Sunday, February 15, 2009

ADA APA PADA REALISME MAHUPUN IDEALISMA

1. Dalam suasana politik tanahair yang serba menduga akhir-akhir ini, diasak pula oleh igauan prestasi ekonomi yang tidak molek kebelakangan ini selalu benar diungkapkan mengenai idealisma dan realisma dalam politik. Bersepah-sepah blog menyebut mengenainya. Sehingga di kaca-kaca TV hal itu disebut-sebut seolah-oleh ia merupakan penawar bisa racun politik yang tidak berketentuan sekarang ini, semudah itu!

2. Kata Plato, realisma adalah apa yang sewajarnya terjadi. Machiavelli pula menegaskan realisme adalah doktrin atau kepercayaan mengenai kesegeraan.

3. Mereka yang menyokong dan menerima fahaman realis melihat politik sebagai dihidupkan oleh punca-punca keselamatan dan kuasa. Oleh itu politik dianggap sebagai komponen penting yang meneruskan kehidupan masyarakat.

4. Kepada orang-orang yang menganut fahaman realis, kedua-dua faktor itu – keselamatan & kuasa – merupakan kunci kepada keamanan dan penerusan hidup sesebuah negara.

5. Dengan memikirkan itu, rasa takut dan bimbang merupakan dilema yang sering menghantui. Ketakutan itu diterjemah kepada andaian yang hampir-hampir menjadi kepercayaan bahawa ada pihak-pihak tertentu sentiasa mencari-cari jalan untuk saling memusnahkan. Ketakutan tersebut kemudiannya menjadi sebab untuk mereka sentiasa mempersiap diri untuk ‘membunuh’ pihak yang dilihat mengancam sebelum mereka sendiri ‘dibunuh’ atau terbunuh.

6. Dari sudut ini, doktrin realisma percaya bahawa yang patut diutamakan oleh negara adalah untuk menjamin kuasa yang dipunyai untuk melindungi negara daripada sebarang ancaman. Untuk melakukan demikian, ada kalanya banyak yang perlu dikorbankan tanpa rasa sesal.

7. Bagaimana pula idealisma politik?

8. Idealisma politik tidak menganggap isu keselamatan dan dilema kuasa sebagai punca masalah. Malah, secara sinis, kerajaan atau pihak yang mempercayai fahaman ini mungkin tidak akan memiliki senjata di dalam negara mereka sama sekali.

9. Alasannya? Mungkin jika mereka menyimpan senjata dan memperkuat ketenteraan, tindakan tersebut akan disusul oleh pihak-pihak atau negara-negara lain. Bermakna, kemungkinan konflik yang lebih besar akan timbul dan mencetuskan kemusnahan total.

10. Kebanyakan pemikir dan sarjana kemudiannya tidak bersepakat untuk mengutamakan salah satu daripada kedua-dua fahaman tersebut. Seringkali perbezaan antara kedua-duanya terlalu sukar untuk ditunjukkan secara amali. Gambarannya adalah seumpama suatu garisan yang sangat halus sifatnya hingga menyukarkan penglihatan untuk menentukan sama ada lurus atau berbengkang-bengkok.

11. Untuk sekadar memuaskan hati, lalu kebanyakan pemikir dan sarjana kemudiannya menyimpulkan bahawa kedua-dua fahaman itu perlu dimanfaatkan bersama-sama. Realisma tanpa idealisma tidak mewujudkan keseimbangan, sebagaimana analogi yang mereka gunakan bahawa: seseorang tidak sewajarnya bersifat terlalu idealistik kerana keselamatan sesebuah negara akan terjejas; sebaliknya seseorang itu tidak sepatutnya juga terlalu realistik kerana perang atomik berkemungkinan tercetus.

12. Kesimpulannya, secara sinis, mereka memetik kata-kata Pasqal bahawa “Keadilan tanpa paksaan adalah kemandulan. Paksaan tanpa keadilan adalah huru-hara. Oleh itu, sangatlah perlu untuk menyatukan keadilan dan paksaan dan menjadikannya mantap semantap-mantapnya sekaligus menjadikannya adil seadil-adilnya.”

Saturday, February 14, 2009

BUKIT GANTANG, BUKIT SELAMBAU

BUKIT GANTANG

1. Sejak kecil, selain Changkat Jering, Bukit Gantang menjadi salah satu daripada kawasan-kawasan yang kami akan kunjungi untuk menikmati durian.

2. Dari segi lokasi, Bukit Gantang agak terpinggir kedudukannya dari bandar Taiping. Tidak seperti Changkat Jering, Bukit Gantang bukanlah tempat persinggahan atau destinasi popular untuk berehat sebentar sebelum meneruskan perjalanan. Selalunya, simpang masuk ke Bukit Gantang hanya sekadar dilewati kalau destinasi kami adalah ke daerah Beruas/Pantai Remis/Manjung.

3. Oleh itu, Bukit Gantang adalah kawasan yang agak tertutup lokalitinya. Orang-orang luar yang memiliki tanah dusun di situ menjadikannya sebagai lokasi yang dilawati pada hujung minggu. Mereka yang sememangnya menetap di situ pula tidak ramai yang berhijrah keluar kerana tidak banyak alasan bagi mereka untuk berbuat demikian.

4. Setahu saya, berdasarkan pengalaman sewaktu persekolahan, rakan-rakan dari Bukit Gantang memiliki ciri-ciri personaliti yang agak serupa: agak merendah diri, sedikit pemalu, mesra, baik hati, berbudi tinggi dan sangat pintar.

5. Personaliti seperti itu sangat sesuai dengan pemikiran mengenai model kepemimpinan jenis Teori Sifat (Traits Theories).

6. Mana-mana calon yang akan diturunkan di situ oleh parti masing-masing mungkin boleh menggunakan aspek ini sebagai kriteria utama pemilihan.

7. Calon yang memiliki kelebihan adalah: (a) dikenali di situ; (b) tidak sombong;(c) tidak menonjol sifat-sifat sekularnya; (d) dihormati masyarakat tempatan; (e) tidak dilihat terlalu muda.

8. Peluang calon-calon untuk menang kurang-lebihnya sama banyak.


BUKIT SELAMBAU

1. Bukit Selambau bukanlah terlalu sukar untuk digambarkan. Kedudukannya tidak jauh dari Sungai Petani. Ia hanyalah sebuah kawasan biasa, banyak tanah lapang, sedikit sebanyak kawasan rancangan pertanian dan sebahagian kecil kebun-kebun yang tidak besar skalanya.

2. Komposisi penduduknya tidak menampakkan mana-mana etnik yang dominon dari segi bilangannya. Bagaimanapun, bagi penduduk-penduduk di kawasan itu dan berdekatan, Bukit Selambau selalunya dirujuk sebagai kawasan etnik India.

3. Siapa yang berpotensi menang? Calonnya tidak semestinya India walaupun PKR berkepercayaan calon India sahaja yang berpeluang menang di situ. Ada juga suara-suara yang berpandangan BN patut meletakkan calon Melayu (dengan syarat di kalangan orang-orang Melayu di situ tidak wujud kepuakan melampau atas dasar perbezaan fahaman politik dan penzahiran agama).

4. Melihat kepada aliran, ada kemungkinan calon India yang vokal akan dipilih oleh kebanyakan pengundi India (atas alasan itulah Hindraf kelihatannya sangat yakin untuk mencalonkan orang mereka). Pengundi Melayu yang berorientasikan parti pula tidak banyak soal (bagaimanapun, bilangan mereka tidak diyakini mencukupi untuk memenangkan seseorang calon).

5. Tidak banyak yang boleh diharapkan oleh BN di Bukit Selambau selagi peratusan Melayu yang sebanyak itu tidak dapat menyatukan pendirian dan suara mereka dalam pilihanraya kecil itu kelak.

Wednesday, February 11, 2009

PERLEMBAGAAN? YA, BETUL

1. Memang. Betul, Perlembagaan (baik Persekutuan mahupun Undang-Undang Tubuh Negeri) ditadbir untuk melancarkan sistem pemerintahan dan kemasyarakatan.

2. Namun perlu juga diingat kenyataan bahawa Perlembagaan berusia tidak sampai pun 100 tahun sedangkan sistem politi & politik - dalam bentuk institusi Raja - sudah mengakar umbi dan digunakan untuk mentadbir lingkungan kemasyarakatan alam dan negara ini sejak lebih 600 tahun lampau.

3. Tidakkah itu harus diambil kira dalam membuat pengamatan dan tafsiran secara rasional?

Tuesday, February 10, 2009

SELAMANYA MACHIAVELLIAN

1. Sesiapa yang mendalami falsafah politik dan ekonomi selalunya agak biasa dengan nama-nama Machiavelli dan Locke. Umumnya kedua-dua mereka melihat struktur sesebuah kerajaan dalam perkaitannya dengan kepentingan kerajaan dan individu.

2. Pemikiran Machiavelli mengenai kekayaan dan idea Locke mengenai keadaan semulajadi memberi makna yang pelbagai kepada dunia politik.

3. Machiavelli percaya bahawa politik adalah gelanggang yang penuh dengan unsur ketidakpastian yang mempamerkan cita-cita, penipuan dan keganasan sekaligus menjadikan ‘kebaikan bersama’ sebagai sesuatu yang tidak wujud sama sekali.

4. Locke pula mendakwa masyarakat madani atau masyarakat politik wujud hanya untuk melindungi hak-hak individu. Dengan kata lain, kedua-dua mereka menganggap kegiatan-kegiatan politik sebagai matlamat yang menghalalkan cara semata-mata.

5. Dengan itu, sebagaimana Machiavelli tunjukkan melalui pemikirannya, rasuah, cita-cita dan pemerintahan kuku besi adalah pemandangan yang biasa yang tidak seharusnya dihairankan atau dibimbangi.

6. Oleh itu, relevenkah untuk mencari siapa yang betul?

Monday, February 09, 2009

RETORIK

Retorik 1
Secara umum, retorik adalah cara kata-kata, suara dan tubuh digunakan untuk menyampaikan pemikiran dan perasaan. Rasional cara ini digunakan adalah dengan mempertimbang fakta bahawa manusia berkomunikasi mengikut keperluan dan kesesuaian konteks. Dalam tradisi keilmuan, hal ini dikaitkan dengan keupayaan hati manusia mentaakul (Inggeris: reasoning)sesuatu isu. Oleh itu, secara dasarnya ungkapan retorik menekankan pertalian antara amalan dan teori: siapa yang mengucapkan apa (isu) kepada sesiapa (subjek), bila (masa), di mana (tempat), bagaimana (cara) dan sejauh mana kesannya (akibat), dirangkum dengan kemas oleh ungkapan dan makna retorik.

Saya harap jawaban ringkas saya ini kepada soalan yang ditanyakan oleh Lyana memadai, buat sementara ini. Bagaimana pun, apabila Karpal Singh menyebut 'retorik' Anwar semalam, dia tidak maksudkan kepada makna retorik secara positif; dia lebih merujuk retorik Anwar secara negatif iaitu kata-kata manis yang tidak disusul dengan amalan yang baik dan betul. Makna retorik itu tidak berasal daripada penggunaan sebenar 'retorik'. Untuk maksud yang lebih holistik, bolehlah dirujuk banyak ensiklopedia mengenai hal itu.


Retorik 2
Membenarkan sesuatu tesis (kepercayaan sementara yang boleh dibuktikan betul atau salahnya pada bila-bila masa) adalah hak sesiapa yang sanggup dan berupaya menyelidik dan mengemukakan bukti. Sebagai contoh, jika ada pihak yang percaya bahawa keputusan Baginda Sultan Perak untuk tidak memperkenan DUN dibubarkan kerana mereka percaya ia tidak mengikut perlembagaan (negeri/persekutuan), maka itu adalah tafsiran mereka terhadap peruntukan undang-undang. Yang pasti, sistem politi dan politik negara ini terbina sedemikian rupa sejak lebih 600 tahun lampau (dengan memikirkan institusi Raja/Sultan) sedangkan Perlembagaan negara ini hanya berusia lebih sedikit daripada 51 tahun (dengan memikirkan 'kontrak sosial' di fikiran).

Jadi, sesiapa pun - bloggers dan pembaca blog - boleh terus beretorik atau boleh juga memilih untuk berterus terang sahaja, mengikut keupayaan analisis kritikal masing-masing; tidak ada sesiapa yang boleh mengatakan mereka betul atau orang lain salah. Hanya diri sendiri yang mungkin tahu keupayaan dan kualiti sendiri. Selebihnya tertakluk kepada tafsiran.

Saturday, February 07, 2009

TADBIR & URUS

Dari perspektif politik, Tanah Melayu ini unik kerana adanya institusi raja sebagai komponen utama. Itu asas sistem politi di sini. Oleh itu, aspek pentadbiran negara ini kelihatannya agak lain dengan amalan di tempat-tempat lain.

Negara perlu ditadbir, bukannya diurus. Istilah 'mentadbir' tidak sama dengan 'mengurus'. Mentadbir negara bukan semudah memulakan dan mengurus sebuah kilang - asal ada modal maka bolehlah memohon memulakan perniagaan secara rasmi. Mentadbir bukan hanya melibatkan kuasa politik meskipun kuasa politik itu diperlukan untuk dipercayakan bagi urusan-urusan pentadbiran.

Ambil contoh amalan pentadbiran Inggeris di Tanah Melayu. Implikasi langsung pentadbiran Inggeris di Tanah Melayu pada masa lampau boleh dilihat dengan mudah. Kawasan kampung dan luar bandar dibiarkan terpinggir. Penglibatan dalam kegiatan ekonomi dan politik disekat pada tahap minimum kerana Inggeris bimbang - berdasarkan pengalaman mereka menjajah India misalnya - menyebabkan rakyat bangkit setelah mendapat pendidikan dan pengalaman dari luar. Ini yang diakui misalnya oleh para pegawai Inggeris di Tanah Melayu yang mengatakan bahawa warga peribumi sewajarnya dikekalkan dengan kegiatan tani dan ketukangan tangan. Sedangkan untuk membangun sektor ekonomi, boleh dilaksanakan melalui penglibatan buruh-buruh asing dari China dan India.

Tilman (1964) memetik lapo­ran Pemangku Residen-General Negeri-Negeri Melayu Bersekutu :

"The general policy of the British advisers has been to interfere as little as possible with the manners, customs, methods and prejudices of the different nationalities composing the population of the States; to interfere not at all in matters touching the Mohammadan religion - the religion of the Malays; to attract capital - European, Chinese and other; to encourage the immigration of Chinese, Indian and other labourers; to assist the development of the mineral and agricultural resources of the States..."

Pentadbir Tanah Melayu pada waktu itu sedar dengan sepenuhnya potensi kacau-bilau yang akan berlaku sekiranya hal ehwal adat-istiadat dan resam Melayu disentuh walau dengan apa cara sekali pun. Semua golongan - khususnya partisan - faham mengenai hal ini melainkan mereka tidak mendalami susur-galur sejarah negara ini atau mungkin sengaja menutup mata mengenai fakta tersebut.

Bila institusi raja disanggah, malah - jika menurut media - disaman, yang disanggah dan disaman itu adalah sistem politi negara ini sendiri.

Friday, February 06, 2009

sembah derhaka

1. Melihat semula kontrak sosial yang dipersetujui antara Demang Lebar Daun dan Sang Sapurba, semua pihak yang bersetia pada waktu itu memahami tanggungjawab masing-masing: Raja atau pemerintah melindungi rakyat manakala rakyat pula bersetia untuk tidak mengingkari arahan dan perintah Raja. Semudah itu. Tidak ada sebarang klausa yang tersembunyi atau disorok di sana sini.

2. Bagaimana pun, hanya MB Perak sahaja yang sepatutnya memahami hal tersebut kerana yang lainnya - Speaker dan exco lain - tidak tahu apa-apa dan tidak terlibat apa-apa kerana dengan memikirkan persetiaan klasik itu di fikiran, soal pemerintahan dan pentadbiran alam ini - negara ini - hanya melibatkan keturunan Melayu sahaja (itulah sebabnya timbul soal 'ketuanan'). Yang lain itu hanya sekadar pengikut layaknya.

2. Jika media hari ini dipercayai dan disahkan kebenaran sumber berita mereka - seperti dalam isu MB Perak yang dikatakan menyampai sembah derhaka kerana enggan meletakkan jawatan - maka kesannya kepada hubungan antara MB serta exco dengan pemerintah (Raja) mudah sahaja dan sangat langsung (straight forward): semua yang menderhaka akan dihukum bunuh.

3. Soalnya, persetiaan Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun itu hanya disebut dalam teks klasik Melayu dan tidak dilembagakan sebagai undang-undang yang mentadbir sistem politi dan politik negara ini.

4. Hari ini - selepas 51 tahun merdeka & negara ini dilembagakan menurut Perlembagaan Persekutuan - senarionya tentu sahaja dianggap berubah.

5. Benarkah begitu? Apakah kesannya ke atas sistem politi negara ini yang sehingga hari ini pun masih diresap kuat dengan keramat amalan ke'Raja'an dan keSultan'an tradisional?

6. Mungkin semua orang terpaksa menunggu pemberitaan media selanjutnya.

Daulat Tuanku!

Thursday, February 05, 2009

dawn raid

Situasi dan senario politik Perak memberi bayangan bahawa percaturan strategi secara terbuka dalam sistem dan budaya politik tanah air bukanlah lagi sesuatu yang perlu disorok-sorok. Peralihan aliran seperti ini - yang menggambarkan unsur-unsur desakan, tekanan, manipulasi dan kepandaian memantul semula serangan ke arah penyerang - menjadikan politik semasa sebagai medan yang mempamerkan analogi 'si bodoh makanan si cerdik' serta disulam dengan kebenaran 'tak sungguh tak melata' dalam bentuk propaganda moden yang perlu ditafsir dengan cermat.
Permainan boomerang bukan sahaja mampu menghiburkan malah sebaliknya berkemungkinan menyusahkan si pengendali. Apa yang dibimbangi, ada kalanya dogma 'niat menghalalkan cara' mungkin membenarkan etos tradisi yang menyebut bahawa 'kuasa adalah korup; dan kuasa mutlak korup dengan sendirinya'. Sudahnya, 'kalah jadi abu, menang jadi arang'; 'lain dikendung, lain berciciran'.

Wednesday, February 04, 2009

Menteri Besar

3 YB PKR/Bebas serta seorang YB daripada DAP menyertai Barisan Nasional. Antara mereka termasuklah Datuk Nasaruddin Hashim (Bota) - yang sebelum ini mengisytiharkan keluar daripada UMNO - juga menyuarakan hasrat untuk kembali kepada UMNO. Ini menjadikan Barisan Nasional yang kini menguasai 31 kerusi berpeluang besar menubuhkan kerajaan di Negeri Perak.
Menteri Besar dijangka melepaskan jawatan untuk memberi laluan kepada bakal Menteri Besar baru yang akan diperkenan perlantikannya oleh Sultan Perak sedikit masa lagi.

Lagi Lagi Perak

Berita terbaru mengenai suasana politik di Perak semakin menarik. Kita tunggu perkembangan sehingga tengah malam ini.

Tuesday, February 03, 2009

Palestine oh Palestine

Sepetang bersama Duta Palestin serta K.K.Tan mendorong saya berfikir panjang mengenai isu sebenar yang membelenggu persoalan sejagat ini. Tatkala saya menyoal mengenai sentimen umum Negara-Negara Arab berhubung isu pencerobohan dan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh regim Zionis Israel itu, ternyata soalan itu tidak disenangi. Itu belum lagi menyentuh soal Hamas, yang pada sepanjang sesi wacana itu berlangsung nama Hamas tidak disebut walau sekali pun oleh His Excellency Mr Ambassador, Abdelazis Aboughosh.
K.K.Tan lebih senang mendekati persoalan itu dengan bercakap mengenai aspek kerajaan dan regim yang memerintah. Beliau percaya isu Palestine boleh diselesaikan dengan menumpukan perhatian kepada pertukaran regim yang memerintah Israel.
Begitulah yang saya perhatikan pada "Public Discourse: Palestinian Issue: The World is on Trial" yang dianjurkan oleh Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi petang tadi.

Monday, February 02, 2009

malam kecemerlangan

Majlis malam kecemerlangan pelajar akan diadakan pada malam hari ini. Saya jangka semua Presiden dan seorang wakil lagi akan menghadirkan diri. Harap maklum.

Friday, January 30, 2009

ya atau tidak

1. Lewat petang, saya ditanya oleh jurnalis dari sebuah media sama ada saya bersetuju dengan ura-ura untuk menggubal suatu undang-undang yang bertujuan untuk mengekang atau melarang seseorang ahli politik (wakil rakyat; Ahli Parlimen) daripada melompat parti.
2. Jawaban segera saya adalah "setuju atau tidak, sebenarnya tidak menjadi soal."
3. Bagaimanapun, secara umum saya berpandangan undang-undang yang akan digubal itu secara luarannya akan mengeraskan bau "demokrasi". Analoginya, jika ditambah taburan kemenyan ke dupa, akan lebih semerbaklah baunya manakala asapnya pula akan semakin berkepul-kepul.
4. Pada amalannya, seseorang ahli politik yang menjadi wakil rakyat/Ahli Parlimen mendapat kedudukan itu atas keputusan yang dipercayakan oleh pengundi. Dilihat dari sudut budaya politik, para pengundi memilih calon atas beberapa pertimbangan. Ini termasuklah pengaruh simbol-simbol yang boleh dilihat secara nyata oleh para pengundi, misalnya lambang parti.
5. Apabila wakil rakyat melompat parti, dia bukan sahaja melompat bersama-sama jawatan yang dipegangnya atas amanah parti asal, malah membawa bersama-samanya kepercayaan yang dipinjamkan kepadanya oleh para pengundi kawasan yang berkenaan untuk "diletakkan" di dalam lingkungan parti baru yang dianggotainya.
6. Dengan itu, bukan sahaja dia dilihat sudah mengkhianati parti asal bahkan turut mencemari kepercayaan yang diberikan kepadanya oleh pengundi sewaktu pilihanraya.
7. Sesetengah sarjana sains politik percaya bahawa sistem pemerintahan - sama ada demokrasi, autokrasi mahu pun laissez-faire - tidak pernah wujud dalam maksudnya secara 100%. Fleksibiliti terawang-awang antara ketiga-tiganya.
8. Dengan 'kepercayaan' itu di fikiran, cadangan untuk menggubal undang-undang sedemikian dlihat positif dari sudut semangat demokrasi.
9. Soalnya, dengan melihat situasi politik tanahair waktu ini, ada kemungkinan tindakan itu boleh menjadi 'boomerang' yang akan mencederakan si pelontarnya.
10.Keazaman politik sahaja tidak mencukupi. Ketahanan melawan sakit akibat hentaman boomerang yang pulang-balik mungkin menjadi penentu kesinambungan keazaman politik itu sendiri.

Thursday, January 29, 2009

hebahan


Persatuan Penggerak Pembangunan Komuniti Malaysia telah melancarkan "online petition" bagi mendesak Kerajaan Malaysia, Kerajaan-kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengambil langkah-langkah mengasingkan barangan jualan haram dan halal di pasaraya dan kedai runcit di negara ini.
Petisyen tersebut berbunyi:
Menginsafi bahawa Malaysia ialah sebuah negara berbilang agama dan bangsa;Menerima keperluan menghormati pegangan agama dan kepercayaan satu sama lain sebagai asas keharmonian; dan
Menyedari bahawa terdapat pasaraya dan kedai runcit yang mencampuradukkan pameran dan jualan barangan haram di sisi Islam, khususnya produk babi (contoh: kasut) dan arak, telah menimbulkan rasa was-was dan kurang senang pengguna Islam.
Maka kami, yang menandatangani petisyen ini menyokong Persatuan Penggerak Pembangunan Komuniti Malaysia bagi mendesak Kerajaan Malaysia, Kerajaan-kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mengambil langkah-langkah yang difikirkan wajar untuk:
(1) Menentukan barangan halal dan haram di pasaraya dan kedai runcit dipamerkan menggunakan rak, peti sejuk atau kotak secara berasingan.
(2) Memastikan label yang jelas dan terang bagi menandakan barangan haram yang dipamerkan di pasaraya dan kedai runcit.
(3) Mensyaratkan pengendalian jualan barangan haram, terutama sekali produk babi dan arak, dilakukan oleh kakitangan bukan Islam.
Terima kasih.
Oleh itu, saya menyeru saudara/i untuk menyokong petisyen ini. Sila tandatangan sokongan di http://www.petitiononline.com/macom/petition.html
Sekiranya kita dapat mengumpulkan sejumlah tandatangan yang cukup besar, Persatuan Penggerak Pembangunan Komuniti Malaysia akan mencetak dan menghantar petisyen ini kepada Kerajaan Malaysia, semua Kerajaan-kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negara ini.
Kita berharap dengan adanya petisyen ini, pasaraya dan kedai runcit akan mengasingkan pameran dan jualan barangan halal dan haram, sekaligus menghilangkan rasa was-was di kalangan pengguna Islam.
Saya juga memohon semua bloggers untuk membuat hebahan mengenai petisyen ini di blog masing-masing.
Terima kasih atas sokongan anda. Sila tandangan petisyen di http://www.petitiononline.com/macom/petition.html

Wednesday, January 28, 2009

puteri, putera & pemuda

1. Sekiranya cadangan Tan Sri Ahmad Rithaudeen untuk membubarkan puteri dan putera didorong oleh keresahan UMNO mengenai politik wang menjelang musim pemilihan nanti, saya fikir cadangan tersebut sekiranya dilaksanakan, tidak akan mencapai niat asal. Politik wang adalah gejala, penerang, atau penunjuk kepada masalah yang belum dikenal pasti dengan yakin. Masalah sebenarnya mungkin di mana-mana, terang atau tersembunyi.
2. Puteri & putera adalah institusi/organisasi. Sama ada wujud pertalian 'sebab-akibat' antara kewujudan kedua-dua organisasi itu dengan politik wang, hanya penyiasatan/perenungan yang terperinci sahaja yang akan dapat menghasilkan analisis akhir; sesudah itu barulah boleh dibuat kesimpulan yang itu pun masih belum boleh dikatakan muktamad.
3. Politik wang adalah salah satu daripada gejala-gejala negatif yang lahir daripada budaya politik. Ada banyak komponen yang perlu difahami fenomena tiap satunya. Adakah ia berkaitan komponen nilai dan kepercayaan? Mungkin jugakah ia ada hubungan dengan komponen lain yang mendasari budaya politik semasa, seperti sistem-sistem kecil di dalam budaya politik itu sendiri?
4. Oleh kerana tujuan puteri ditubuhkan adalah untuk menarik minat gadis-gadis untuk menghargai politik - sepertimana dikatakan oleh Ketua Puteri sendiri - maka struktur dan sistem puteri itu sendiri yang harus diperbetulkan. Sebagai contoh, neutralkan sebarang unsur pertandingan yang melibatkan puteri. Dengan kata lain, jadikan puteri bersifat seperti NGO yang mengkhusus kepada sesuatu tujuan dengan nyata.
5. Begitu juga dengan putera. Neutralkan sebarang unsur pertandingan. Biarkan mereka yang berminat dengan politik meneruskan kecenderungan mereka tanpa melibatkan unsur-unsur yang memancarkan potensi kuasa dan pengaruh. Sanggupkah mereka aktif dengan niat yang setulus itu? Tanpa dikaburi oleh cahaya potensi kuasa dan pengaruh, akan kekalkah mereka yang tidak berniat tulen?
6. Jika saranan Tan Sri Ahmad Rithaudeen itu diterima, ia merupakan tindakan yang drastik dan berani. Dan saya percaya ia tentunya risiko yang dijangkakan (calculated risk).
7. Berani mencuba? Hanya pemimpin yang bersifat transformasi mungkin akan mengatakan 'ya, kenapa tidak?'

Tuesday, January 27, 2009

perak, lagi

1. Beberapa blogger memohon saya mengulas lanjut mengenai isu ini. Mereka - antaranya Niezam, Kaka, Yobster dan Randi - berpandangan isu ini menyimpan terlalu banyak persoalan yang tidak mahu dijawab oleh pemimpin-pemimpin UMNO.
2. Saya tidak mempunyai maklumat lebih daripada yang telah dipaparkan itu. Khabarnya, perjumpaan malam tadi (Isnin 26 Januari 2009 yang berakhir pada pukul 11 malam) umpamanya - yang diadakan di kediaman pemimpin besar UMNO - tidak diliputi oleh banyak media pun selain TV9 dan Utusan.
3. Dan khabarnya juga, gerombolan UMNO Perak berada di Melaka pagi tadi atas misi yang hanya mereka ketahui.
3. Saya cuma boleh membuat spekulasi sebanyak maklumat yang sekelumit itu sahaja.

perak 2

1. Kes Nasaruddin sudah pasti mengocak putaran kolam politik UMNO/BN sedikit sebanyak. Perkumpulan dan perbincangan panjang yang berlaku di rumah pemimpin besar UMNO baru-baru ini menjelaskan hal itu dengan nyata.
2. Kenapa dalam kancah politik domestik hal ini sangat perlu dianggap penting? Banyak kemungkinannya; antaranya adalah kebimbangan terhadap kemungkinan ada ahli-ahli politik yang akan mudah dibeli oleh seteru politik.
3. Apa yang lebih membimbangkan adalah kemungkinan pembelian sebegitu boleh sampai menjejaskan kedudukan parti komponen teras yang melaksanakan tugas-tugas kerajaan semasa.
4. Kenapa hal seperti itu boleh berlaku? Sekadar spekulasi, antara kemungkinan puncanya termasuklah ketidakupayaan ahli-ahli politik mengekang kemahuan atau keinginan materialistik. Keinginan memiliki kelebihan itu memerlukan kuasa dan pengaruh. Kuasa dan pengaruh pula memerlukan teduhan tuan-tuan politik. Memburukkan situasi, ahli-ahli politik yang berada dalam keadaan terdesak - terjerat oleh rantaian dan pasung ketidakupayaan kewangan umpamanya - menjadikan permainan jual-beli semakin mudah.
5. Saya amat berharap hal ini tidak berlaku, lebih-lebih lagi di Perak, yang sudah sedia tenat dan nazak dalam meneruskan keharmonian suasana alam politi dan sistem politik Melayu.

Saturday, January 17, 2009

Sedih & Pedih

1
Perak adalah antara negeri-negeri yang menyimpan catatan sejarah penting Tanah Melayu. Perjanjian Pangkor 1874 serta pembunuhan pegawai Inggeris di Pasir Salak merupakan antara dua catatan-catatan penting yang menempatkan nama Perak dalam sejarah bermakna Tanah Melayu.
2
Tindakan Menteri Besar Perak merampas tanah-tanah yang dipinjamkan kepada penduduk-penduduk yang dulunya berpotensi menjadi talibarut Komunis sewaktu Rancangan Briggs dan pada hari ini menjadikan tanah-tanah itu milik kekal cucu cicit merupakan kesalahan paling besar pentadbiran polisi dalam alam dan politi negara ini.
3
Menteri Besar perlu membaca lebih banyak catatan-catatan sejarah sejarah; tidak perlu baca buku-buku politik tulisan orang-orang politik; cukup dengan membaca laporan-laporan rasmi pegawai-pegawai tinggi British di Tanah Melayu dahulu.
4
Jika Menteri Besar tidak berasa sedih dan pedih, bagaimana dia akan mampu menghargai sejarah.

sememangnya politikal

1
Umumnya pendidikan adalah bersifat politikal. Kenapa saya katakan begitu? Sejak zaman penjajahan, kebanyakan keputusan, dasar pemerintahan, dan pentadbiran negara yang dibuat sentiasa sahaja dibayangi oleh hasrat-hasrat politik penjajah yang memusatkan perhatian kepada usaha-usaha untuk menjana keuntungan kepada penjajah.
2
Politik menjadi perkiraan penting dalam banyak hal. Keadaan sebegini tidaklah perlu dihairankan atau dirungsingkan sangat kerana petunjuknya adalah jelas. Politik ‘pecah-perintah’ yang digunakan pihak Inggeris di Tanah Melayu dengan sendirinya menjelaskan pada awalnya kenapa pendidikan di negara ini sangat politikal sifatnya.

3
Apabila tamadun manusia berubah – terutamanya lewat Revolusi Industri di Eropah – pendidikan pun berubah. Daripada berasaskan pertanian sepenuhnya, pendidikan kemudiannya beralih tahap dan arah kepada usaha-usaha untuk memajukan dan membangunkan sektor industri. Dan sebagai melengkapi usaha-usaha untuk mengindustrikan pertanian, maka penemuan-penemuan baru perlu dibuat. Penerokaan kawasan-kawasan baru untuk mendapat sumber-sumber bahan mentah yang baru seperti timah juga perlu dibuat tanpa bertangguh-tangguh.

4
Penjajah melihat semua peristiwa dan kejadian yang berlaku pada sepanjang tempoh penjajahan mereka dengan teliti. Perjanjian Pangkor – yang menyaksikan bagaimana Inggeris "merekabentuk" corak pemerintahan Perak melalui percaturan politik mereka – serta beberapa perjanjian lain yang mengehadkan kebanyakan kuasa dan autoriti pemimpin-pemimpin Melayu telah, dengan cermat, memberi rupa dan susun atur yang agak istimewa kepada pendidikan negara sehingga hari ini.

5
Atas alasan-alasan perpaduan dan untuk mengimbangi kedudukan dan kepentingan etnik-etnik lain di Tanah Melayu – Cina dan India khususnya - pendidikan di negara ini diasaskan dengan mengambil kira apa yang dikatakan sebagai sensitiviti budaya, kepercayaan dan agama.
6
Akibatnya, orang-orang Melayu bukan sahaja terus dikekalkan, malah digalakkan untuk meneruskan sistem pengajian pondok mereka, manakala bangsa-bangsa lain dibenarkan terus dengan sistem pendidikan dan bahasa vernakular mereka, sebahagiannya atas nama perpaduan dan perimbangan sosial.

Adakah pendidikan peribumi – yakni Melayu – itu lemah dan tidak berupaya?

7
Tidak. Tradisi keilmuan orang-orang Melayu sangat kuat dan berwibawa. Bahasa Melayu mempunyai sistem ejaan yang tersendiri yang sekaligus memulakan tradisi penulisan berbahasa. Dengan kata lain, ia tidak lagi menggunakan bentuk-bentuk inkripsi dan sebagainya. Hikayat Raja Pasai, Sejarah Melayu (atau Sulalatus Salatin), Hikayat Hang Tuah, Ihya Ulum ad-Din, Misa Melayu dan sebagainya semuanya merupakan sumber pendidikan ajaib yang dihasilkan oleh tradisi keilmuan bangsa Melayu pada era-era tertentu.

8
Bagaimanapun, ‘keajaiban’ pendidikan tradisi Melayu itu ternyata dengan mudah dilenturkan melalui dasar-dasar pemerintahan Inggeris yang tersusun dan beragenda. Inggeris tidak pernah bercadang untuk melahirkan inteligensia dan tokoh-tokoh pembaharuan yang sebelum ini – sejak 1920an – sangat berhasil membakar semangat masyarakat untuk berubah dan memajukan diri.

9
Ini terbukti melalui beberapa kenyataan pemimpin Inggeris yang menyentuh mengenai keadaan pendidikan orang-orang Melayu pada waktu itu. O.T. Dussek misalnya, pernah mengkritik pihak pemerintah Inggeris atas kegagalan mereka untuk membawa pendidikan yang lebih bermakna di Tanah Melayu.

10
Pada penghujung 1930an, seorang penasihat British di Kelantan, A.S Haynes, pernah dilaporkan menyebut bahawa “pendidikan Inggeris tidaklah kondusif bagi kebajikan sebahagian besar orang-orang di negeri tersebut (Kelantan)”.

11
Mungkin atas sebab itulah kelihatannya pendidikan di kalangan orang Melayu khasnya dibataskan oleh pihak Inggeris dengan hanya sekadar pendidikan yang difikirkan tidak mengatasi kehebatan pendidikan Inggeris. Oleh itu, pendidikan pada masa penjajahan lebih ditumpukan kepada bidang-bidang yang dikatakan oleh pihak Inggeris sebagai lebih “praktikal” seperti kemahiran berkebun, kraftangan dan sebagainya.

12
Dalam buku berjudul Malay Society: Transformation & Democratisation (1995: 159. Pelanduk Publications), Khoo Kay Kim menyebutkan betapa pada masa pemerintahan Inggeris, terdapat unsur-unsur kebimbangan di pihak Inggeris bahawa jika pendidikan moden dibawa masuk ke dalam sistem tempatan di Tanah Melayu, ada kemungkinan akan timbulnya tekanan yang menyukarkan pihak Inggeris untuk menanganinya.

13
Kebimbangan itu terbukti kemudiannya apabila sejak awal abad ke duapuluh, banyak pembaharuan dan tentangan ditimbulkan oleh puak-puak konservatif Melayu yang terdiri daripada pelajar-pelajar atau bekas-bekas pelajar sekolah vernakular Melayu dan juga institusi pondok. Sebaliknya, mereka yang berpendidikan Inggeris – yang kebanyakannya berkhidmat di sektor awam – tidak mempunyai ruang untuk ikut aktif dalam sebarang pergerakan anti-kerajaan.

Ini sedikit catatan ringkas sejarah awal pendidikan zaman British di Tanah Melayu yang sempat dirujuk.

1875 - Sekolah Melayu pertama di Kelang
1878 - Sekolah Melayu pertama di Perak
1889 - 9 buah sekolah lain didirikan dengan jumlah pelajar 375 orang
1892 - Sekolah vernakular Melayu pertama dibina di Canglun, Kedah dan kemudian sebuah lagi dibina di Kulim pada 1896 dan sebuah di Alor Setar pada 1897
1893 - 58 buah sekolah lagi didirikan di Perak – kebanyakannya di Utara Perak seperti Larut (17); Kuala Kangsar (9); Krian (11); Selama (5);
1894 - Di Perak, keseluruhannya berjumlah 75 buah sekolah
1899 - 24 lagi buah sekolah didirikan dengan bilangan pelajar 1,334 orang
1902 - Keseluruhannya 40 buah sekolah di Selangor dengan jumlah pelajar 1,652 orang
1906 - Sekolah pondok Madrasatul Al-Hamidiah diasaskan di Alor Setar
1910 - Pondok Paya, di Kelantan, diasaskan di bawah pimpinan Tok Kenali
1915 - Pondok Bangkak di Kelantan di asaskan, juga oleh Tok Kenali
1917 - Majlis Agama & Adat Istiadat Negeri Kelantan mengasaskan Nadrasah Muhammadiah. Jumlah pelajar: 310 orang. Angka ini bertambah menjadi 466 pada tahun 1918.
1920an - Sekolah-sekolah rakyat mula dibina melibatkan penyertaan masyarakat tempatan. Sehingga 1934, terdapat 24 sekolah rakyat di Kedah dengan jumlah pelajar 1,742 orang.

Friday, January 02, 2009

Negara & Antarabangsa

1
Sehingga kini, jenayah perang yang dilancarkan oleh Israel masih berterusan ke atas Palestin yang selamanya diduga malang yang tidak berkesudahan. Kecaman yang dianjurkan oleh Liga Arab dengan semudah itu disenyapkan oleh Amerika Syarikat melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Terbaru, Tun Mahathir Mohamad mencadangkan dunia mengambil tindakan awal – kelihatan mudah dan ringan namun tidak pernah dapat diupayakan – iaitu dengan cara-cara antara lainnya, menghentikan pembelian barangan buatan Israel; menghentikan sebarang urusan kenegaraan dengan Israel; mengehadkan penggunaan Dollar Amerika Syarikat; mengelakkan pembelian bon-bon Amerika Syarikat dan beberapa tindakan sampingan yang lain. Hegemoni Amerika dan Britain merupakan rantai yang membelenggu hubungan antarabangsa selama ini; lebih-lebih lagi sejak Rusia kehilangan suara di peringkat antarabangsa. China dan Jepun memilih untuk berdiam diri menjadikan situasi semakin sukar dijangka. Amalan kuasa-kuasa besar yang mencengkam wibawa negara-negara lain di dunia menyebabkan ketidakimbangan ini menyusahkan manusia di mana-mana pun.

2
Penggunaan blog-blog yang dianggap melangkaui batas – khususnya yang menyentuh sensitiviti kaum – sememangnya agak leluasa. Keterbukaan ruang siber yang memberi kebebasan dari banyak sudut menjadikan para penulis blog berani untuk mengupas isu-isu yang disifatkan mereka sebagai ‘hak semulajadi’ individu merdeka. Mereka ini – yang kebanyakannya daripada generasi y? – melihat kebebasan bercakap dan menyebarkan pandangan peribadi mereka sebagai hak yang tidak boleh disentuh atau digugat oleh sesiapa pun hatta kerajaan sendiri. Inilah nilai-nilai yang selama ini diresapkan dari Barat hasil daripada proses-proses modenisasi, pembaratan, dan pembangunan menurut acuan Barat. Barat – yang sudah terlebih awal menempuh pengalaman-pengalaman itu semua terutamanya melalui amalan kolonialisme dan industrialisasi/kapitalisme – sudah arif menjangka apa yang akan berlaku kepada negara-negara lain. Kesimpulannya, kebanyakkannya pseudo semata-mata.

3
Isu hakmilik tanah – terutamanya ekoran keputusan dan tindakan Kerajaan Negeri Perak – terang-terang menjadikan hubungan dari segi kuasa antara dua peringkat kerajaan di dalam sistem politi negara ini perlu diputuskan melalui kefahaman mendalam Perlembagaan dan semangat sistem Persekutuan. Saya menjangka hal-hal seperti ini pada penghujungnya akan dimuktamadkan melalui tindakan balas-membalas yang akhirnya akan membangkitkan kebencian rakyat dan menyemarakkan api kemarahan yang berbahaya besar. Sejarah lampau negara ini sudah dicatatkan dengan jelas dan nyata: isu penguasaan dan hakmilik tanah bukanlah isu kecil yang boleh diputuskan sewenang-wenangnya oleh ahli politik seperti seorang Menteri Besar. Ia membabitkan kesan-kesan yang lebih berbahaya dan melukakan sehingga sejauh menjejaskan kewibawaan seorang Raja atau Sultan. Itukah barangkali yang ditunggu-tunggu oleh pelaku-pelaku politik buta sejarah dalam sistem pentadbiran kerajaan negeri dalam sistem persekutuan yang unik ini?