzaffar di Berita Harian (6 Februari) mengenai kehakiman agak menarik. Bagaimana pun, pandangan peribadi beliau mengenai kepemimpinan Tun Mahathir lebih menarik. Beliau memberi isyarat kepemimpinan Pak Lah ternyata lebih 'berkemanusiaan' berbanding kepemimpinan Tun dalam konteks cabang eksekutif versus kehakiman. Sedikit sebanyak soal-soal integriti dan kualiti kepemimpinan disentuhnya di sana sini. Kesimpulan: Chandra menyenangi kepemimpinan Pak Lah. Mungkin ini merupakan suntikan tambahan yang diperlukan kepimpinan kerajaan dalam menghadapi pilihanraya sekitar Mac akan datang.
2
Mohd Affandi Hassan memetik pandangan Sasterawan Negara, Shahnon Ahmad, dan menyetujui pendirian SN bahawa novel picisan ada guna dan tempatnya dalam masyarakat. Malah, beliau mengajak pula pengarang-pengarang supaya ikut mengusahakan penulisan novel picisan kerana itulah yang boleh mendekatkan remaja kepada sastera dan budaya pembacaan orang-orang muda. Kesimpulan: panel pemikir Kementerian Pelajaran membuat penelitian dan keputusan yang tepat dan strategis berkenaan isu tersebut (?)
3
Kes Lingam semakin menarik dan memutar. Novelis, John Grisham tentunya akan membuat keuntungan besar jika menggunakan plot-plot cerita Lingam sebagai asas penceritaan novel beliau.
4
Pilihanraya? Tunggu dan lihat. Pengumuman senarai calon yang muktamad pastinya tidak memeranjatkan.
Tuesday, January 29, 2008
The Commanding Heights
Dhani (dan rakan2),
Salah sebuah buku yang mungkin sesuai dibaca dalam usaha untuk memahami dilema dan kepayahan sesebuah kerajaan mengurus pelbagai segi pentadbiran negara ialah buku The Commanding Heights (1998), tulisan Yergin & Stanislaw (pemenang Hadiah Pulitzer). Buku itu diterbitkan oleh Simon & Schuster.
Antara lain, buku itu bercerita mengenai 'pergelutan' antara kerajaan dengan pasaran yang terlalu banyak isu dan masalahnya untuk ditangani dengan mudah.
Selamat membaca.
Tuesday, January 22, 2008
Warkah
Marshall Cavendish baru sahaja menerbitkan sebuah buku, "Dr Mahathir's Selected Letters to World Leaders (2008). Kira-kira 76 surat-surat rasmi yang ditulis oleh Tun Dr. Mahathir dan dikirimkan kepada pemimpin-pemimpin utama dunia dimuatkan dalam buku tersebut. Saya fikir, mungkin kepada yang berpeluang membacanya (harga: RM49.90), dapat memanfaatkan soal-soal nilai dan kepemimpinan diplomatik dan antarabangsa dengan cara lebih holistik. Antara persepsi dan andaian, telahan dan kesimpulan, semuanya bergantung antara lain kepada keupayaan pemimpin membaca risiko yang dijangkakan (calculated risks). Saya rasa, dari suatu sudut, perasaan dan emosi membaca buku ini agak sama sepertimana ketika membaca Warkah dari Benua tulisan A. Samad Said. Selamat membaca.
Sunday, January 20, 2008
Catatan Hujung Minggu
1
Tiada yang lain atau istimewa pada sepanjang minggu ini. Segalanya hanya rutin. Isu-isu yang dianggap besar mungkin hanya mengenai spekulasi pilihanraya umum yang dijangka berlangsung pada Mac akan datang.
2
Kuliah sudah bermula. Hujung-hujung minggu saya sentiasa penuh sekarang ini; temuduga siswazah antarabangsa; kuliah dan perbincangan EMAS dan Kedoktoran; bengkel mingguan; dan sedikit sebanyak acara-acara sosial di sini dan sana. Perancangan untuk beriadah di padang golf bersama Art juga namanya seakan-akan mungkin tergendala kerana khabarnya tarikh yang dirancang itu bertembung pula dengan majlis makan malam kecemerlangan murid Persatuan Penduduk. Ya, akan difikirkan kemudian.
3
Baru selesai membaca buku Catatan Abdullah Munshi sehingga halaman akhir. Sangat menarik. Antara halaman yang paling mencuit minda adalah catatan beliau mengenai Melayu dan perbomohan. Antara kisah yang ditulisnya adalah mengenai keperwiraan seorang penangkap gajah yang sebenarnya menggunakan teknik khusus dalam menangkap gajah, dan bukannya menggunakan jampi serapah semata-mata.
Tamat. Perlu menyegerakan diri ke kuliah sekarang ini. Masitah & yang lain (?), jemputlah.
Tiada yang lain atau istimewa pada sepanjang minggu ini. Segalanya hanya rutin. Isu-isu yang dianggap besar mungkin hanya mengenai spekulasi pilihanraya umum yang dijangka berlangsung pada Mac akan datang.
2
Kuliah sudah bermula. Hujung-hujung minggu saya sentiasa penuh sekarang ini; temuduga siswazah antarabangsa; kuliah dan perbincangan EMAS dan Kedoktoran; bengkel mingguan; dan sedikit sebanyak acara-acara sosial di sini dan sana. Perancangan untuk beriadah di padang golf bersama Art juga namanya seakan-akan mungkin tergendala kerana khabarnya tarikh yang dirancang itu bertembung pula dengan majlis makan malam kecemerlangan murid Persatuan Penduduk. Ya, akan difikirkan kemudian.
3
Baru selesai membaca buku Catatan Abdullah Munshi sehingga halaman akhir. Sangat menarik. Antara halaman yang paling mencuit minda adalah catatan beliau mengenai Melayu dan perbomohan. Antara kisah yang ditulisnya adalah mengenai keperwiraan seorang penangkap gajah yang sebenarnya menggunakan teknik khusus dalam menangkap gajah, dan bukannya menggunakan jampi serapah semata-mata.
Tamat. Perlu menyegerakan diri ke kuliah sekarang ini. Masitah & yang lain (?), jemputlah.
Wednesday, January 09, 2008
Monday, January 07, 2008
Tiada yang istimewa
Saya mengucapkan jutaan terima kasih dan menghargai pandangan serta penghargaan yang saya terima berkenaan 'Menara'. Nampaknya saya menerima agak banyak pengunjung baru selepas Prof. Kamil menyebut nama saya di blog beliau kelmarin.
Menara adalah karangan fiksyen semata-mata. Ia berlatarbelakangkan institusi pengajian tinggi. Itu sahaja. DBP (DAWAMA) mencetak dan mengedarkan hampir-hampir 4,000 naskah. Bagaimanapun, saya mohon maaf kerana saya tidak menguruskan perolehan dan penjualan novel tersebut untuk kemudahan tuan-tuan.
Salam, selamat membaca.
Sunday, December 30, 2007
Politik
Dalam politik, di peringkat mana sekali pun, semua orang sentiasa betul kerana tidak ada apa-apa yang salah mengenai memberi pandangan dan membuat keputusan. Sekiranya pandangan itu menyanggahi pandangan sebahagian besar orang ramai, maka ia dianggap satu kelainan yang kerana ia hanyalah satu pandangan semata-mata. Apabila sesuatu pandangan itu dilihat bersetuju dan berkongsi dengan pandangan ramai, maka ia dianggap sesuatu yang biasa, yang tidak perlu dihairankan sama sekali.
Politik adalah seni serba mungkin. Seni serba mungkin melibatkan percaturan. Ia mengenai kaedah yang digunakan untuk menyampaikan isyarat-isyarat strategik. Isyarat-isyarat itu mungkin difahami oleh sesetengah orang dan barangkali juga gagal ditafsirkan dengan tepat oleh sebahagian orang yang lain. Ia bergantung, antara lainnya, kepada beberapa unsur: siapa yang menyampaikan isyarat; bagaimana dia menyampaikan isyarat; di mana dia menyampaikan isyarat; dan pada masa bilakah isyarat itu disampaikan.
Akhbar hari ini menyiarkan isyarat yang disampaikan oleh Setiausaha Agung UMNO mengenai kepemimpinan Perlis Indera Kayangan. Sebelum ini pelakon politik yang sama ini turut menyentuh mengenai kepemimpinan Perlis dari sudut pembangunan sumber manusia: dan dia turut menyelitkan tujahan peribadi kepada kepemimpinan tertinggi negeri betapa Menteri Besar sendiri menggaji agak ramai pembantu rumah asing di kediaman beliau. Kali ini, tanpa berselindung, beliau berpandangan Menteri Besar Perlis mesti diganti kerana menurutnya Menteri besar itu gagal menyatupadukan parti UMNO di negeri sekecil Perlis itu.
Permainan isyarat adalah permainan berstrategis. Ia bergantung kepada siapa yang bijak membaca isyarat. Dan pada ketika-ketika tertentu, ia bergantung juga kepada siapa yang memekakkan telinga kepada pelbagai isyarat. Ia serba mungkin.
Tuesday, December 25, 2007
GOLF - Lebih dan kurangnya?
Selalunya saya berasa tidak selesa untuk bercerita mengenai golf; yang kadang-kalanya orang menyebutnya secara sinis sebagai akronim kepada 'Golongan Orang Lemah Fikiran' atau "Golongan Orang Lupa Famili. Kepada golfers, jangan ambil hati. Tidak ada apa-apa yang akan luak walau apa pun yang diperkata orang mengenai sesuatu selagi diri sendiri tidak mengiyakannya.
Saya tidak selesa bercakap mengenai golf kerana saya menganggapnya sesuatu yang peribadi. Bagaimanapun, saya akan sentuh juga sedikit sebanyak kerana beberapa emel yang saya terima bertanyakan mengenai golf (setelah membaca bab mengenai golf dalam menara). Kesimpulan saya mengenai golf - atau apa juga jenis sukan - amat mudah: kita terlibat kerana (1) minat bersukan; (2) status dan simbol bersosial; (3) faktor kesihatan (sukar mencari sukan lain yang kelihatannya agak santai dan mudah); (4) desakan rakan dan malu-alah kepada bos atau rakan bisnes; (5) sekadar suka-suka dan kebetulan hati terbuka untuk mencuba.
Golf tidak melibatkan persaingan dengan lawan atau sesiapa pun kerana golf adalah permainan yang melibatkan perjuangan dengan diri sendiri: kita menjaga skor atau mata kita sendiri; kita perlu memarahi diri sendiri atas kesilapan sendiri; kita mengawal diri sendiri supaya dapat bertenang dan menumpukan perhatian; dan kita sentiasa cuba memandaikan diri kita dengan segala aspek kemahiran golf.
Namun, manusia tetap akan kekal sebagai manusia, ada nafsu insaniahnya dan ada juga nafsu haiwannya. Apabila nafsu haiwan lebih menguasai, golf akan menjadi medan pertarungan klise dan absurd yang menunjukkan siapa pandai dia akan kelihatan hebat walaupun sebenarnya tidak ada istilah 'pandai' dan 'sempurna' dalam permainan golf. Tidak ada seorang pun pemain golf yang dianggap sudah mencapai titik penyudah kepada kepandaian dan kepakaran, walaupun Tiger Woods, nama yang sinonim dengan golf.
Bab mengenai Alamanda itu penceritaan biasa sahaja, tidak dilebihkan di mana-mana. Full stop.
Subscribe to:
Posts (Atom)