Tuesday, April 08, 2008

Saat Yang Semakin Menghimpit

Kasturi adalah seorang sahabat lama. Ketika zaman persekolahan rendah dan menengah, di kalangan rakan-rakan, Kasturi sangat terkenal atas sifat-sifatnya yang sentiasa menyenangkan. Dia seorang yang sangat baik hati, peramah, sentiasa membantu orang lain walau pun dirinya mungkin akan mendapat kesusahan semata-mata atas naluri suka membantu orang lain. Namun Kasturi bukanlah datang dari sebuah keluarga yang daif dan miskin. Keluarganya berkemampuan, dikira dari sudut pendapatan yang dibawa pulang oleh bapanya ke rumah. Apa yang menarik, Kasturi tidak pula dikenali sebagai sahabat yang sombong kerana berharta.

Kasturi seorang yang aktif. Rasanya, tidak ada satu pun permainan dan sukan yang tidak dicubanya. Rakan-rakan Kasturi sentiasa bertambah dari sehari ke sehari.

Dari segi pelajaran akademik, Kasturi sememangnya seseorang yang sangat cerdas dan pintar. Dia sentiasa memperoleh kedudukan teratas. Kemudian, Kasturi berpeluang melanjutkan pelajaran ke universiti. Atas kehendak Ilahi, Kasturi dianugerahi kerjaya dan kelebihan material yang serba menyenangkan. Kasturi kini orang berjaya. Pada kebanyakan orang, Kasturi mengkhabarkan mengenai pelbagai aspek mengenai bagaimana mahu berjaya dalam hidup. Kasturi sentiasa mengaitkan kejayaan dan kebahagiaan hidup dengan menggunakan dirinya sebagai model terbaik. Kasturi tidak pernah lekang mengusulkan kepada kebanyakan orang yang ditemuinya – daripada sekecil-kecil hinggalah kepada sebesar-besar orang – mengenai kelebihan yang dipertonoton oleh dirinya sendiri. Kepada semua, Kasturi menganjurkan sifat-sifat yang dijadikannya amalan seharian dalam hidupnya sendiri. Kasturi asyik. Memikirkan dia melakukan sesuatu yang baik dan murni, sifat Kasturi yang menjulang pelbagai kebaikan dan kehebatan manusia dengan cara menggunakan dirinya sendiri sebagai model, terus berkesinambungan.

Sehari demi sehari helaian usianya diselak Kasturi. Pada pertengahan abad, Kasturi semakin dimamah keuzuran. Kesihatannya tidak seperti sebagaimana Kasturi pada usia-usia sebelumnya. Kasturi semakin lelah dihambat degupan jantung yang semakin melemah. Kasturi semakin menunduk ditekan aliran darahnya yang menujah-nujah segenap ruang salurannya. Kasturi kian mereput dikeringkan dan dikecutkan oleh kandungan gula berlebihan yang tidak upaya dilarutkan dengan sempurna oleh anggota dalaman tubuhnya sendiri.

Bayang-bayang memenuhi ruang hidup Kasturi. Bayang isteri yang sangat jelita, baik dan sempurna di mata Kasturi semakin memudar. Bayang anak-anak, yang di mata Kasturi kelihatannya sungguh comel, bijak, mencuit rasa dan sentiasa menambat jiwa, kian membalam.

Rumah itu, istana Kasturi sekeluarga, yang sentiasa membanggakan dirinya kerana imarahnya, entah mengapa semakin mengecil dan menghimpit tiba-tiba. Harta benda, kemudahan, kesenangan dan kelebihan Kasturi yang tidak pernah mengeringkan palitan ihsan di bibirnya sehari-harian, ikut mendesak sekeliling ekor matanya. Suara-suara, hiruk pikuk sesiapa sahaja yang membahagiakan hidup selama ini, mereda tanpa dipinta.

Semuanya menghimpit, mendesak, mendesah, menyesah, merenggut sisa-sisa Kasturi, yang diharumkan namanya di luar oleh sifat dan rupanya, namun di penghujung kala, dia lalu tersedar segalanya rupa-rupanya fana.