Tuesday, February 27, 2007

Akal Budi 86 - "Memo daripada Machiavelli"

Ada dua perkara dasar yang ditekankan oleh pemikiran Machiavelli menyangkut soal-soal realiti kontemporari organisasi.
Pertama, soal pengukuran dan penilaian mengenai jenis organisasi. Kedua, mengenai tanggungjawab semua manusia yang ada di dalam organisasi itu untuk menghargai - kemudian mengesahkan atau menerima bagaimana keputusan-keputusan dibuat, dan dilaksanakan atau dikerjakan oleh siapa.
Kenapa hal ini dipentingkan? Pertama, jika ukuran yang dibuat salah-suai, pemakaiannya tentulah barangkali sangat janggal. Kedua, jika janggal, tentulah barangkali keputusan yang dibuat itu tidak diterima atau disokong sebulat hati dan berserah diri sepenuhnya; langsung menjadikan organisasi sebagai tempat yang berpenyakit lalu berbarah sehingga tidak ada walau satu pun hal yang dilihat oleh manusia-manusia di dalam organisasi itu sebagai baik dan membawa manfaat selain dianggap sebagai tempat untuk memperagakan kepentingan yang sedikit.
Dalam hal ini, Ibn Khaldun melihat pembangunan manusia sebagai bertahap-tahap: analogi kehidupan seorang manusia dijadikannya sebagai asas pemikiran untuk seseorang memahami segi-segi pengembangan organisasi: Kelahiran bayi/kanak-kanak; dewasa; matang; tua; mati.

Monday, February 26, 2007

Akal Budi 85 - Sukar Untuk Dijelaskan

Saya memohon maaf (khusus Putri & Daimi) kerana tidak memaklumkan mengenai hal tersebut tempoh hari. Sebenarnya saya sengaja tidak menyampaikannya kepada lebih ramai rakan melainkan dua tiga orang yang terdekat. Pertama, saya tidak melihat perkara itu sebagai sesuatu yang sangat penting untuk dihebahkan. Kedua, saya fikir hal itu agak sedikit peribadi untuk dikongsi dengan terlalu ramai kenalan. Ketiga, barangkali kerana sifat buruk saya sememangnya begitu: memilih untuk berdiam!

Mengenai manuskrip-manuskrip yang disebutkan itu, sebenarnya saya sudah berbual dengan Maihida (di DBP). Katanya, semuanya beres dan menunggu masa akhir untuk disudahkan kerja-kerja penerbitan. Jadi, nampaknya tugas kita seterusnya, selain daripada menyambung usaha-usaha menyediakan bahan-bahan baru, ialah menunggu.

Selamat bekerja.

Rakan Pengarang

Rakan penulis, Ali Bukhari - Ibnuamir (Siasah) - bersama Pak Samad. Majlis penyampaian hadiah mengarang DBP, 23 Februari 2007.

Saturday, February 24, 2007

Akal Budi 84 - Pengarang & Kepengarangan


Perubahan sentiasa memerlukan kefahaman. Saya bersetuju dengan apa yang diucapkan oleh Dato' Dr Firdaus Abdullah (KP DBP) sewaktu majlis penyampaian hadiah Sayembara Mengarang DBP pada 23 Februari 2007 yang diadakan di DBP-KL. Dengan kata lain, beliau menekankan kepentingan manusia untuk memahami apa sebenarnya yang dilaksanakan untuk berubah secara falsafah dan konkrit.


Pada waktu yang sama, saya turut memperoleh kefalsafahan pemikiran Pak Samad - Sasterawan Negara Dato' A. Samad Said - yang melihat pengarang dan kepengarangan sebagai proses yang seharusnya mesra dan membantu manusiawi.


Pemikiran seumpama itu - yang lahir daripada manusia yang sentiasa membudayakan pembawaan merendah diri dan hati seperti Pak Samad itu - barangkali sudah cukup untuk semakin menyedarkan bahawa ada banyak soalan yang manusia tidak mampu menjawab atau sengaja mengelak untuk berhadapan dengan soalan-soalan itu.


Dalam keadaan yang sama, kepengarangan dan kesungguhan manusia-manusia seperti Faisal Tehrani, Azizi Hj Abdullah dan SN Shahnon Ahmad sentiasa teruji dan terbukti.

Thursday, February 22, 2007

Akal Budi 83 - Dr Nik Rasli Mansor

Saya mendoakan Allah SWT menganugerahi kesejahteraan segera kepada seorang sahabat, Dr Nik Rasli Mansor yang kini di bawah perhatian rapi di Pusat Perubatan Subang Jaya, Selangor akibat serangan angin ahmar.

Wednesday, February 21, 2007

Akal Budi 82 - Memikirkan Cameron


Setiap kali mengunjungi tanah tinggi ini, pertanyaan mengenai apa yang sebenarnya telah berlaku kepada Encik Cameron sentiasa menerpa semula. (Foto: Nabilah, Nasiha, Zahier & Zuhair. Cameron Highlands, 19 Februari 2007)


Akal Budi 81 - Mengenai Ketidakpedulian

Ketika melihat semula himpunan makalah, terbaca potongan pemikiran Harith al-Muhasibi (RA) ini:

"A person who is true would not care if his whole value vanished from the hearts of men for the sake of bettering his heart. He does not like people seeing the smallest bit of his good acts, and does not mind their noticing the worst of them, for to be otherwise would show he wants to be more in their eyes, and this is out of character for those of great faith."

Tuesday, February 13, 2007

Akal Budi 80 - Kuasa Politik

Baru sahaja selesai membaca buku terbaru di pasaran (2007), "Mahathir vs Abdullah: Covert wars & challenged legacies" terbitan kinibook; suntingan Anwar Ibrahim, James Wong Weng Onn, Gunasegaranm, Lim Guan Eng & Steven Gan. Menarik.
Timbul persoalan, di tangan siapa letaknya kuasa politik, sebenarnya?
Siapa sebenarnya yang berkuasa di dalam skala kuasa politik? Banyak yang mengatakan rakyat. Alasannya, oleh kerana rakyat yang menentukan siapa yang akan menjadi wakil mereka pada setiap kali pilihanraya diadakan, maka rakyat yang berkuasa.

Ada juga yang beranggapan bahawa ahli-ahli parti politik-lah yang lebih berkuasa kerana mereka memilih perwakilan pada setiap kali Konvensyen parti diadakan. Lebih-lebih lagi jika ia melibatkan parti politik yang dominan dalam pemerintahan negara. Inilah yang disaksikan antara 19 hingga 23 Julai tahun lalu pada Perhimpunan Agung UMNO ke 56.

Dalam pengajian sains politik, hal seumpama ini dikatakan sebagai pengagihan skala kuasa politik. Ia melibatkan pengkajian mengenai kepercayaan individu samada kuasa politik diagihkan berdasarkan beberapa aliran orientasi yang tertentu.

Aliran-aliran yang besar itu termasuklah yang dianggap sebagai pluralisme politik (penglibatan banyak pihak dalam mengagihkan kuasa politik), elit politik (kuasa diagihkan oleh kumpulan kecil namun amat ’istimewa’); atau Marxis (kuasa politik dikawal oleh perniagaan gergasi).

Pluralistik

Tidak ada satu kumpulan pun yang benar-benar dianggap mentadbir kerajaan di negara ini. Sebaliknya, keputusan-keputusan penting mengenai polisi negara dibuat oleh pelbagai kumpulan yang berbeza-beza yang terdiri daripada kalangan misalnya Pak-Pak Menteri tertentu, NGO, perwakilan parti, golongan ulama, profesional muda yang menjadi kumpulan pemikir, pendidik dan sebagainya.

Kumpulan-kumpulan tersebut mempengaruhi parti-parti politik, tetapi tidak ada satu kumpulan pun yang benar-benar menonjol yang berupaya boleh mengarah orang lain. Dalam keadaan sebenar, setiap kumpulan dianggap cukup berupaya untuk melindungi kepentingan masing-masing.

Dalam temubual antara Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi dengan Mingguan Malaysia (Ahad 17 Julai 2005), Perdana Menteri diajukan dengan pertanyaan berikut:

”ORANG ada persepsi kononnya menantu Datuk Seri, Khairy Jamaluddin, ada peranan dan pengaruh tersendiri dalam pentadbiran dan keputusan yang dibuat oleh Datuk Seri?”
Lalu Perdana Menteri membalas,

”Boleh jadi kerana dia pernah bekerja dengan saya (sebagai bekas Timbalan Ketua Setiausaha Sulit 2). Apabila bekerja dengan Perdana Menteri ini maklumlah banyak perkara yang dia bantu, beri pandangan dan analisis. Mereka ini semua pun pembantu saya (menunjuk kepada pegawai-pegawainya)”
Perwakilan UMNO dikira menyumbang kepada kaedah pengagihan kuasa seperti ini pada setiap kali Perhimpuan Agung diadakan. Mereka mengusulkan – dan memilih untuk tidak mengusulkan! – isu-isu yang patut dijadikan bahan perbincangan pada setiap kali perhimpunan berlangsung.

Isu-isu seperti Agenda Melayu dalam konteks pendidikan tinggi dan profesional akan diungkapkan pada platform seperti Perhimpunan Agung. Pada masa yang sama, isu-isu lain yang dianggap mempunyai scoop juga akan dipertimbangkan seperti soal pemberian AP yang dikatakan tidak telus ataupun soal disiplin ahli parti yang dipersoalkan.

Elitis

Terdapat satu kumpulan yang kecil – yang berada betul-betul di bawah dagu Perdana Menteri – yang turut ’mengendali’ dan ’mentadbir’ kerajaan. Kumpulan ini terdiri daripada ketua-ketua syarikat-syarikat perniagaan yang besar, termasuk perbadanan negara, individu-individu tertentu pegawai-pegawai tertinggi kerajaan dan sektor pertahanan, serta beberapa ahli politik kanan dan bekas ahli politik yang masih berpengaruh.

Kumpulan ini biasanya menguasai atau pun setidak-tidaknya mempunyai kepentingan dalam parti-parti kerajaan. Mereka adalah kumpulan istimewa. Mereka mempunyai laluan langsung kepada pemimpin tertinggi kerajaan. Urusan rasmi mereka tidak berakhir sekadar di pejabat, tetapi dilangsungkan hingga ke kediaman pemimpin-pemuimpin tertinggi semata-mata untuk menyudahkan kerja-kerja rasmi yang masih tertangguh.

Pendominasi / Pelobi Ekonomi

Kumpulan yang ketiga, kumpulan yang terdiri daripada ahli-ahli perniagaan dan syarikat-syarikat korporat yang yang berkuasa, yang benar-benar menguasai negara. Ketua-ketua pentadbir syarikat berkenaan menguasai parti-parti dominan dalam kerajaan. Ini bermakna banyak urusan dalam pemerintahan negara dikendalikan dan ditangani dalam cara yang agak sehala dengan cara dan strategi perniagaan dilaksanakan.

Mereka ini dianggap sebagai kumpulan terkuat yang menentukan hala-tuju corak pemerintahan negara pada peringkat eksekutif, atau pembuat keputusan. Bagaimanapun, pengaruh kumpulan ini bergantung kepada hayat politik Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri. Kebiasaannya, hanya individu-individu yang tertentu dan bijaksana sahaja yang mempu melepasi tindakan cantasan politik semasa apabila kepemimpinan tertinggi negara bertukar orang.

Apa yang jelas, siapa pun yang akhirnya ’berkuasa’ secara politik biasanya tidak dipersoalkan. Sistem politik mempunyai budaya, peraturan dan undang-undang tersendiri yang sehingga kini diyakini rakyat. Malah, ahli-ahli parti politik sendiri pun menerima secara dasarnya bahawa siapa yang patut berkuasa dan siapa yang patut sekadar mengikut. Begitulah seterusnya, mereka juga yang menentukan misalnya, samada Agenda Melayu itu releven atau tidak pada sesuatu masa dalam konteks siapa sebenarnya yang berkuasa.

Dengan kata lain, ini adalah soal kematangan politik. Ia mungkin melibatkan beberapa unsur asas, antaranya: pertama, ciri-ciri profesional yang ditunjukkan antara ahli-ahli politik dan pentadbir kerajaan yang sama-sama menyokong sistem semasa, meskipun ada kemungkinan mereka sendiri tidak memahami mengenai sistem itu secara menyeluruh. Apa yang penting adalah sokongan penuh mereka terhadap parti dan kerajaan.

Kedua, keupayaan untuk menjiwai prinsip demokrasi asas di kalangan semua pengamal dan peserta dalam sistem politik.

Ketiga, menerima faktor kepelbagaian dalam sistem politik (pandangan, pendekatan dan kepercayaan).
Dan keempat, keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan kepemimpinan dan sistem semasa secara sepenuhnya. Ini yang sentiasa perlu dipastikan.
Apa komen seterusnya?

Monday, February 12, 2007

Akal Budi 79 - Mengenai kesantunan

Riz,
Saya percaya sesuatu hal itu - walau diyakini betul dan benar faktanya - sudah cukup untuk membuatkan seseorang mencetuskan benih-benih pembohongan sebaik sahaja dia mengulangi apa-apa sahaja yang didengarinya lalu disampaikannya kepada telinga-telinga orang lain.

Sunday, February 11, 2007

Akal Budi 78 - Heroisme

Kepercayaan diri adalah ramuan heroisme. Itu kesimpulan awal yang diperolehi lewat kuliah seharian ini. Ia menjelaskan kebenaran, ia agak adil dan saksama, agak murah dan mesra, tenang, penuh dengan dugaan dan menyingkirkan ketidaktentuan. Namun entah kenapa heroisme sentiasa dimalukan oleh rupanya sendiri. Wajarkah begitu?

Saturday, February 10, 2007

Akal Budi 77 - Antara Khabar & Berita, Maklumat & Ilmu

Apabila saudara yang seorang ini menanyakan mengenai akal (kerana judul blog ini 'akal budi') petang kelmarin, rupa-rupanya ada banyak perkara yang bersarang di fikirannya. Namun setelah disuakan suatu catatan ringkas yang kebetulan memang ada di dalam buku catatan yang dibawa ke mana-mana itu kepadanya, dia seakan-akan bersetuju, atau setidak-tidaknya sedikit lega.

Ada tiga perkara berkaitan 'intisari akal', iaitu:

1. Memaafkan kesalahan manusia terhadap dirinya;
2. Merendahkan diri kepada manusia;
3, Berfikir dahulu sebelum menjawab atau memulakan percakapan.

Manakala ada tiga perkara juga yang berkaitan dengan kejahilan akal, iaitu:

1. Suka bercakap besar di hadapan orang lain;
2, Suka bercakap perkara-perkara yang tidak memberi faedah;
3. Memalukan orang lain dalam sesuatu perkara (pekerjaan) sedangkan dia sendiri turut melakukannya.

Mutiara-mutiara yang berharga ada di mana-mana, antaranya:

1. Yang lebih berat daripada langit - menuduh orang yang tidak berdosa;
2. Yang lebih luas daripada bumi - perkataan yang benar;
3. Yang lebih kaya daripada laut - ilmu;
4. Yang lebih panas daripada api - perkataan kesat;
5. Yang lebih sejuk daripada air - suka bercakap bakhil; dan
6. Yang lebih pahit dan sakit daripada racun - sabar.

Salam sejahtera.

Thursday, February 08, 2007

Akal Budi 76 - Yang diberi & diambil semula

"hidup tidak pernah bosan
mengajar aku
bahawa
setiap yang diberi
pasti ada yang akan diambil kembali.

ketentuan membuat manusia sentiasa terlalu resah"



Kutipan pada bahagian terakhir suatu puisi. Ada beberapa perkara yang sering mengganggu sesiapa pun. Pertama, memori silam. Kedua, emosi yang dipanjangkan. Ketiga hasutan yang dipujuk untuk terus melela. Keempat, tindakan yang disangka berupaya memuaskan hati.

Fitnah adalah benda keji yang tidak pernah ada henti. Atas sebab itulah lalu manusia sentiasa dianjurkan supaya 'diam' melainkan ada faedah untuk berkata-kata. Noktah.

Tuesday, January 30, 2007

Akal Budi 75 - Mengenai Budaya Politik

Tidak semua yang dikaitkan dengan hal-hal yang ditunjukkan sewaktu pilihanraya itu berbudaya politik. Budaya bukan semata-mata apa yang manusia lakukan. Ia menyangkut soal-soal kefalsafahan dan ketinggian pengetahuan dan ilmu. Ia lebih daripada sekadar apa yang Gabriel Almond & Bingham Powell percaya, bahawa budaya politik merangkumi komponen-komponen nilai, sikap, perasaan, kemahiran dan pengetahuan. Amanah dan tanggungjawab menunjangi semua itu terlebih dahulu, dan secara asas. Ia tidaklah semudah mengatakan bahawa sesuatu sistem itu bersifat kepatuhan, penyertaan, madani ataupun parokial.

Friday, January 26, 2007

Monday, January 22, 2007

Akal Budi 74 - Ikhtilaf

Pandangan sememangnya sentiasa terbuka kepada perbezaan dan ada kalanya, percanggahan. Keadaan itu - ikhtilaf - melibatkan pertikaian, ribut, pertentangan dan tidak setuju yang berpunca daripada pandangan.
Namun, dari sudut sains kepolitikan, ikhtilaf besar dan murni maknanya. Ia lebih daripada sekadar polemik dan perbahasan emosi. Dengan kata lain, sifat positif yang dicetuskan oleh perbezaan (atau ikhtilaf) itu sangat diperlukan dalam pembangunan manusia. Ia merupakan ihsan kemanusiaan.
Ikhtilaf bukanlah konflik. Ia sekadar perbezaan, kelainan. Ia bukanlah perpecahan dan ribut-taufan. Oleh itu, kenapa tidak dianjurkan ikhtilaf dan bukannya menonjolkan konflik? Tidaklah ia menjadi sesuatu yang sia-sia.

Tuesday, January 16, 2007

Akal Budi 73 - Kenapa Tidak?

Selepas meneliti senario pentadbiran negara sejak beberapa lama ini - terutamanya selepas kejadian banjir yang kelihatannya berpanjangan - saya fikir: ketika kita boleh menggunakan pelbagai kepakaran dan kecerdikan global untuk membangunkan keupayaan penguasaan dan pemerkasaan teknologi maklumat dan S&T negara, kenapa tidak hal yang sama dilakukan juga kepada soal pentadbiran keselamatan dan kesejahteraan fizikal tanah Malaysia yang tidak sebesar mana ini? Lebih-lebih lagi bila memikirkan ketika kawasan Selatan negara ini teruk diancam banjir, negara jiran Singapura kelihatannya terlindung sama sekali. Adakah sebarang kemungkinan atau petunjuk bahawa pemikiran pentadbiran pembangunan republik itu jauh lebih 'altruistik' berbanding para pentadbir kita? Sehebat itukah pemikiran mereka sehingga sistem perparitan dan pengaliran air di sana kelihatannya amat mantap dan sangat boleh diharapkan?

Sedangkan kita sudah menjemput dan menggunakan khidmat nasihat dan kepakaran daripada ramai pakar, seperti senarai berikut:

Dr. Joseph Stiglitz - pakar ekonomi yang pernah menjawat jawatan Naib Presiden Bank Dunia (1997-200) dan pernah berkhidmat di bawah pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton 1983. Buku beliau, Globalization and its discontents mendapat perhatian umum. Professor Jeffery E. Garten pula merupakan ahli akademik Universiti Yale, merupakan pakar yang dijemput khas oleh kerajaan Malaysia di bawah Panel Penasihat Antarabangsa, 2005. Ahli-ahli lain di dalam Panel Penasihat Antarabangsa Malaysia termasuklah: (1) Dr. Just Faaland – Pengerusi dan perunding Kanan Institut Michelsen (CMI) Norway. Beliau ialah bekas Ketua Penasihat Ekonomi kepada Perdana Menteri Malaysia (196801970) serta terlibat dalam membuat Dasar Ekonomi Baru (DEB); (2) Dr. Yukon Huang – Beliau ialah Penasihat kanan kepada Naib Presiden Asia Timur, Bank Dunia; (3) Prof. Peter Nolan – Beliau ialah Pengarah Chinese Big Business Programme dan juga berkhidmat sebagai Haki di Institut Pengurusan Universiti Cambridge; (4) R. Ralph Parks – Pengerusi JP Morgan Asia Pasifik, Hong Kong; (5) Dr. Arjun K. Sengupta – Beliau merupakan Profesor Adjung Pembangunan dan Hak Asasi Universiti Harvard; (6) Claude Smadja – Beliau ialah Pengasas dan Presiden, Smadja & Associates, Switzerland dan dilantik sebagai Pengarah Urusan Forum Ekonomi Dunia (WEF); (7) Dr. Frances Stewart – Beliau ialah Pengarah Pusat Penyelidikan Ketidakadilan, Keselamatan Manusia dan Berhubung Perkauman, Universiti Oxford; (8) Dr. Wing Thye Woo – Beliau ialah Profesor Ekonomi Universiti California dan merupakan bekas penasihat beebrapa kerajaan seperti Indonesia, Mongolia dan Ukraine; dan (9) Dr. Kenneth S. Courtis – Beliau ialah Pengarah Urusan dan Naib Pengerusi Goldman Sachs Asia, Jepun. Beliau merupakan penasihat ekonomi antarabangsa, kewangan dan hal ehwal pelaburan.

Sehingga itu, saya tidak menemui sebarang jawaban.

Saturday, January 13, 2007

Friday, January 12, 2007

The Gladiator

Mengunjungi Colloseum di kota Roma ini tentu mengingatkan saya kepada gladiator...

Friday, January 05, 2007

Akal Budi 72 - Bila Media Menilai Perkhidmatan

Pada seminar ‘Abdullah Ahmad Badawi Tiga Tahun Di Putrajaya: Menjejaki Pencapaian dan Strategi Masa Depan Negara’ yang diadakan di Putrajaya baru-baru ini, timbul beberapa perkara yang amat sesuai untuk ditaakulkan. Pertama, hampir-hampir semua pembentang dan sarjana yang ditemubual oleh pihak media mengaitkan 'keberkesanan' pentadbiran Perdana Menteri dengan aspek-aspek, antara lainnya, integriti, kelembutan dan hemah dalam seni pentadbirannya. Kemahiran berpolitik nampaknya lebih ditekankan. Jika memikirkan dari sudut penyelidikan, semua yang dikaitkan oleh 'sarjana-sarjana' itu merupakan variabel atau pemboleh-pemboleh ubah yang sukar dihitung dengan tepat; non-parametric serta tidak quantifiable.
Seni dan sains pentadbiran berbeza sifatnya walaupun kedua-duanya sangat berkaitan. Dalam hal ini, kontrak atau persetujuan (ijab & kabul) yang mengikat urusan dan hubungan antara kerajaan dengan rakyat tetap juga sama: bahawa kerajaan mestilah dalam apa perkara dan keadaan sekalipun, memberi perkhidmatan tidak berbelah bagi kepada rakyat. Dengan kata lain, keutamaan mana-mana kerajaan mestilah bertumpu kepada kesejahteraan rakyat. Kerajaan yang berkesan mesti mampu menunjukkan pada setiap masa bahawa rakyat sentiasa berasa sejahtera dan tidak terancam. Oleh itu, sekiranya media ingin mengungkapkan kejayaan sesuatu jabatan atau malah sesebuah kerajaan, seharusnya mereka mendapatkan lebih banyak perakuan dan pengiktirafan daripada komponen yang lebih penting daripada sebilangan sarjana atau ahli politik, iaitu tekankan sentimen rakyat. Itu barangkali jauh lebih berkesan dan bermakna. Dengan itu, tentunya sentimen yang berunsurkan altruisme akan lebih menonjol dan dihargai ramai.

Wednesday, December 20, 2006

Akal Budi 71 - Fakta Sejarah

Baru-baru ini apabila Presiden Hua Zong (Federation of Chinese Associations Malaysia) Lim Gait Tong, menggesa Datuk Zainuddin Maidin (Menteri Penerangan) menarik balik kenyataan beliau berkenaan pembinaan monumen untuk memperingati ahli MPAJA yang terkorban, fakta sejarah kelihatannya sekali lagi dipersoal kesahannya.
Jika tafsiran majoriti rakyat mengenai MPAJA yang kejam itu betul, maka kenyataan dan tindakbalas Hua Zong itu sangatlah dikesalkan. Sebelum ini pun isu mengenai 13 Mei 1969 turut diungkit di Parlimen sehingga menyebabkan kabinet mengulangkaji kewajaran penerbitan dan penggunaan buku hubungan etnik yang sebenarnya sudah pun dihalusi oleh pakar-pakar sebelum ini. Namun apabila pembangkang menimbulkan isu itu di Parlimen, fakta sejarah diperbetulkan walaupun belum tentu sah ia salah.
Agak menarik untuk merenung sama ada isu MPAJA dan monumen ini akan dimanipulasi dan eksploitasi sedemikian juga.