Sunday, December 30, 2007

Politik

Dalam politik, di peringkat mana sekali pun, semua orang sentiasa betul kerana tidak ada apa-apa yang salah mengenai memberi pandangan dan membuat keputusan. Sekiranya pandangan itu menyanggahi pandangan sebahagian besar orang ramai, maka ia dianggap satu kelainan yang kerana ia hanyalah satu pandangan semata-mata. Apabila sesuatu pandangan itu dilihat bersetuju dan berkongsi dengan pandangan ramai, maka ia dianggap sesuatu yang biasa, yang tidak perlu dihairankan sama sekali.
Politik adalah seni serba mungkin. Seni serba mungkin melibatkan percaturan. Ia mengenai kaedah yang digunakan untuk menyampaikan isyarat-isyarat strategik. Isyarat-isyarat itu mungkin difahami oleh sesetengah orang dan barangkali juga gagal ditafsirkan dengan tepat oleh sebahagian orang yang lain. Ia bergantung, antara lainnya, kepada beberapa unsur: siapa yang menyampaikan isyarat; bagaimana dia menyampaikan isyarat; di mana dia menyampaikan isyarat; dan pada masa bilakah isyarat itu disampaikan.
Akhbar hari ini menyiarkan isyarat yang disampaikan oleh Setiausaha Agung UMNO mengenai kepemimpinan Perlis Indera Kayangan. Sebelum ini pelakon politik yang sama ini turut menyentuh mengenai kepemimpinan Perlis dari sudut pembangunan sumber manusia: dan dia turut menyelitkan tujahan peribadi kepada kepemimpinan tertinggi negeri betapa Menteri Besar sendiri menggaji agak ramai pembantu rumah asing di kediaman beliau. Kali ini, tanpa berselindung, beliau berpandangan Menteri Besar Perlis mesti diganti kerana menurutnya Menteri besar itu gagal menyatupadukan parti UMNO di negeri sekecil Perlis itu.
Permainan isyarat adalah permainan berstrategis. Ia bergantung kepada siapa yang bijak membaca isyarat. Dan pada ketika-ketika tertentu, ia bergantung juga kepada siapa yang memekakkan telinga kepada pelbagai isyarat. Ia serba mungkin.

Tuesday, December 25, 2007

GOLF - Lebih dan kurangnya?

Selalunya saya berasa tidak selesa untuk bercerita mengenai golf; yang kadang-kalanya orang menyebutnya secara sinis sebagai akronim kepada 'Golongan Orang Lemah Fikiran' atau "Golongan Orang Lupa Famili. Kepada golfers, jangan ambil hati. Tidak ada apa-apa yang akan luak walau apa pun yang diperkata orang mengenai sesuatu selagi diri sendiri tidak mengiyakannya.

Saya tidak selesa bercakap mengenai golf kerana saya menganggapnya sesuatu yang peribadi. Bagaimanapun, saya akan sentuh juga sedikit sebanyak kerana beberapa emel yang saya terima bertanyakan mengenai golf (setelah membaca bab mengenai golf dalam menara). Kesimpulan saya mengenai golf - atau apa juga jenis sukan - amat mudah: kita terlibat kerana (1) minat bersukan; (2) status dan simbol bersosial; (3) faktor kesihatan (sukar mencari sukan lain yang kelihatannya agak santai dan mudah); (4) desakan rakan dan malu-alah kepada bos atau rakan bisnes; (5) sekadar suka-suka dan kebetulan hati terbuka untuk mencuba.
Golf tidak melibatkan persaingan dengan lawan atau sesiapa pun kerana golf adalah permainan yang melibatkan perjuangan dengan diri sendiri: kita menjaga skor atau mata kita sendiri; kita perlu memarahi diri sendiri atas kesilapan sendiri; kita mengawal diri sendiri supaya dapat bertenang dan menumpukan perhatian; dan kita sentiasa cuba memandaikan diri kita dengan segala aspek kemahiran golf.
Namun, manusia tetap akan kekal sebagai manusia, ada nafsu insaniahnya dan ada juga nafsu haiwannya. Apabila nafsu haiwan lebih menguasai, golf akan menjadi medan pertarungan klise dan absurd yang menunjukkan siapa pandai dia akan kelihatan hebat walaupun sebenarnya tidak ada istilah 'pandai' dan 'sempurna' dalam permainan golf. Tidak ada seorang pun pemain golf yang dianggap sudah mencapai titik penyudah kepada kepandaian dan kepakaran, walaupun Tiger Woods, nama yang sinonim dengan golf.
Bab mengenai Alamanda itu penceritaan biasa sahaja, tidak dilebihkan di mana-mana. Full stop.

Monday, December 24, 2007

Maaf, bukan di sini

Salam semua,

saya memohon maaf kerana tidak selesa membincangkan hal-hal yang berkaitan menara di sini. Harap semua itu disalurkan dan diteruskan sebagaimana adanya, melalui emel sahaja, buat masa ini.

Saya perlu mengambil masa yang lebih kerana kebelakangan ini - dalam percutian - saya pos semua entri secara mobile, menggunakan fon bimbit.

Sunday, December 23, 2007

Alam & Politi Melayu

Membaca pemikiran Prof. Zainal Kling di akhbar hari ini meletakkan perspektif siasah negara ini pada kedudukan yang benar; realistik. Di alam Melayu ini, apa-apa sahaja - isu kecil atau besar - yang mencetuskan kegelisahan orang Melayu akan memberi kesan secara langsung kepada negara ini. Ramai yang melupakan - sengaja mahu pun tidak sengaja - sejarah silam negara ini yang mengharapkan kepada keharmonian dan keselesaan alam Melayu dengan melihat kepada kedudukan dan keselamatan orang-orang Melayu terlebih dahulu. Kepada bukan Melayu, hal ini kurang disenangi manakala kepada orang-orang Melayu, disenangi atau tidak, bukanlah isunya. Apabila persetujuan untuk merdeka diperolehi hasil daripada siri perundingan yang melibatkan orang Melayu serta wakil bukan Melayu dengan pihak Inggeris di London, kedudukan dan status alam Melayu menjadi teras kepada penubuhan Tanah Melayu yang merdeka dan berkerajaan sendiri. Mungkin ramai antara mereka yang terlupa akan kisah-kisah silam yang berlatarbelakangkan Larut (Taiping), tragedi Rasah, Lukut dan Sg Ujung (Negeri Sembilan/Melaka) Kuala Lumpur dan banyak lagi (atau mungkin kerana kisah-kisah itu hanya melibatkan pembesar-pembesar Melayu dan etnik Cina sahaja, maka mereka mengambil pendirian dan pelajaran yang sangat bermanfaat untuk kesejahteraan masa hadapan masing-masing manakala Hindraf pula belum masak dengan pengalaman buruk yang tidak menguntungkan itu, lalu cuba-cuba bermain api untuk meraih sedikit sedikit kenikmatan yang belum pun mereka nampak segi-segi buruknya?)
Formula 'memberi dan menerima' yang dipersetujui oleh pemimpin-pemimpin terdahulu yang terdiri daripada perwakilan semua etnik utama di Tanah Melayu ini mungkin sengaja cuba dilupakan untuk memberi laluan kepada 'persetujuan' bentuk baru oleh pihak-pihak yang lupa diri itu. Mereka lupa betapa semua kesenangan dan keselesaan yang mereka kecapi itu sebenarnya akan dimusnahkan dengan mudah oleh sikap tamak dan rakus kepada sedikit nikmat tambahan yang mereka gila-gilakan.
Sekarang, hanya keazaman politik yang kuat sahaja yang berupaya menyedarkan mereka. Soalnya, ramaikah yang berkeazaman sekuat yang diharapkan itu?

Saturday, December 22, 2007

Pengorbanan












Pengorbanan tidak semestinya datang dalam bentuk yang melibatkan nyawa, sebagaimana lembu ini dikorbankan oleh kami sewaktu sambutan aidiladha di Alor Pongsu pada 20 Disember lalu. Simbolik kepada tumbangnya lembu ini, disela-sela laungan takbir, menandai kesyukuran dan kerendahan diri manusia-manusia - kerdil dan hamba - kepada Pencipta. Habuannya - dalam bentuk daging dan tulang-temulangnya - diagih-agihkan untuk dikecapi seramai mungkin. Pengorbanan menjadikan manusia menginsafi betapa besar mana sekali pun nama dan segagah mana tubuh fizikal akan dipudari oleh kelemahan manusia sendiri yang selama ini disembunyikan di balik keakuan. Tatkala tubuh meresah oleh sapaan pelbagai penyakit - ringan dan berat, apabila jiwa dan rasa menggelombang oleh ketakutan daripada kemungkinan mati secara beransur-ansur atau pun tiba-tiba, pengorbanan dengan sendirinya menyingkap kesombongan dan ketakburan manusia yang selama ini tidak disedari sama sekali. Kealpaan menjadikan manusia lena, kebesaran dan kemasyhuran menutup minda insaniah yang melupai ehsan dan hemah.
Lalu, "Nikmat yang mana satukah daripada TuhanMu yang engkau dustakan?"

Tuesday, December 18, 2007

Jauh

Sewaktu Rani menelefon awal-awal pagi tadi, saya sedang memandu. Tentunya dia faham kenapa saya tidak menjawab. Kini saya sedang menikmati harum kopi vanilla di salah satu perhentian di lebuhraya Utara-Selatan. Mungkin saya akan luangkan masa untuk singgah di 'sana' nanti dan barangkali berpeluang berbual-bual dan berbincang mengenai hal yang dikatakannya itu semalam.
Akhbar menyiarkan berita mengenai keprihatinan kerajaan terhadap 31 orang tertuduh yang didakwa cuba membunuh anggota keselamatan sewaktu perhimpunan HINDRAF baru-baru ini. Lalu dakwaan ditarik balik dan mereka pun dilepaskan. Kerajaan yang penyayang. Mungkin Hindraf akan sebak dengan keprihatinan kerajaan itu. Alam Melayu memang baik dan bersifat mengampun dengan mudah. Tanya Swettenham, Winstedt atau Shellabeaar. Tetapi jangan sesekali menanyakan hal yang sama kepada Munshi Abdullah.
Saya perlu menghabiskan kopi beraroma ini dan meneruskan perjalanan. Lembu sedang menunggu di kampung halaman.

Monday, December 17, 2007

Rangkuman

1
KLIB - Kuala Lumpur International Batik Convention & Exhibition 2007 sudah berakhir. Ada beberapa catatan penting: (i) Orang luar - maksudnya warganegara asing - lebih berminat mendalami segala-galanya mengenai batik sedangkan orang tempatan terhad kepada segolongan kecil sahaja, itu pun yang berkepentingan misalnya industrialis dan pereka fesyen; (ii) Batik semakin terbuka kepada interpretasi yang kelihatannya memberi impak kepada pengantarabangsaan, ertinya, batik kini diinterpretasi oleh sesiapa sahaja dan boleh bertukar dominasinya oleh sesiapa pun, dan tentu sahaja bukan milik Indonesia, atau orang-orang pantai timur semata-mata. Batik adalah corak, rekabentuk; (iii) Bertemu Heidi, gadis yang juga jurnalis berusia 23 tahun berketurunan Jerman, warganegara Kanada, bertugas di India. Setelah menghabiskan masa selama kira-kira 3 hari bersama beliau, perbualan kami - terutamanya dalam perjalanan jauh dari Shah Alam, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan kemudian dia berlepas ke Pulau Pinang - menunjukkan kemungkinan beliau masih berusaha mengumpul banyak maklumat mengenai segala aspek negara Malaysia ini.
2
Program bualan di Astro Awani - di sela-sela KLIB - bersama Datuk Nik menemukan kami dengan beberapa personaliti yang berkaitan dengan topik bualan, kebanyakannya yang kritis mengenai ECER. Kamarul Baharin - perantara - agak bijaksana meneutral situasi.
3
Minggu pertama Disember. Sebaik sahaja melangkah masuk ke kamar hotel (Trader's) yang disediakan oleh penganjur untuk 5 hari, ada kek hari lahir di meja (baiknya hati pengurusan hotel?). Bertemu rakan-rakan penulis di KLCC. Antara topik yang dibincangkan termasuklah 'Bila penulis tidak mengarang'. Maksudnya? Banyak penulis yang hanya menulis, tetapi tidak mengarang. Maksudnya lagi? Ertinya, ada semacam aliran yang merimaskan dalam gelombang penulisan dan pengarangan tempatan bila penulis hanya menulis mengenai kebaikan diri sendiri, tanpa silu, tanpa rasa salah. Budaya keindividuan ini kian ramai pengikutnya kerana pengaruh hedonisme, cintakan dunia berlebih-lebihan dan gilakan kemasyhuran yang sangat nipis batasnya.
4
Selamat Hari Raya Idiladha. Ada pengorbanan yang perlu dikorbankan.

Saturday, November 24, 2007

Proton

Dim, isu Proton isu ialah isu nasional. Pandangan saya hanya mengambil kira kepentingan nasional. Itu sahaja fokusnya. Bagaimanapun, saya berterima kasih dan mengambil kira pandangan peribadi sdr.

Peranan Akhbar

Ray,
di negara ini, terdapat tidak kurang 31 akhbar arus perdana yang dijual di pasaran. Hampir kesemua akhbar di negara ini berorientasikan etnik. Bergantung kepada perspektif (atau teori) mana yang digunakan, seperti media massa lain, akhbar sebenarnya memainkan beberapa peranan politik.
Peranan tersebut antara lainnya termasuklah:

(1)melaporkan dan mewakili pandangan popular pihak-pihak berkuasa; (2) memaklumkan kepada masyarakat keputusan dan tindakan kerajaan serta mendidik pengundi; dan (3) memainkan peranan sebagai ‘pelindung’ kepentingan rakyat, termasuklah membela hak-hak orang awam melalui pendedahan isu dan berita untuk tatapan pihak berkuasa dan orang ramai. Dengan ini di fikiran, konsep-konsep kebebasan misalnya dari segi mendapatkan maklumat, menyoal dan melaporkan berita sentiasa releven dalam dunia media massa.

Topeng-Topeng

Lewat perbualan dengan Rosa pada malam tadi, saya cuba menyimpulkan apa sebenarnya yang menjadi isu utama dalam hubungan antara sesama manusia dalam konteks sekitaran sosial mereka. Sewaktu dia cuba mencari-cari jawaban kepada apa yang dikatakannya sebagai 'silangkata', saya pula berusaha meneka-neka apa yang bermain-main di fikirannya. Akhirnya saya merumuskan bahawa setiap individu mempunyai satu, dua atau beberapa topeng yang tujuan khusus setiap satunya, hanya individu itu sendiri yang tahu makna dan kegunaannya. Ia mengingatkan saya kepada sebuah puisi yang saya tulis tahun lepas, Topeng.
TOPENG
I
ternyata dia hebat
bila pada pagi itu
di persidangan bahasa, air matanya tumpah
tatkala dia menjulang kata berhikmah
‘hilang bahasa, lenyaplah bangsa’.
tengaharinya
dia menggugurkan air mata anak yang setia-redha
bila berkata
"you tahu, ini semua sampah
cuma layak di media popular"

III
di fikirannya
kata tetap juga kata selagi faham makna
seperti orang lain yang terus percaya bahawa di balik topeng
siapa-siapa pun boleh menjadi sesiapa selagi faham akan bicara bahasa dan maknanya.
namun soal dan jawab seakan-akan pencarian yang tidak akrab dengan penemuan
kerana pada fikiran topeng
jawaban-jawaban yang direka pada setiap kali disoal
semuanya sudah memadai dan tidak penting ditanya berulang kali
asal saja senang di hatinya atau mereka
kerana
tatkala senang dia tidak memikir bagaimana rasa susah mereka
dan tatkala susah mereka juga tidak pula begitu memikir mengenai kesenangan ia
maka siapa-siapa tidaklah perlu menghargai apa-apa atau sesiapa.
dia yakin
bahawa dia tekun mengajar tentang melihat, memikir dan kemudian percaya
tentang sesuatu yang semuanya mencetus di hati
lantaran otak tidak lebih sekadar mengisi tempurung kepala
sedang mata pula tidak sudah-sudah mempersenda semahu keduanya
sekali pejam ada, sekali kelip ghaib.
ya, otak adalah saraf-saraf halus paling ajaib, setidak-tidaknya itulah kata saintis
atau kata orang-orang pandai yang mampu belajar di universiti
yang jadi inteligensia walaupun mereka itu belum tentunya berani kerana benar.
kerana apa?
mereka tahu topeng boleh sahaja menjadi siapa-siapa
asal biar pecah di perut, jangan pecah di mulut.

IV
di mana-mana
pada bila-bila masa
cermin sentiasa menjadi apa-apa dan siapa-siapa
yang orang paling hormat.
sesiapa tidak perlu bertanya lantaran ia adalah penunjuk isyarat segala
ia teman perahsia paling tenang lagi setia
membujur lalu melintang patah cermin tidak gusar
dihempas ia pecah
diseranah ia pegun
hitam tahan tempa, putih tahan sesah
dia umpama tukang yang mustahil membuang kayu.
kata cermin
kebenaran umpama pedang Pencipta
apa sahaja yang dihiris
pasti melukakan.
atas sifatnya yang hadir di mana-mana
dia menyimpan pelbagai fikir manusia
seperti kelir yang menduga pendek akal tok dalang
atau gendang yang sesekali bertingkah mencabar sumbang langkah hulubalang
kuat burung kerana sayap, kuat ketam kerana sepit
dia malah kekal unggul
bijak menyinggung sedar
kerana jauhari jua mengenal manikam

V
cermin tidak mudah lupa
bukan asalnya daripada jenis leka
sebijak topeng yang pepat di luar rencong di dalam
di depan cermin ia kelu kehabisan bisa
lalu
topeng lena di dalam lupa
bahawa angin tak dapat ditangkap dan asap tak mungkin digenggam.
di hadapan cermin
hilang kilat topeng di celah kilau.

shah alam
20 februari 2006

Thursday, November 22, 2007

Konvensyen Batik Antarabangsa Kuala Lumpur 28 Nov-2 Dis 2007

(Pelajar) berminat untuk menyumbang dan menyertai secara aktif dalam Konvensyen Batik Antarabangsa Kuala Lumpur?

Konvensyen itu – dihos oleh Yayasan Budi Penyayang / KEKWA – akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur mulai 28 Nov hingga 2 Disember.

Makanan/penginapan disediakan manakala sedikit elaun harian diperuntukkan. Ini bukanlah mengenai wang semata-mata; ini merupakan peluang mendapatkan pengalaman serta merasai suasana konvensyen antarabangsa yang jarang kali kita berpeluang memperolehnya setiap hari!

Jika berminat, sila hubungi saya selewat-lewatnya pukul 5 petang hari ini (22 November). Tinggal lagi 5 tempat sahaja untuk diisi.

Berkomunikasi

Saya terima banyak maklumbalas dan keluhan khususnya daripada staf dan pelajar mengenai sekatan yang dibuat oleh pihak pentadbiran universiti ke atas liputan Internet menggunakan pelayan (server) universiti. Antaranya termasuklah sekatan terhadap laman-laman yang dikategori di bawah 'social relationships' dan sebagainya. Antara banyak laman tersebut, termasuklah laman-laman serta blog-blog yang mempunyai banyak kandungan maklumat dan pengetahuan mengenai hal ehwal semasa.
Jika di dunia swasta, perkara itu merupakan suatu kebiasaan. Ia mekanisme untuk mengawal perilaku pekerja sewaktu bekerja. Dalam sektor kerajaan, ini perkara yang baru hendak dibiasakan, juga sebagai mekanisme untuk memastikan kakitangan tidak melayari laman-laman yang dianggap tidak berkaitan. Oleh kerana hampir-hampir mustahil untuk menyaring setiap laman, maka dibahagi-bahagikan laman-laman berdasarkan kategori tertentu. Oleh itu, sesetengah laman yang tidak berbahaya pun turut disekat daripada capaian menggunakan pelayan jabatan.
Tidak perlu bimbang. Ia hanya melibatkan pelayan jabatan/dalaman. Tiada isu. Ini bukan perkara yang berkaitan dengan teknologi atau sistem. Ini isu yang bersangkutan dengan manusia - perumus dan pelaksana polisi.
Moral: Masakan maklumat boleh disekat-sekat. Sekeras-keras junta tentera Myanmar, tidak terdaya mereka menyekat sebaran maklumat daripada mengalir ke luar. Yang boleh disekat, cuma alat penyampai maklumat. Oleh itu, mekanisme kawalan yang cekap sentiasa diperlukan jika maklumat ingin disaring dengan berkesan.

Saturday, November 17, 2007

Mentadbir Negara 1

Mat Zain mengirim sms mengenai Teori RAHMAN ekoran peristiwa demonstrasi dan penyerahan petisyen kepada SPB YDPA minggu lepas. Tiada komen yang sesuai untuk diletakkan di sini. Tambahan pula maklumat media kelmarin menyebut SPB YDPA menafikan perkenan baginda mengenai demonstrasi itu. Suhakam juga ikut menyokong tindakan polis dan menyifatkan demonstrasi itu melanggar undang-undang. Anggaplah hal itu sebagai sudah 'tiada isu'.
Habis-habis tidak pun, mungkin hadis Nabi SAW (drp Abu Hurairah r.a) ada relevennya di sini:
"Kalau amanah tidak lagi dipegang teguh, maka tunggulah saat kehancuran." Ia bertanya: "Bagaimana orang tidak memegang teguh teguh amanah itu, ya Rasulullah?" Beliau menjawab: "Kalau sesuatu urusan telah diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya maka tunggulah saat kehancuran."

Tahniah, Nabilah!

Nabilah, Tahniah!

Buku

Dakolin, ya, saya ada senaskah buku asal Federation of Malaya Year Book 1961. Terbitan Malay Mail Publication. Harga asal pun masih ada lagi: $2.50. Antara buku kesayangan saya!

Monday, November 12, 2007

Mengubah

Malaysia mengambil masa tidak kurang 30 tahun untuk mengubah daripada 'koloni pohon getah' kepada sebuah negara pembuat semikonduktor terbesar dunia. Malangnya, Malaysia terpaksa menerima hakikat bahawa negara itu boleh diubah lanskap ekonomi dan politiknya dalam masa tidak sampai satu tahun, apabila menyaksikan krisis kewangan dan ekonomi mempermain kedudukan dan ketahanan negara tersebut. Sesuatu yang pahit namun terpaksa jua ditelan.

Puncanya? Hanya kerana kejatuhan nilai wang Thailand pada pertengahan 1997.

Moral ceritanya?

Pertama, mahu atau tidak, Malaysia terpaksa berbaik sangka dengan jiran, terdekat ataupun yang paling jauh.

Kedua, Malaysia tiada pilihan, sebaliknya terpaksa memastikan UMNO bersih, tulus dan berkomitmen tinggi.

Ketiga, laburkan wang sebanyak mungkin kepada rakyat, dalam bentuk yang rakyat kecapi dan nikmati secara langsung; bukannya dalam bentuk yang rakyat tidak nampak atau rasa pun faedah pelaburan itu.

Friday, November 09, 2007

Bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Matematik & Sains

Isu ini berpanjangan. Terkini (sehingga entri ini diterbitkan), UMNO dan Pemuda UMNO Johor membantah penggunaan bahasa Inggeris untuk mengajar Sains & Matematik.

Apa yang kelihatan, dan apa pula yang tidak kelihatan?

Ada banyak perkara yang berkaitan dengan ’tidak kelihatan’. Sekiranya umum membaca buku ”Mengapa Kami bantah”, mungkin sebahagian daripada beberapa isu berkaitan boleh difahami dengan baik.

Apa yang terlindung di balik isu penggunaan bahasa ini untuk mengajar subjek-subjek berkenaan sebenarnya ada hubungannya dengan ’tidak kelihatan’ sama ada dilapisi sesuatu atau ’melapisi’ sesuatu.

Apa pun, yang penting adalah siapa yang melihat dan menanggap isu tersebut. Umumnya ada tiga bentuk: (1) mereka yang ditabiri oleh ’kegelapan’; (2) mereka yang ditabiri oleh ’sinar dan cahaya’; dan (3) mereka yang ditabiri oleh kedua-duanya, yakni kegelapan dan cahaya.

Yang mana satu kita?

Wednesday, November 07, 2007

Autobiografi

Saya setuju dengan pandangan Zulhilmi (UUM). Buku-buku autobigrafi memang semakin banyak dan laku pula di pasaran. Namun hanya beberapa judul sahaja yang dianggapnya berkualiti. Berkualiti dilihat daripada beberapa segi – sudut pengkisahan yang tidak berpaksikan ’aku’ semata-mata; tema dan plot cerita yang ’inwards’ atau meneroka peribadi sendiri semata-mata; isu-isu yang ditonjolkan meliputi elemen universal dan holistik.

Banyak contoh terbaik yang saya fikir boleh disebut di sini, antaranya: Hayat Muhammad SAW (Haekal); Road to Mecca (Muhammad Asad) dan View from the summit (Sir Edmund Hillary).

Monday, November 05, 2007

Bila Tempua Bersarang Rendah

Rani bertanya, "Kenapa hanya USM yang dipilih sebagai terbaik oleh lembaga akreditasi?"

Saya hanya terfikir satu jawaban sahaja, "kerana yang terbaik itu selalu sahaja dengan sendirinya dilihat baik. Dan ia tidak perlu pula memperaga kebaikannya di mana-mana. Kualiti adalah kebaikan yang dibawa ke mana-mana. Ia sentiasa mengikut. Sedangkan orang yang mengikutnya pula adalah yang terbawa-bawa oleh haruman kualiti itu yang tidak memerlukan angin untuk mendesiskannya."

Kotter mengatakan, "memang sukar, tetapi itulah hakikatnya."

Sayang, kenapalah tempua bersarang rendah?

Friday, November 02, 2007

Pantai Timur

Pagi ini (Jumaat, 2 November) berbual panjang dengan Raja Maria (RTM) di pejabat. Isu? Mengenai Kelantan, Terengganu & Pahang. Mulanya menguruskan temubual untuk ECER (Galeri Perdana, Selasa, 8.30 malam); namun kemudiannya langsung meleret-leret ke isu-isu lain (Maria Mek Kelate!).
Apa isu-isu pantai timur?
Banyak: (1) Kadar kemiskinan - Terengganu <15%>, kelantan <10%>, Pahang <5%> (ironis, walaupun rakyat Kelantan sebenarnya ramai yang kaya-raya!); (2) tarikan tempatan (pantai, taman negara, ekopelancongan, pertanian, penternakan); (3) pendidikan (ada kurang lebih 197 institusi latihan dan pendidikan yang tidak dioptimumkan penggunaannya di wilayah pantai timur; (4) pelaburan asing langsung & penglibatan swasta (apa tarikan untuk mereka ke sana?)
Nota: Satu tarikan utama saya ke Kelantan: "Murtabak Royal"! Dulu berharga RM15 sekeping; sekarang saya tidak pasti!