Friday, September 25, 2009

SELAMAT ULANG TAHUN KE 4O, OIC!

1. Pada tahun 1969, OIC bermula dengan 22 buah negara. Kini bilangan ahlinya adalah kira-kira 57 negara. Republic of Cote d’ Ivoire merupakan negara terbaru yang menjadi ahli OIC, iaitu pada tahun 2001. Malaysia merupakan salah sebuah negara ahli pengasas OIC pada tahun 1969.

2. Pertubuhan ini menjadi harapan ramai untuk terus memperjuang pembebasan Palestin dan al Quds, tragedi Masjid Al-Aqsa, menggalakan kerjasama ekonomi, perdagangan dan kebudayaan di kalangan negara ahli.
3. OIC merupakan organisasi antara kerajaan. Ia ditubuhkan pada 25 September 1969 bersamaan 12 Rejab tahun Hijrah 1389. Penubuhan ini telah mengadakan mesyuarat pertamanya di ibukota negara Maghribi, Rabat di mana pepimpin-pemimpin Islam sedunia telah dijemput untuk menghadiri mesyuarat tersebut.

4. Satu daripada beberapa faktor yang menyebabkan penubuhan OIC adalah pergolakan keganasan yang dicetuskan oleh pihak Zionis pada 21 Ogos 1969. Zionis telah menyerang dan menawan Masjid Al Aqsa di Baitul Maqdis. Pencerobohan dan serangan puak Zionist ini telah ditentang dan dikutuk oleh seluruh masyarakat dunia pada ketika itu.

5. Enam bulan selepas mesyuarat bersejarah yang pertama itu diadakan, pada Mac 1970 bersamaan dengan bulan Muharam tahun hijrah 1390, Persidangan Pertama Menteri-Menteri Luar telah diadakan. Persidangan tersebut telah sebulat suara bersetuju untuk menubuhkan ibu pejabat sekretariat bagi memastikan perhubungan antara negara ahli dapat dipererat serta bertanggungjawab menyelaraskan semua tindakan yang telah diputuskan oleh jemaah Menteri-Menteri Luar negara-negara ahli.

6. Persidangan Menteri-Menteri Luar juga telah memilih Jeddah sebagai ibu pejabat OIC sehinggalah Baitulmaqdis dapat dibebaskan daripada pencerobohan dan pendudukan Israel dan ia akan menjadi ibu pejabat yang tetap kelak.

PIAGAM

7. Pada bulan Februari 1972 bersamaan dengan bulan Muharam tahun hijrah 1392, Persidangan Menteri-Menteri Luar yang bermesyuarat di Rabat, Maghribi telah bersetuju untuk menerima Piagam Pertubuhan Persidangan Islam. Piagam ini merupakan instrumen penting kerana ia meletakan objektif, halatuju dan cara bagaimana OIC beroperasi sebagai sebuah pertubuhan antara kerajaan.

8. Piagam OIC ini menyatakan dengan jelas tujuan utama OIC ditubuhkan. Pertamanya, menyatupadukan umat Islam di kalangan negara-negara ahli. Keduanya, bekerjasama di bidang politik, ekonomi, sosial, kebudayaan dan saintifik. Ketiga, memperjuangkan masyarakat muslim untuk menjaga maruah, kemerdekaan dan hak-hak negara. Keempat, menyelaras tindakan untuk melindungi tempat-tempat suci serta menyokong perjuangan rakyat Palestin serta membantu mereka dalam mendapatkan semula hak serta membebaskan wilayah mereka yang telah diduduki oleh penceroboh dan perampas. Kelima, Piagam OIC juga menetapkan tujuan pertubuhan tersebut adalah untuk berusaha ke arah melenyapkan diskriminasi kaum serta semua bentuk penjajahan.

9. Piagam ini juga berlandaskan beberapa prinsip utama. Antara prinsip-prinsip tersebut adalah:
(1) Kesamarataan sepenuhnya kepada semua negara-negara ahli;
(2) Mematuhi hak untuk menentukan diri sendiri dan tidak campurtangan dalam urusan dalaman negara-negara ahli;
(3)Menyelesaikan sebarang pertelingkahan antara negara-negara ahli seperti perundingan, perantaraan, konsiliasi dan timbangtara.Berjanji tidak menggunakan kekerasan ketenteraan terhadap perpaduan, kedaulatan wilayah dan kebebasan politik mana-mana negara ahli.

Apa khabar OIC hari ini?

Saturday, September 19, 2009

EID MUBARAQ!

Salam.
1. Dahulu, kami mengisi malam raya dengan aktiviti luar. Dari surau, kami mengunjungi sebanyak mungkin rumah dalam kejiranan, bertakbir dan mengisi perut.

2. Sesudah itu, kami berkumpul di tanah-tanah lapang, biasanya di atas bukit berhampiran - seperti di kawasan kediaman kami sewaktu kecil dahulu, berhampiran Muzium Perak di Taiping - dengan bermain meriam kabait dan meriam buluh. Seingat kami, tidak pernah berlaku kemalangan kepada salah seorang daripada kami sekali pun. Kalau ada pun kemalangan, akibat daripada terjatuh ke dalam longkang besar, lalu luka pada dahi salah seorang rakan kami rawati dengan menumpukkan campuran kopi dan gula (saya tidak pasti daripada mana kami pelajari rawatan seumpama itu; pelik tetapi rasanya berkesan).

3. Kemudian, kami mencari dan menangkap reriang dan kelip-dikelip beramai-ramai. Itu hiburan. Kami gunakan tanglung yang diperbuat sendiri menggunakan buluh/bertam, plastik berwarna dan lilin kecil sebagai sumber cahaya sewaktu berjalan dalam gelap.

4. Kemuncaknya, kami mengelilingi unggun api yang digunakan untuk membakar lemang semalaman, sambil memusing-musingkan lemang-lemang yang disandar bersusun-susun di palang besi; kemudian menghentak-hentak lemang untuk memampatkannya.

5. Malam ini, sesudah kurang lebih 30 tahun, kami menyaksikan malam raya yang sangat berlainan: kedai-kedai terang benderang sehingga lewat malam; gerai-gerai menjual lemang ketupat beroperasi sehingga dinihari; stesen-stesen TV menyiarkan pelbagai program tanpa tidur.

6. Selamat hari raya idilfitri kepada semua. Maaf zahir dan batin.