Thursday, May 31, 2007

Karut-Marut (Harut & Marut)

Dinie menyebut mengenai karut-marut dalam dunia orang Melayu. Banyak jenaka yang disampaikannya. Tidak tergamak pula saya menurunkannya di sini, walaupun sepotong jenaka sekalipun! Terima kasih atas hiburan sebegitu.

Tidak mengapalah. Balik ke cerita asal. Dalam dunia Melayu, 'karut-marut' sememangnya ada cerita yang menarik. Ada kaitan dengan kisah kenabian dan kerasulan. Secara umum karut-marut berkait dengan soal-soal ahli sihir dan kesihiran. Dikhabarkan bahawa Harut dan Marut adalah dua malaikat yang diturunkan di babylon untuk mengajar sihir kepada orang jahat. menurut Ghazali, kesihiran adalah "sejenis pembelajaran yang diperoleh daripada ilmu mengenai jisim dan aritmetik mengenai kedudukan bintang dan sebagainya dan selalunya melibatkan bantuan syaitan".

Jadi, berbalik kepada dunia Melayu, 'karut-marut' selalunya merujuk kepada kepercayaan atau pegangan yang tidak diasaskan kepada ajaran sebenar agama. Ada banyak contoh, misalnya percaya kepada keupayaan bomoh yang mendakwa boleh menenung dan melihat dengan pasti nasib seseorang.

Azlina Jelani

Kes Azlina Jelani (media terseret oleh propaganda terancang yang lebih menggalakkan guna nama Lina Joy) diputuskan di mahkamah semalam. Sentimen umum yang ditunjukkan berkaitan isu ini memberikan tanda-tanda keputusan semalam bukanlah penghujung. Hal seumpama ini tidak pernah berpenghujung kerana tunasnya sentiasa disuburkan dengan agak banyak dan berterusan oleh pelbagai orang, sesetengahnya memang namanya berbunyi Islam dan gaya cakap serta perwatakan juga seperti seorang Muslim.

Bagaimanapun, atas ungkapan hak-hak asasi dan kebebasan manusia, kes ini dijadikan mereka sebagai suatu peperangan yang boleh menonjolkan kehebatan ideologi dan pegangan.

Tahniah dan sekalung budi kepada barisan peguam (yang tidak seramai mana!) yang mewakili pihak 'kerajaan' dan umat Islam. Mereka (peguam-peguam) tabah menghadapi segala desakan psikologi dari pelbagai sudut, bukan sahaja daripada pihak luar, termasuk pemerhati antarabangsa, malah daripada segelintir orang Islam (yang berprinsip bebas dan terbuka) di sini sendiri yang menyalahkan mahkamah syariah!

Wednesday, May 30, 2007

Selamat Hari Lahir, Zuhair



Sewaktu berusia kurang lebih 6 tahun, dalam perbualan biasa kami mengenai anggota tubuh manusia, Zuhair pernah bertanya, "Kita ada ibu jari, anak jari. Kenapa tiada 'bapa jari'?"

Lama dahulu, pada suatu pagi, sewaktu dia menjawab pertanyaan saya - menggunakan bahasa Inggeris - "Got newspaper or not outside?" , Zuhair menjawab, "No got!"

Kelmarin, Zuhair berusia 7 tahun. Setelah menerima hadiah yang agak banyak daripada pelbagai orang, Zuhair memutuskan untuk (i) tidur dengan baju baru yang diterimanya daripada Mak Cu; dan (ii) tidur dengan memakai jam baru - B.U.M - yang diterimanya malam itu. Kedua-duanya tidak tercapai atas alasan-alasan yang dia sendrii persetujui dan akui kebenarannya.

Memikirkan itu, ada baiknya menilai semula pendekatan banyak manusia terutamanya sewaktu memutuskan untuk berkata-kata. Jika silap perkiraan, martabat manusia dewasa tidak jauh bezanya dengan darjat dan keupayaan anak sekecil 6 atau 7 tahun.

Imam Shafi’e (r.a.) menyebut,

”Bila seseorang ingin bercakap, dia mestilah berfikir, dan jika jelas baginya ada faedah untuk dia bercakap, maka bercakaplah. Sebaliknya jika dia ragu-ragu, maka eloklah dia senyap sehingga dia benar-benar pasti akan kemanfaatannya.

Selamat hari lahir Zuhair. Peganglah dunia dan letakkan di tanganmu, bukannya di hatimu.

Monday, May 28, 2007

Lebih Pandai, Lebih Ihsan?

Kementerian Pengajian Tinggi dilaporkan menyasarkan 60 peratus pensyarah berkelulusan doktor falsafah (PhD) mengajar di setiap 20 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), menjelang 2010. Kata menteri berkenaan,

"Kita mahu pensyarah yang lebih pandai daripada pelajar dan mempunyai personaliti yang baik bagi menghasilkan IPTA bertaraf dunia."


Boleh dikatakan semua pensyarah - terutamanya berkelulusan PhD - digolongkan sebagai 'pandai' kerana kelulusan kertas yang mereka berjaya sudahkan. Bagaimanapun, terfikir juga, benarkah kepandaian itu yang diperlukan oleh pelajar atau sebaliknya kepandaian itu yang menyusahkan pelajar dalam melengkapkan proses pembelajaran mereka.

Di universiti, aspek pengajaran adalah sesuatu yang sangat berbeza-beza cara dan sifatnya berdasarkan orientasi tenaga pengajar. Namun, ada satu elemen - ihsan - yang melengkapkan kepandaian itu.
Malangnya, PhD tidak menjamin "ihsan" tertancap secara semulajadi dalam orientasi dan kandungan pembelajaran PhD itu sendiri. Sudahnya, kepandaian hanya milik peribadi pensyarah semata-mata. Dan kepandaian itu diperagakan untuk menimbulkan rasa bangga dan gila puja dan puji semata-mata.

Wednesday, May 23, 2007

Usah Terlalu Resah

Ini musim kritikal. Musim menentikan keputusan peperiksaan. Mungkin peperiksaan semester. Bagi pelajar-pelajar sekolah, ini ialah musim menantikan keputusan memperoleh tempat di universiti. Bimbang keputusan tidak sebaik yang diharapkan? Bimbang tidak memperoleh Anugerah Dekan straight in a row?

Julius Caesar (100-44 SM), seorang general angkatan tentera, yang juga negarawan, merupakan antara personaliti terkenal dalam sejarah Rom. Selepas memenangi banyak peperangan, Caesar tumpas dalam peperangan menentang Pharnaces di Zela (47 SM). Meskipun tewas, pada peperangan itulah Caesar mengucapkan ungkapan yang sangat terkenal dalam sejarah, iaitu ”Veni, vidi, vici” atau ”Saya datang, saya nampak, saya takluk” (”I came, I saw, I conquered”).

Ungkapan Caesar itu merangkumi penekanan dan keutamaan terhadap penggunaan deria secara menyeluruh. Dalam tradisi keilmuan Islam, deria dibezakan kepada dua bentuk asas: luaran (seperti sentuh, rasa, bau, lihat dan dengar); dan dalaman (fantasi, perwakilan, anggaran, hafalan serta ingatan, dan imaginatif). Dengan itu, pentingnya deria kepada kita tidak dapat dinafikan walau sesaat sekalipun. Kita dibezakan dari segi kelebihan yang diberikan kepada kita dalam memanfaatkan sepenuhnya deria yang dianugerahkan kepada kita. Orang yang berjaya adalah mereka yang berupaya menggabungkan kesemua deria yang diamanahkan kepada mereka.

Stephen William Hawking (lahir 1942) ialah seorang ahli fizik teori British. Beliau telah bertahun-tahun menderita akibat penyakit saraf. Dengan itu, Hawking menghabiskan sebahagian besar usianya di kerusi roda dan aspek komunikasinya dibantu secara berterusan oleh mesin pertuturan. Meskipun dalam keadaan sedemikian, Hawking menghasilkan penerbitan yang besar sumbangannya kepada dunia sains, antaranya yang utama adalah A Brief History of Time (1988), dan Black Holes and Baby Universes (1993). Hawking memanfaatkan apa sahaja deria yang tinggal padanya untuk mengenal dirinya, mengenal dunia dan menyumbang secara bermakna kepada khazanah pengetahuan manusia. Ia mengajar kita untuk menghargai deria.

”Dan Dialah jua yang mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur) tetapi amatlah sedikit kamu bersyukur” Al-Qur’an (23:78)

Tuesday, May 22, 2007

Kemantapan Kerajaan

Dalam sejarah kenegaraan, ada dua elemen terbesar yang sangat-sangat digeruni oleh mana-mana kerajaan; pertama, golongan pelajar universiti dan kedua, kakitangan awam.

Tradisi kenegaraan dan kerajaan, khususnya yang ditinggalkan oleh pihak Inggeris menjadikan perkhidmatan awam sebagai komponen paling penting dalam negara. Sejak beberapa abad ini, golongan pelajar universiti negara ini tidak mencetuskan sebarang kebimbangan yang ketara kepada kerajaan melainkan sedikit-sedikit insiden kecil-kecilan, itu pun secara terasing-asing, dan bukannya tindakan rantaian yang berasaskan rangkaian (network) bersistematik.

Namun, perkhidmatan awam sentiasa memberikan tanda-tanda yang ia tidak boleh dipinggirkan begitu sahaja oleh pihak kerajaan.

Kenaikan gaji kakitangan perkhidmatan awam yang diumumkan kemarin memberikan tanda-tanda bahawa perkhidmatan awam akan terus dengan sifatnya yang dianggap sebagai bom jangka yang suisnya perlu dijaga dengan baik oleh kerajaan. Yang kritikal dalam keadaan sekarang bukanlah pada jumlah kenaikan atau berapa ramai yang bermanfaat dengan keputusan menaikkan gaji itu, sebaliknya persoalan yang lebih penting adalah sama ada keputusan menaikkan gaji itu akan disusul dengan komitmen dan kesetiaan kakitangan perkhdiam awam secara berpanjangan kepada pihak kerajaan. Konsep neutraliti perkhidmatan awam dengan tiba-tiba menjadi sangat kritikal ketika ini.

Monday, May 21, 2007

Hsien Loong

Kisah penjual sate yang dikenang budi dan hemahnya oleh Hsien Loong merupakan antara beberapa kisah yang digarap oleh beliau lewat penerbitan bukunya Always In Season - A Second Harvest Of Kindness Stories - kelmarin.

Dalam kenyataan yang sama, Hsien Loong juga meminta rakyat Temasek membiasakan penggunaan ungkapan 'please' dan 'thank you' secara lebih kerap. Mungkin ini petanda jelas hakisan budi yang sudah lama dikesan beliau di negara maju itu. Di negara ini juga - Malaysia - saya fikir sudah menunjukkan tanda-tanda yang serupa, di mana-mana.

Dalam perniagaan, pelanggan dan peniaga yang menunjukkan budaya sebegitu semakin sukar ditemui. Dalam banyak contoh, selalu juga disaksikan bagainmana juruwang (dan malah pelanggan juga!) hanya menaburkan atau melepaskan wang dari genggaman langsung ke meja juruwang sewaktu pembayaran berlaku. Pada contoh yang berlainan, ungkapan terima kasih tidak sering didengar selepas setiap kali 'kebaikan' dilakukan, misalnya sewaktu seseorang membantu menahan pintu supaya terus terbuka untuk dilalui oleh orang yang berada di belakangnya. Lebih malang dan menyedihkan, bukan lagi sesuatu yang menjadi pandangan biasa apabila amat sukar melihat pertukaran 'tolong' dan 'terima kasih' antara ibubapa dan anak-anak.

Hsien Loong tidak berseorangan.

Friday, May 18, 2007

Pilihan

Ada banyak cara untuk membuat dan menunjukkan pilihan. Nampaknya Bernard Dompok memilih cara seperti yg beliau telah tunjukkan. Yang tersirat hanya dapat dilihat kemudian, dan sejarah akan menyingkap segalanya.

Tuesday, May 15, 2007

Sesal?

Minie & Faizol. Terima kasih. Kalau rajin dan berkelapangan, sila baca catatan saya di blog satu lagi, blog Inggeris. Sekali lagi, terima kasih.

Minie, artikel terbaru itu sangat bagus! Faizol, saya kagum dengan semangat dia!

"Holier-than-thou"

Ada banyak sebab menjadikan seseorang mabuk untuk menunjukkan bahawa dirinya lebih mulia dan baik daripada orang lain (holier-than-thou). Manusia seperti itu biasanya memperagakan sifat-sifat yang inginkan orang-orang lain melihatnya lebih hebat dan bergaya atas kelebihan yang ada pada dirinya sendiri, yang disangkanya kekal dan berpanjangan sepanjang atau sependek usianya, misalnya: kaya, berpangkat, bergelar, berbakat dalam sesuatu atau lebih kemahiran, dan sebagainya. Pendek kata, dia terlalu ingin orang lain melihat dirinya mulia dan dihormati. Dengan kata lain, dia sehingga memaksa dirinya memikir pelbagai cara untuk menjadi mulia dan dihormati. Oleh itu, dia terpaksa sering menyebut-nyebut pelbagai hal yang disangkanya menunjukkan kehebatan dirinya, malah terpaksa pula dia mengulang-ngulang hal tersebut semata-mata mahu memaklumkan kepada orang lain mengenai kehebatan itu. Kenapa ini berlaku? Sekurang-kurangnya ada dua perkara: pertama, orang-orang lain, atau masyarakat sekitarnya 'memandang kulit lebih daripada isi'; dan kedua, dia terdidik dalam keluarga yang tempang dan sumbang yang menancapkan nilai-nilai membesar dan membanggakan diri.

Seseorang memetik kata Harith al-Muhasibi (R.A),

”Seseorang yang benar tidak akan peduli sama ada keseluruhan nilai dirinya musnah daripada hati-hati manusia semata-mata atas niat untuk memperbaiki hatinya sendiri. Dia tidak ingin manusia melihat walau sekecil manapun kebaikan dirinya, dan dia tidak kisah sekiranya keburukan atau kekurangannya diketahui oleh orang lain, kerana sekiranya sebaliknya, ia akan dilihat meninggikan dirinya di mata orang lain, dan itu adalah terkeluar daripada sifat-sifat orang yang siddiqin.”

Ada kisah yang agak menarik mengenai Gunung Everest (Nepal), gunung tertinggi di dunia, yang juga digelar ”Bumbung Dunia”. Dilaporkan dalam sejarah bahawa orang terawal yang sampai ke kemuncak Everest adalah Sherpa Tenzing Norgay, seorang Gurkha (rakyat Nepal) dan Edmund Hillary (seorang rakyat New Zealand). Kejayaan bersejarah itu direkodkan pada 29 Mei 1953. Selepas kejayaan mereka, kebanyakan gambar yang disiarkan di surat-suratkhabar di merata dunia adalah gambar Tenzing Norgay di kemuncak Everest. Namun, agak menghairankan ramai orang kerana tidak ada gambar Edmund Hillary sama sekali.

Apabila ditanya, Hillary sekadar mengaitkan hal itu dengan ketidakupayaan Norgay untuk menggunakan kamera dengan betul. Hillary sekadar mengatakan:

”Sepanjang pengetahuan saya, Tenzing tidak pernah mengambil gambar, lagi pun puncak Everest bukanlah tempat yang sesuai untuk saya mengajar Tenzing cara mengendalikan kamera.”

Akhirnya, mereka berdua saling menuding jari, menunjukkan antara satu sama lain apabila ditanya siapa sebenarnya yang sampai ke kemuncak terlebih dahulu, sambil kedua-duanya dillaporkan berkata,

”Penaklukan akhir gunung tersebut adalah usaha bersama yang tulen antara kami berdua.”

Wednesday, May 09, 2007

Peperiksaan

Seperti sudah dikatakan berkali-kali, peperiksaan bukan sahaja hanya berkenaan dengan markah, skor atau gred. Ya, anggaplah itu semua kayu ukur atau penerang kepada kemahiran mengingat, menulis dan menjawab, tetapi pertimbang jugalah soal-soal apa yang sebenarnya berlaku katakan dalam masa 2-3 jam sewaktu peperiksaan berlangsung. Kata-kata lama seperti "Tidak ada pelajar yang bodoh melainkan guru yang tidak cekap!" mungkin kena pada waktu dan tempatnya dalam situasi begini.

Secara peribadi, saya bersetuju dengan peperiksaan hanya sebagai penerang tambahan semata-mata, dan bukannya satu-satunya penentu kepada pencapaian.

Harun, Khasiah atau Munawar mungkin tidak bersetuju dengan saya! Saya faham!

Tuesday, May 08, 2007

Gullick

Akhbar New Straits Times hari ini memaparkan artikel tulisan Gullick mengenai kepemimpinan awal negara ini pada era kemerdekaan. Gullick telah menghasilkan catatan dan rekod yang sangat bermanfaat kepada para pembaca dan penggemar bahan-bahan sejarah negara ini. Satu daripada buku beliau yang dianggap terbaik berjudul British Malaya..., maaf, saya lupa judul lengkapnya!

selamat membaca artikel berkenaan.

Monday, May 07, 2007

Isu Menarik Seminggu Ini

Stesen TV Berbayar
Lim Kheng Yaik, menteri yang dipertanggungjawab ke atas soal-soal tenaga & telekomunikasi negara menyatakan kepada pengguna supaya tonton sahaja program-program televisyen percuma sekiranya mereka (pengguna) berasa kos untuk melanggan stesen tv berbayar terlalu mahal. Antara alasannya, kerajaan tidak boleh menahan pemodal dan peniaga daripada menaikkan harga.

Penulis-penulis blog
Datuk ZAM, menteri yang bertanggungjawab mengenai soal-soal penyiaran & penerangan berpendapat penulis-penulis blog perlu diklasifikasi antara yang profesional dengan yang bukan profesional.

Berhadapan dengan dunia perhubungan awam tidaklah semudah seperti yang dilihat di dalam televisyen. Dua contoh isu di atas, yang melibatkan dua menteri - ahli-ahli kumpulan elit yang bertanggungjawab membuat keputusan-keputusan dan dasar-dasar kerajaan - menggambarkan dua keadaan yang berbeza-beza dari segi kewibawaan menangani perhubungan awam. Jelas, pengalaman dan kekananan semata-mata tidak menjadikan seseorang elit lebih wibawa daripada seseorang yang di luar dari lingkungan elit.

Friday, May 04, 2007

Memangnya dasar politik perkauman

Tidak ada apa yang perlu dihairankan apabila TPM menyuarakan ketidaksenangan hatinya kepada media kelmarin berkenaan isu MCA yang dikatakannya tidak perlu melebih-lebihkan soal undi kaum Cina dalam amalan dan proses pilihanraya negara ini.

Politik di negara ini sememangnya diadun atas formula berbilang kaum. Oleh itu sebarang isu yang ditimbulkan mengenai kaum mana yang lebih banyak menyumbang selalu timbul terutamanya apabila ada pihak ingin mewajarkan kedudukan serta pengaruh mereka dalam sistem politi tanahair. Selalunya perlakuan seperti itu akan timbul sebagai menunjukkan tanda-tanda bahawa akan ada tuntutan tertentu yang akan dibuat selepas ini. Hal-hal mengenai penubuhan universiti mengikut kaum dan parti, penubuhan sekolah-sekolah jenis kebangsaan, persatuan-persatuan seminat dan sebagainya semuanya merupakan modal yang sering diwirai oleh parti-parti politik negara ini.

Kematangan politik negara ini nampaknya kekal kabur. Sebenarnya kekalutan seperti ini sudah lama disuarakan ramai pemikir. Malangnya tidak ramai pula yang terfikir, semuanya kerana hedonisme mereka.

Thursday, May 03, 2007

Pemimpin Politik & Disiplin

Pendirian serta wibawa pemimpin-pemimpin politik selalu terserlah pada setiap kali mereka membuat keputusan politik. Hal ini sering kelihatan pada setiap kali mereka memberi kenyataan rasmi khususnya kepada media. Pada saat-saat seperti inilah baru terlihat wibawa diri mereka yang tercemar kerana mempamerkan tanda-tanda tidak berpengetahuan dan kecetekan ilmu. Antara sebabnya adalah kerana mereka tidak melihat apa yang sebenarnya menjadi isu lantaran mereka hanya mentafsir semua hal sebagai 'masalah'. Dengan kata lain, mereka tidak berupaya membezakan antara 'isu' dan 'masalah'. Sebaliknya semua hal yang dihadapi - lebih-lebih lagi yang kontroversi - ditanggap sebagai 'masalah' belaka. Mereka tidak sedar bahawa apa yang mereka ucapkan atau tinggalkan sekarang menjadi bahan sejarah pada masa depan.

Ambil iktibar kisah Lincoln. Beliau ialah Presiden Amerika Syarikat yang ke 16. Beliau digelar pemberi kebebasan. Alasannya? Beliau digelar sedemikian atas kegigihannya berjuang menghapuskan perhambaan terutamanya yang melibatkan peperangan saudara dengan negeri-negeri Selatan di Amerika Syarikat. Pada 1 Januari 1863, dokumen Perisytiharan Kebebasan yang akan membebaskan semua hamba di negeri-negeri Selatan sudah tersedia di meja Lincoln, menunggu untuk ditandatanganinya. Setiausaha Negara dan beberapa pegawai lain sudah mengelilingi Lincoln, menunggu untuk menyaksikan Lincoln menurunkan tandatangan. Lincoln terdiam. Agak lama. Lalu beliau memegang pena dan kemudian meletakkan semula pena itu di meja. Keadaan ini berulang sebanyak dua kali. Selepas bertafakur agak lama, Lincoln mengangkat mukanya, sambil berkata,

”Sejak pukul 9 pagi tadi saya berjabat tangan, dan tangan kanan saya hampir-hampir lumpuh. Jika nama saya tercatat dalam sejarah, ia akan berlaku akibat daripada perisytiharan ini, dan seluruh jiwa saya telah saya serahkan untuk ini. Jika tangan saya terketar sewaktu menandatangani perisytiharan, semua yang memeriksa dokumen ini selepas ini akan berkata, ’Dia ragu-ragu untuk menandatangani perisytiharan’.”

Lincoln kemudiannya mengangkat penanya untuk kali ketiga dan dengan perlahan-lahan, dia menurunkan tandatangannya.

Saturday, April 28, 2007

Takziah

Sahabat lama, Adham Baba (Datuk) kehilangan isterinya. Takziah saya ucapkan kepada beliau.

Wednesday, April 25, 2007

Perihal Yee

Saya hanya memanggil dia "Yee". Nama sebenarnya lebih panjang daripada itu, dan lebih bermakna serta lebih sedap disebut. Sejarah hidupnya agak panjang. Namun dia mempunyai personaliti yang sampai hari ini saya tidak pernah menemui personaliti lain seperti yang dipunyainya pada diri orang-orang lain.

Melihat dari sudut pengurusan, Yee memiliki personaliti Type B. Hari ini dia memiliki rangkaian syarikat-syarikat perniagaan melebihi 16 buah di seluruh negara. Yee tidak pernah memperlihat dirinya secara terbuka. Yee tidak pernah mengenakan tali leher melainkan sekiranya terpaksa berurusan dengan pegawai-pegawai kerajaan (pegawai-pegawai kanan kerajaan yang tipikal amat memberatkan soal pemakaian tali leher dan kot!). Pada sepanjang masa Yee lebih senang memakai seluar jeans lusuh serta kemeja T yang juga biasa-biasa rupanya. Yee tidak 'trendy' dan tidak juga 'fashion-concious'.

Yee memiliki berbelas-belas buah kereta, daripada Ferrari, Evo3, Bimmer, Benz, hinggalah ke jenama kereta yang saya sendiri tidak pernah menedengarnya. Dia memiliki banyak rumah kediaman, semuanya besar-besar. Terbaru, Yee membeli empat buah rumah sederet bernilai RM4.4. juta untuk keluarganya.

Yee menjaga kebajikan setiap pekerja. Salah seorang daripada Pengurus Besar syarikatnya disediakan dengan kemudahan Bimmer 5 series brand new berharga RM300 lebih Ribu.

Saya terus mengikuti perkembangan sahabat saya ini kerana dia memiliki personaliti yang saya masih terus mencari-carinya pada diri orang lain. Rangkaian bengkel kenderaannya mengagumkan saya!

Hanya satu aduan dan keluhan yang saya dengar daripadanya kemarin: "Aku tidak cukup tidur!"

Tuesday, April 24, 2007

Perihal Budi

Laporan media pagi ini meliputi hal wanita Myanmar yang terlibat dengan kehilangan Yin beberapa minggu lepas. Khabarnya wanita itu menolak pemberian ganjaran sebagai mengembalikan Yin kepada ibubapanya. Sewaktu Yin dikembalikan - meskipun dalam keadaan fizikal yang tidak begitu molek, terutamanya dalam keadaan berkepala gondol - berbagai-bagai pertanyaan diajukan orang. Bermacam-macam andaian kemudiannya disusun satu persatu untuk mencari jawaban kepada kehilangan Yin.

Akhirnya, isu besar yang asal - berusaha dan bertawakal untuk mendapatkan kembali Yin - hilang lenyap lalu digantikan dengan persoalan "Kenapa Yin disimpan selama kira-kira 15 hari sebelum dia dipulangkan kepada ibubapanya?"

Integriti wanita Myanmar itu - yang miskin dan serba daif - kemudiannya dipersoal dan tercalar dalam keadaan yang menghinakan dan memilukannya, langsung membawa kepada pendiriannya untuk menolak sebarang bentuk ganjaran sebagai memulangkan Yin.

Dalam keadaan sebegitu, kelihatan benar rapuhnya kepercayaan dan niat manusia tatkala hajat kesampaian. Ketika bekeperluan, berbagai-bagai janji dan ikrar ditabur dan diselang-seli dengan kesyukuran kepada Tuhan. Sebaik sahaja niat kesampaian, janji dan ikrar terpaksa di'kajisemula' sebagai cara atau tanda untuk 'membenarkan' sesuatu yang lain. Ini soal memberatkan antara salah satu nafsu -nafsu besar manusia.

Namun begitu, keinsafan seharusnya dilafazkan sebaik membaca laporan bahawa ahli perniagaan yang telah berikrar itu tidak berganjak niatnya untuk terus menghadiahkan ganjaran itu kepada orang yang membawa pulang Yin.

Jika wanita itu bersalah kerana orang percaya dia memang berniat untuk menyimpan Yin selama-lamanya - malah berniat mahu menghambakan Yin - dia sudah pun membatalkan niat itu. Di sisi Tuhan, dia sudah memperoleh tidak kurang satu mata ganjaran. Bagi mereka yang berniat baik, misalnya mahu menyedekahkan atau menghadiahkan sesuatu kepada wanita itu, dan mereka kemudiannya membatalkan niat tersebut dengan pelbagai alasan lalu mencalarkan hati dan integriti wanita itu sekeluarga, tidak terfikirkah mereka balasan yang akan diterima kelak?

Soal budi tidak pernah terhenti. Asalkan hati berasa puas - meskipun mereka tidak akan pernah puas kerana mereka sebenarnya tidak mempunyai sebarang jawaban yang pasti - lalu jadilah hal-hal seperti yang dilalui wanita itu.

Manusia memang sentiasa berada dalam keadaan resah gelisah kerana itu adalah fitrah. Bagaimana pun,tidak semua orang mampu menangani kegelisahan itu dengan cara dan rasa yang boleh menampakkan ketinggian akal dan budi. Antara lain, alasannya adalah kerana mereka lebih gemar bercakap dan kurang menghargai 'diam'.

Thursday, April 19, 2007

Perihal Israel

Imran akan membentangkan pemikiran beliau pada pagi ini mengenai sama ada Israel mungkin akan menyerang Iran atau pun sebaliknya. Ya, isunya memang isu lama, namun berpanjangan dan nampaknya tidak berkesudahan di atas muka bumi ini.

Jika berkelapangan, silalah ikuti pemikiran beliau. Acara itu akan diadakan di Dewan Muktamar Pusat Islam, pada pukul 9 pagi ini.

Salam.

Tun yang apologetik

Semalam, Tun Dr Mahathir memohon maaf secara terbuka dan mengakui kesalahan dan kesilapan beliau yang percaya kepada khabar angin bahawa Perdana Menteri sekarang ini memiliki sebuah rumah agam di luar negara. Dalam banyak keadaan, pengajian mengenai kepemimpinan selalunya menunjukkan bahawa bukanlah sesuatu yang mudah untuk mana-mana personaliti dan pemimpin mengakui kesalahan dan kesilapan lalu memohon maaf secara terbuka seperti yang dilakukan oleh Tun itu.

Hanya pemimpin yang tulen dan berwibawa berupaya melakukan sedemikian. Pemimpin ikutan selalunya akan terus mempertahan diri mereka yang dipercayainya sentiasa benar manakala di matanya, orang lain sentiasa sahaja salah.

Moral: Menundukkan ego adalah perjuangan sebenar dan terbesar dalam kepemimpinan Blair tahu mengenai hal ini. Bush juga tahu, tetapi memilih untuk membodohkan diri dengan kesombongan beliau. Baca suatu artikel atas judul: "Its wrong to be so right" yang dinukil oleh seorang ahli senat Amerika Syarikat