Monday, April 16, 2012

KERAJAAN, PENTADBIRAN & PEMBANGUNAN

Bila Effa (dan rakan-rakan) bertanya mengenai isu tersebut, agak susah juga untuk memberi komen. Namun, setakat yang dipaparkan di bawah ini, mungkin dapat memberi asas kepada permulaan yang seimbang. Selamat membaca dan berfikir. (Imej: http://cdn7.fotosearch.com/bthumb/FSD/FSD315/x17521167.jpg)

Bukan mudah untuk menyimpulkan bahawa pembangunan adalah suatu dasar serta program yang dilaksanakan oleh kerajaan semata-mata.
Meskipun secara teorinya demikian, - kerana pembangunan juga ditakrif sebagai suatu projek pemajuan tanah – namun pada amalannya, ungkapan ‘pembangunan’ tidak semestinya berakhir dengan kesejahteraan bagi semua orang. Ini bergantung sebahagiannya kepada soal-soal tanggapan dan konteks tertentu. Ada banyak pertimbangan yang perlu diteliti. Satu daripada pertimbangan-pertimbangan tersebut adalah berkaitan dengan perubahan. Pembangunan mempunyai kaitan langsung dengan perubahan. Perubahan pula selalunya meninggalkan kesan dan makna yang berlainan sama ada kepada orang mahupun benda yang berubah itu. Bagi pemaju perumahan, pembangunan yang dilihatnya mungkin lebih berpaksikan keuntungan wang-ringgit. Sebagai contoh, bagi kerajaan, yakni Kerajaan Negeri dan Tempatan (dirujuk sebagai pihak berkuasa tempatan, atau PBT) dari satu segi pembangunan mungkin ertinya mewujudkan lebih banyak lagi rumah-rumah baru untuk menampung keperluan rakyat. Itu antara tugas mana-mana Kerajaan Tempatan.
Pada masa yang sama meskipun tindakan menambah bilangan rumah untuk penduduk itu dianggap sebagai pembangunan, namun pada anggapan sebahagian penduduk pula, iaitu mereka yang bukannya sebagai pemaju, bukan sebagai kerajaan, dan bukan juga sebagai bakal pembeli rumah di sesebuah kawasan terlibat, isu berkenaan mungkin dilihat negatif kerana mengakibatkan kecemaran alam dan hakisan tanah. Masyarakat mengaitkan keadaan tersebut dengan unsur-unsur tidak cekap dan tidak bertanggungjawab. Ini diburukkan lagi oleh ketidakupayaan pihak pentadbir pembangunan sendiri untuk memberikan penjelasan dan maklumat yang terperinci mengenai sesuatu isu yang dibangkitkan masyarakat. Timbul soalan seperti apa sebenarnya tugas pentadbir pembangunan sekiranya pembangunan tidak dilihat oleh sekelompok rakyat sebagai sesuatu yang baik dan bermakna.
Secara umum, ada beberapa cara untuk memahami apa yang boleh dikatakan sebagai aliran pelan pembangunan negara. Antaranya, termasuklah meneliti dan menganalisis laporan bajet tahunan negara; meneliti dasar-dasar awam melalui pelan-pelan pembangunan khusus yang dilaksanakan kerajaan; mengikuti kenyataan-kenyataan pemimpin politik dari semasa ke semasa terutamanya dalam perdebatan di Parlimen dan Dewan Negara; meneliti kes-kes yang berkaitan dengan pembangunan dan pemajuan tanah di peringkat negeri dan tempatan; dan meneliti dan mengikuti secara berterusan menifesto yang diisytiharkan parti-parti politik sewaktu musim pilihanraya.
Kedua, meskipun sudah beberapa abad melalui proses kajian, penilaian-semula dan pengubahsuaian teori dan pemikiran, namun persepsi dan kefahaman masyarakat mengenai pembangunan masih juga tidak menemui pendekatan dan takrifan yang seragam yang dipersetujui bersama. Sesuatu isu akan ditanggap menurut beberapa pendekatan oleh pihak-pihak yang terlibat. Oleh itu, sebarang rujukan dan perbincangan mengenai pembangunan sentiasa terbuka kepada kepelbagaian tafsiran.
Ketiga, atas sifatnya yang normatif, tema pembangunan menarik perhatian kumpulan sasaran yang berbeza-beza, bergantung kepada isu-isu yang diberikan keutamaan. Oleh itu, seseorang yang berlatarbelakangkan ekonomi barangkali lebih selesa untuk mengikuti tema pembangunan menurut dimensi pertumbuhan ekonomi manakala mereka yang cenderung kepada aliran politik atau sains sosial akan mendapatinya berguna untuk mengikuti tema pembangunan yang lebih generik, atau umum dan menyeluruh.
Ungkapan pembangunan bukanlah sesuatu yang baru di negara ini. Rancangan Pembangunan Am – rancangan khusus yang mensasarkan kesejahteraan rakyat dari segi penyediaan kemudahan asas yang dilancarkan pada tahun 1956 – merupakan pelan pembangunan rasmi yang memberikan panduan awal hala tuju jentera pentadbiran pembangunan negara ini ke arah susunatur rakyat dan infrastruktur negara. Setelah hampir setengah dekad mencapai kemerdekaan, isu-isu pembangunan terus menjadi urusan utama jentera pentadbiran kerajaan. Apa yang agak signifikan untuk diperhatikan adalah kenyataan bahawa tumpuan utama pembangunan adalah untuk mencetuskan atau menghasilkan perubahan.
Perubahan amat diperlukan atas beberapa alasan. Negara ini unik. Struktur masyarakat negara ini yang berbilang-bilang kaum memerlukan cara dan pendekatan pemerintahan yang tersendiri. Sebagai contoh, keupayaan pemimpin-pemimpin politik negara ini untuk mengimbangi sentimen rakyat pelbagai kaum dalam sebarang isu, sentiasa menjadi pertimbangan utama.
Meskipun penjajah British mengamalkan polisi pemerintahan yang pro-Melayu, atau setidak-tidaknya mengakui hak penduduk Melayu sebagai peribumi apabila sebahagian besar kuasa-kuasa Sultan dan urusan-urusan adat istiadat dan agama tidak diceroboh, namun polisi pengurusan sumber manusia British yang menyebabkan kebanjiran imigran Cina dan India di Tanah Melayu ternyata memberi rupa dan akibat yang unik kepada kesedaran politik tempatan dan struktur sosial masyarakat negara ini. Bagaimanapun, ini tidaklah bermakna tidak ada percubaan di pihak pemerintah British untuk mencampuri urusan-urusan kesultanan, adat-istiadat dan agama penduduk-penduduk Melayu. Tindakan Birch, Residen British di Perak dalam soal percukaian dan perhambaan serta percubaan British memperkenal pemerintahan Malayan Union di Tanah Melayu merupakan antara contoh-contoh penting mengenai niat dan strategi sebenar British di Tanah Melayu.
Hal seperti ini sangatlah signifikan kepada proses pembangunan negara. Ia memerlukan keazaman dan komitmen politik yang tertinggi. Selain itu, sebagai sebuah tanah jajahan yang dianggap agak lewat menerima kemerdekaan, Tanah Melayu secara relatifnya merupakan sebuah negara baru berbanding koloni-koloni penjajah yang lain seperti India dan Indonesia. Dengan itu, kejutan apabila memperoleh peluang untuk mempunyai kerajaan sendiri buat pertama kalinya, dilihat sebagai suatu tanggungjawab berat yang meresahkan pemimpin-pemimpin politik.
Dari sudut pemerintahan negara, persoalan mengenai pendekatan terbaik yang harus diambil dalam memantapkan negara sentiasa menjadi agenda dasar. Sebagai contoh, dalam usaha untuk memperkukuh kedudukan negara yang baru merdeka, kerajaan merangka dan mengusulkan cadangan untuk mengasaskan satu penyatuan yang menggabungkan Malaya, Singapura, Borneo, Brunei dan Sarawak terutamanya atas tujuan-tujuan kerjasama ekonomi dan politik. Menurut Perdana Menteri (pada masa itu Malaysia dirujuk sebagai Persekutuan),

“Malaya today as a nation realises that she cannot stand alone and should look ahead to this objective… We who are here have only our little Malaya. The Chinese, Malays and others have to make the best of our home here”

Meskipun Brunei membuat keputusan untuk tidak menyertai penyatuan tersebut (dan diikuti Singapura dua tahun kemudiannya), pada 16 September 1963, pengisytiharan Malaysia ditandatangani secara rasmi oleh Perdana Menteri Malaysia, Tunku Abdul Rahman. Pada masa yang sama, jentera pentadbiran kerajaan terpaksa pula berhadapan dengan ancaman Indonesia yang melancarkan konfrontasi terhadap Malaysia. Konfrontasi tersebut, yang berlangsung selama tiga tahun, kemudiannya berakhir ekoran perjanjian damai yang berlangsung di Bangkok, Thailand pada 2 jun 1966.

Thursday, April 05, 2012

BERSAMA NAIB CANSELOR

Perjumpaan antara staf akademik FSPPP dan Naib Canselor pada hari Rabu, 4 April baru-baru ini merupakan sesi bual-mesra pertama berpeluang diadakan sejak 2010. Pada pertemuan yang berlangsung selama 2 jam pada petang itu, beberapa isu dibualkan antara kedua-dua pihak. Antara lain, isu-isu yang dibincangkan termasuklah perancangan strategik fakulti, komitmen dan profesionalisme, serta isu-isu berkaitan perkhidmatan tenaga akademik. 

Keseluruhannya secara umum, pertemuan tersebut berlangsung dalam suasana yang sangat mesra dan konstruktif. Beberapa soalan yang diutarakan para pensyarah mendapat maklumbalas yang segera, tepat dan barangkali memuaskan hati. Merentas lanskap ilmu ibarat membilang titis-titis air hujan; hitungannya tidak akan pernah konklusif.