Monday, July 16, 2007

Lapang sasar golf



















Lapang sasar golf adalah salah satu tempat yang saya gemari. Banyak alasannya:

1. Boleh menghayun bola golf sebanyak mungkin
2. Boleh memilih sebanyak mungkin sasaran asalkan dalam lingkungan yang ditetapkan
3. Boleh memikir sebanyak mungkin tanpa gangguan
4. Boleh memerhati orang lain bereaksi terhadap hayunan mereka sendiri
5. Boleh memuji diri sendiri untuk menyukakan hati
6. Boleh perasan hayunan seperti Tiger Woods kerana tiada sesiapa akan mentertawakan
7. Boleh berehat sebentar sambil menikmati minuman dan makanan, tapi jangan merokok!
8. Boleh menelefon
9. Boleh perasan handikap akan berkurang
10.Boleh memakai t-shirt tidak berkolar dan jeans!

Thursday, July 12, 2007

Gegar U

Program Gegar U yang dihoskan UiTM berlangsung semalam, 11 Julai 2007 di Dewan Sri Budiman, UiTM Shah Alam. Kehadiran pelajar dan kakitangan ke program tersebut sangatlah mengkagumkan! Terima kasih semua!

Persembahan Ruffedge


Artis-artis yang turut serta dalam Gegar U UiTM


Seorang artis mencuba simbol "Perpaduan"


Tetamu kehormat serta artis yang mengambil bahagian



Antara tetamu. Dr Zailan, Komposer/pemuzik serta Ketua Panel Hakim; Pn Leela Mohd Ali (CEO Penyayang); Ishak Nengah; TNC HEP UiTM.


Jamuan pagi


Ahli Kelab Penyayang bekerja


Ahli-ahli Kelab Penyayang UiTM Shah Alam bertungkus lumus menyiapkan peralatan pada malam 10 Julai 2007.

Monday, July 09, 2007

Sedang sibuk dengan program Pesta Perpaduan HEP/Penyayang. Saya akan respon kemudian, sesudah itu.

Monday, July 02, 2007

Usaha

Feature article di Mingguan Malaysia semalam sangat menarik: mengenai seorang saintis/doktor yang menumpukan penyelidikan dan inovasi berpaksikan gamat. Dia melihat dan melaksanakan sesuatu secara bersendirian, berterusan dan tidak mengutamakan publisiti untuk kemasyhuran diri dan tidak pula mendorong-dorong untuk mendapat pengiktirafan daripada orang-orang lain.

Orang yang berasa berat untuk berusaha sendiri melihat kelebihan orang lain sebagai peluang untuk diri mereka sendiri. Atas kebijaksanaan memanipulasi, kelebihan orang lain akan menjadi modal untuk mereka cuba mencapai apa yang mereka tersalah sangka sebagai kejayaan. Ini kerana antara lainnya, mereka terkeliru oleh takrifan mereka sendiri mengenai makna ”kejayaan”. Kejayaan tidak semestinya dilihat hanya pada hasil. Sebaliknya, dalam banyak keadaan, kejayaan lebih berkaitan dengan usaha-usaha yang dicetuskan dalam perjalanan menuju kepada matlamat. Dengan kata lain, tentu ada yang pernah terfikir betapa kemungkinan ada orang lain yang mengalami kesusahan dan kepayahan semata-mata kerana dia terlalu memikirkan kepentingan diri sendiri lantaran kekeliruannya menganggap hasil akhir perjalanan dan usaha tersebut sebagai ”kejayaan”.

Dikelirukan oleh hal itu, maka ada yang terus bergantung kepada orang lain, dan menyalahkan unsur-unsur serta orang-orang lain sekiranya perasaan tidak tenang. Ada kata-kata falsafah yang berbunyi,

”Orang yang malas berusaha itu berasa gagah hanya apabila mereka memiliki kekayaan dan kuasa sementara. Apabila mereka tidak punya apa-apa, di situlah kita akan melihat diri mereka yang sebenarnya.”

Orang-orang yang berjaya adalah mereka yang tidak punya apa-apa, tetapi berhasil menjadikan sesuatu atas daya usaha sendiri. Inilah kelebihan sebenar orang yang sentiasa berusaha melakukan kemanfaatan. Dan kemanfaatan itu tidak dikecapi sendirian, malah dilimpahkan kepada orang-orang lain juga menurut kadar tertentu.

Saturday, June 30, 2007

EMAS 716

Selamat kembali!

Friday, June 29, 2007

Positif atau Negatif?

“Apa-apa sahaja yang memperkuat sesuatu positif, pastinya akan melemahkan mana-mana negatif yang sering menyusul.”

I
Tuan Somari, jangan bimbang. Tentu ada penyelesaiannya. Kebimbangan sentiasa menyesakkan fikiran manusia sedangkan sepatutnya manusia cukup mengerti bahawa memang asal kejadian manusia itu secara fitrahnya berkeluh-kesah. Begitu juga hal itu sepatutnya tidak perlu timbul kerana setiap yang diatur Tuhan itu sebenarnya sudah ditentukan kadar dan sukatannya kerana Tuhan maha mengerti bahawa setiap dugaan dan kesusahan yang yang ditimpakan ke atas setiap umatNya pastinya tidak melebih daripada sekadar yang mampu dan upaya ditanggungnya.

II
Esok dan lusa ada permainan boling (Piala NC 2007). Mai, Shahril, Zul dan saya adalah satu-satunya sahaja pasukan fakulti yang menyertai pertandingan itu. Rasa-rasanya kali terakhir saya menyentuh bola boling adalah pada tahun 2005, di Bukit Tinggi sebaik sahaja pertandingan golf antara universiti di Johor Baru berakhir. Zul dan saya sekadar senyum kerana niat hanya untuk meramaikan dan menunjukkan penyertaan fakulti. Tiada yang positif atau negatifnya!

Terima kasih!

I
"Boleh, kenapa tidak?" saya menjawab soalan Noraida yang mengajak saya untuk menikmati kopi suatu petang awal minggu ini. Noraida sedang menyudahkan pengajian kedoktorannya. Saya mendoakan kerja-kerja dipermudah Tuhan.

II
Ketika Azida menyampaikan jemputan itu kepada saya, saya terlupa yang dia sudah pun berkhidmat di sini! Maaf Azida, saya bukan semakin muda! InsyaAllah saya akan hadir.

III
Art memberikan tarikh tentatif untuk golf sosial. Saya cuma minta dua perkara: (i) berikan saya dua stroke; dan (ii) beri saya masa untuk berlatih sehari dua di driving range! Kalau menurut loghat Utara, Art sekarang ni dah makin "cengeh!" (maknanya: 'garang')

IV
Zul bertanyakan sesuatu kelmarin, sesuatu tentang orang suka atau tidak. Saya fikir jawabannya sangat mudah; jika mengikut pandangan Sufisme, senang sahaja untuk melihat tanda-tanda Tuhan menyukai kita atau tidak - jika ramai manusia lain menyukai kita, maka Tuhan menyukai kita. Jika ramai orang yang tidak menyukai kita, maka Tuhan tidak menyukai kita! Haha! Bunyinya menggerunkan! Tapi cukup untuk membuka fikiran!

Budaya

Rehan selalunya menyentuh soal-soal kaedah yang terbaik untuk menguruskan modul kaedah penyelidikan. Own sebaliknya lebih memilih untuk memberatkan soal-soal statistik dan kuantitatif. Dr Raoufu pula, sebagaimana menurut pandangan pelajar-pelajar di sini, amat pemurah dengan nasihat dan panduan yang berguna khususnya dalam soal-soal SPSS.

Apa pun, semuanya menjurus kepada soal dan tema yang sama: semuanya harus berbudaya, bukannya secara adhoc dan suka-suka memilih sekadar memenuhi niat sementara!

Menyelidik seharusnya dibudayakan, bukannya dijadikan kegiatan bermusim sekadar membangkitkan nafsu untuk segala. Menyelidik bukan soal menambah bilangan untuk mengisi CV dan mempamerkan kehebatan bilangan projek sahaja. Jika tidak, yang ada cuma tulang dan kerangka sedangkan rohnya tiada.

Sebab itu, ada kelas-kelas dan taraf-taraf khusus yang dilabelkan oleh pelajar kepada para pensyarah dan penyelia mereka. Ada penyelia yang dipilih pelajar lebih kepada soal-soal murah hati penyelia yang memberi gambaran bahawa mereka akan lulus dengan mudah tanpa banyak soal. Sebahagiannya kerana penyelia sendiri tidak arif dalam sesuatu lapangan, manakala segi yang lain penyelia tidak mahu popularitinya jatuh di mata fakulti.

Pelajaran Nabi Allah Khidir mungkin sesuai dalam hal sebegini.

Thursday, June 28, 2007

Selamat Berbengkel!

Satu
Berjumpa dengan beberapa rakan sekerja yang berada di sini sejak dua hari lepas. Lama juga tidak berjumpa, terutamanya Zawiah, yang datang dari Kedah. Dengar-dengar khabarnya ada beberapa isu yang masih tergantung. Tidak mengapa. Itu sesuatu yang biasa.

Dua
Sewaktu majlis makan malam kelmarin, setelah sempat berbual-bual dengan *-------* dan *-------* barulah saya tahu rupa-rupanya ada banyak isu dan cerita tidak enak yang disampaikan oleh seseorang bukan sahaja mengenai diri saya sendiri malah mengenai orang lain juga! Pada saat ini saya mengingat semula bagaimana kata-kata hikmah Junjungan Besar yang antara lain meyebut, "Menyampaikan sesuatu yang didengar kepada pihak lain ,walaupun benar, dengan sendirinya sudah menjadi fitnah."

Kadang-kala, dan ada kemungkinannya yang besar, orang yang diperkata dan dihinakan itu ternyata jauh lebih baik daripada dirinya sendiri. Manusia memang bersifat lupa dan sentiasa berkeluh kesah!

Tiga
Ada banyak perkara baik. Namun yang terlebih buruknya adalah mengungkap kebaikan sendiri! Ampun!

Wednesday, June 27, 2007

Tahniah Azila & Ezar!




Azila menyampaikan berita gembira semalam di telefon. Tahniah Azila! Tahniah Ezar! Boleh makan nasi minyak di Mambau!

Tuesday, June 26, 2007

Fatamorgana

Saya mendapat beberapa renungan seusai perbualan antara saya dan Wazir kelmarin.

1. Banyak yang terkeliru antara keutamaan yang hakiki dengan pilihan yang tidak pasti. Sudahnya, kebanyakannya menjurus kepada diri sendiri sahaja.

2. Ada kecenderungan di kalangan orang ramai untuk memikirkan apa yang cantik dan elok di luar sama cantik dan moleknya dengan apa yang ada di dalam. lalu, apa yang diucapkan lebih cepat menangkap perhatian orang untuk berasa simpati, suka, hiba dan sebagainya. Mereka yang oportunis menggunakan kelebihan itu untuk meninggikan riak dan takabbur, kadang kalanya tanpa mereka sedari. Jenis ini sangat perlu dibimbangi kerana bukan sahaja mereka tidak tahu malah mereka sendiri tidak sedar bahawa mereka sememangnya tidak tahu!

3. Hari ini, kebaikan perlu dicanang-canangkan untuk perhatian ramai. Lalu, derma dan sumbangan dihebah-hebahkan; kepandaian dan kecerdikan digembar-gemburkan; kebaikan dan hemah diri dipertontonkan secara lakonan dan peragaan; dan kesimpulannya, semua acara dan peristiwa dikait-kaitkan dengan diri peribadi atas agenda yang diketahui hanya diri sendiri.

Wazir bersetuju bahawa ini semua sesuai dibentuk menjadi plot-plot yang sangat menarik untuk novel bertemakan nilai-nilai kemanusiaan.

Monday, June 25, 2007

Persekolahan, antara pendidikan dan pelajaran




Ketika menghadiri sesi perjumpaan dan perbincangan dengan guru sekolahnya kelmarin, Zuhair menggasak dengan bertanya bertubi-tubi mengenai apa yang dibincangkan dengan guru kelas. Guru kelas menyentuh beberapa hal yang menarik perhatian. Antara lain, mengenai potensi pelajar di bawah jagaannya serta aspek-aspek khusus yang selama ini diperhatikan guru-guru ketika murid-murid menghabiskan masa di sekolah. Kesimpulannya, memang sangat besar bezanya antara pendidikan dan pelajaran! Saya akan menyimpan pandangan dan ramalan guru mengenai Zuhair di blog persendirian mereka!

Ikan Bakar



Malam kelmarin menikmati tilapia merah dibakar yang dihidangkan bersama-sama sambal kicap dan air asam. Restorennya terletak di Hulu Langat, di dalam rimba yang agak tebal. Alamat? Kemudian! Saya tertinggal kad perniagaannya di dalam kereta.

Friday, June 22, 2007

Antara Peluang, Kesempatan & Kebetulan

Don, Terima kasih.

Ada bezanya antara ketiga-tiga itu walaupun pada sesuatu masa ia kelihatannya tidak banyak perbezaan. Sepintas fikir, saya melihat ketiga-tiga itu dari sudut berikut, cuma menurut pandangan peribadi saya sahaja.

Peluang >>> sebaik berada di hadapan mata, apa-apa sahaja yang dilihat baik dan molek dijadikan sasaran kerana semacam ada [erasaan bahawa sekiranya tidak diendahkan, akan menjadi satu kerugian. Misalan terbaik di sini adalah peluang untuk melabur dengan membeli saham dalam sesuatu skim pelaburan yang dikatakan berupaya menghasilkan pulangan tinggi kelak. Jika tidak melabur sedangkan ada modal, dilihat sebagai suatu perbuatan melepaskan peluang.

Kesempatan >>> sebaik berada di hadapan mata, masa yang ada cuma berbaki amat sedikit sahaja menyebabkan tindakan segera perlu dilakukan. Ini melibatkan proses membuat keputusan yang sangat cepat, seperti sekilas pandangan atau secepat kilat. Contoh terbaik adalah striker yang dapat membaca pergerakan bola dan menggunakan kesempatan terbaik untuk berada di tempat yang betul, pada masa yang tepat dan dalam posisi yang cukup bersedia untuk membocorkan gawang.

Kebetulan >>> segalanya seolah-olah seperti takdir yang tidak berupaya dilakukan oleh sesiapa pun untuk menjadikan sesuatu acara berlangsung tanpa ada sebarang elemen perancangan misalnya. Semuanya berlaku di luar sedar dan kemahuan walaupun yang berlaku itu amat menyukakan hati! Segalanya nampak betul!

A place never too far

Ros, Amir & Chad >>> foto "Pria punya selera" itu adalah bekas abu rokok (ash-ray) di sebuah restoren di Jakarta Pusat. Tatkala asyik menikmati minuman teh 'o' limau suam di situ rupa-rupanya saya sedang menghadap bekas tersebut yang tertera tulisan itu. Lalu cepat-cepat saya mengambil gambar.

Tidak pula saya sangka ia menarik perhatian awak juga!

Itu Guru

"Jika hari ini seorang
Perdana Menteri berkuasa,
Jika hari ini seorang
Raja menaiki takhta,
Jika hari ini seorang
Presiden sebuah negara,
Jika hari ini seorang
Ulama yang mulia,
Jika hari ini seorang
Peguam menang bicara,
Jika hari ini seorang
Penulis terkemuka,
Sejarahnya dimulakan
Oleh seorang guru biasa,
Dengan lembut sabarnya,
Mengajar tulis-baca.

(Sajak karya, Datuk Usman Awang)


Nota: Saya cuma ingin menjadi guru sebiasa itu. Tidak lebih.

Thursday, June 21, 2007

Quality versus Adab

Sewaktu berbincang dengan San pada suatu mesyuarat pagi semalam di HEP , soal 'Q' (kenapalah gerakan kualiti di negara ini memilih untuk menggunakan 'Q' yang sangat asing pada lidah Melayu!)atau 'Kualiti' ditimbulkan. Bertahun-tahun digerakkan, entah berapa besar belanja sudah dikeluarkan, acara-acara kualiti masih terus sekadar menjadi pesta-pestaan. Pembudayaannya terlihat hanya pada simbol dan pengacaraan sahaja. Khairul kemudian bertanya, "Kualiti atau adab yang perlu didahulukan?"

Terserah.

Pengertian ‘adab’ secara lebih bermakna dijelaskan sebagai

"Disipilin tubuh jasmani, minda dan roh; disiplin yang meletakkan keupayaan dan potensi fizikal, intelektual dan kerohanian pada kedudukan yang sebenarnya berdasarkan darjat dan tahap-tahapnya yang sewajarnya."

Adab menggambarkan sifat-sifat adil, kebijaksanaan dan hikmah. Sekaligus, adab menjadikan manusia sentiasa mengutamakan keadilan yang dicetuskan melalui hikmah dan kebijaksanaan. Ia melibatkan pengakuan dan amalan yang terpamer secara langsung.

Sebagai contoh, baca, Syed Muhammad Naquib Al-Attas, (1991:23). The concept of education in Islam. A framework for Islamic philosophy of education. Kuala Lumpur: International Institute of Islamic Thought and Civilisation.

Wednesday, June 20, 2007

Di sekitar acara golf jemputan PALAPES di Kota Permai.

Bersama Capt Zaid (UPM); Zam & Chad

Bersama Kamal, Dekan FSG (bekas Provos Melaka)
Bersama PM Rashidah Mohamad, isteri TNC Akademik UiTM sewaktu luncheon di Ballroom.

Monday, June 18, 2007

Fokus

Ada beberapa perkara yang diutamakan beberapa minggu ini hingga pertengahan bulan Julai kelak. Jadi perhatian lebih perlu ditumpukan ke situ, antaranya:

1. Program Gegar U;
2. Kempen Budi Bahasa;
3. Kuliah EMAS;
4. Seminar dan persidangan.

Selasa ini (esok) berkemungkinan besar menyertai pertandingan golf jemputan Palapes di Kota Permai. Jika berlaku, ini pusingan pertama bermain golf setelah tidak bermain walau sepusingan langsung sekalipun hampir-hampir sepanjang tahun 2007 ini.

Sunday, June 17, 2007

Hari Bapa

Rupa-rupanya ada sambutan Hari Bapa sekarang ini! Siapa yang tentukan tarikhnya? Tidak mengapalah. Terima kasih atas ucapan semua, khusus Azlina (Sg Petani), Gy (Kelang) & Rosdiana (nun jauh di Sabah!).