Monday, August 27, 2007

Retrospektif

1
Mohammad Khir Toyo, Menteri Besar Selangor, kini diheret dalam polemik sejarah penubuhan UMNO. Sanggahan, terutamanya daripada pihak sebelah Johor semakin disuarakan bertalu-talu setelah dimulakan oleh Shahrir Samad yang mempersoal motif Khir. >>> Mungkin ada baiknya dokumen-dokumen sejarah dibuka kembali oleh mereka yang berpolemik itu. Think Tank Khir Toyo - khususnya Inmind - sudah tentu mempunyai asas rujukan yang sangat kuat. Jika tidak, masakan Khir berani mengundang kontroversi seperti itu.

2
Iklan radio berkenaan peranan dan jasa Tan Cheng Lock kedengarannya agak pelik. Apa sebenarnya mesej yang cuba disampaikan?

3
Akhir-akhir ini, di kampus ini, kawalan keselamatan di pintu-pintu masuk utama, kelihatannya semakin diperketat. Kerap kali juga berlaku kesesakan luar biasa sehingga menghalang lalu lintas di jalan utama di luar kampus akibat daripada prosedur kawalan pintu masuk yang tidak lancar sistemnya. Sebagai contoh, semua kenderaan yang tidak berpelekat dihentikan dan diperiksa segala kad pengenalan diri pemandu tanpa mengarahkan kenderaan itu ke ruang menunggu yang sepatutnya. Akibatnya berlaku kesesakan yang amat buruk terutamanya antara lingkungan pukul 1.45 - 2.15 petang. Kadang-kala, bila berlaku keadaan seperti itu, terasa seperti kampus ini bukan sebuah universiti, kerana kelihatannya terlalu 'tertutup' akibat daripada prosedur kawalan seperti itu. >>> Imej dan impresi awal universiti di mata komuniti selalunya bermula di pintu masuk!

Tuesday, August 21, 2007


Selamat hari lahir, Nasiha!
Everyone
loves
you!

Tuesday, August 14, 2007

Produktif

Semalam hari yang agak produktif.

Satu
berborak dengan Jeniri Amir - penulis buku bestseller - selepas agak lama tidak berhubung. Rasanya kali terakhir berbual di telefon 6 atau 7 bulan lepas. Jeniri masih seperti dia: 'over-ramah; rendah diri; kelakar; baik; jujur; berterus terang; pemurah (dapatlah saya buku terbaru beliau di pasaran secara percuma!); sangat telus! Jeniri satu-satunya orang yang mampu memalukan dan menyerbasalahkan sahabat-sahabat dengan cara paling terhormat dan sopan ! Terima kasih Sifu!

Dua
berborak panjang juga dengan Mini (Rusmin), sahabat lama di Garden Cafe. Mini senior manager brand marketing di Karangkraf. Peramah dan nakal dia tetap sama: suatu ketika dulu, dia asyik membodek dan memuji saya di laman web karangkraf. Saya kata, "Janganlah.. saya pemalu!" Dia membalas, "Tak pa la. Kawan lama!" Kami menyebut-nyebut nama Kamaruddin, sahabat lama first college. Rupa-rupanya selama ini dia berada tidak jauh dari saya!

Tiga
Berborak seketika dengan Maiza. Sementara menunggu giliran dia untuk membaca berita di TV, Maiza bercerita mengenai kawan-kawan kami. Maiza sentiasa bersemangat, sentiasa bertenaga!

Aristotle (384-322 SM)

Damin,
ada banyak sebab kenapa nama Aristotle dilihat besar. Pertama, ada kepercayaan kuat di kalangan saintis dan pemikir yang menyatakan pemikiran Aristotle sangat besar pengaruhnya kepada dunia dan ketamadunan keilmuan Islam, terutamanya dalam soal mantiq (logik). Bagaimanapun, pentafsiran dan penilaian semula yang dibuat oleh ilmuwan-ilmuwan Islam ke atas pemikiran itu dikatakan lebih besar dan penting berbanding pemikiran Aristotle sendiri. Itu persepsi umumnya.

Aristotle ialah ahli falsafah Greek yang dididik oleh Plato. Beliau merupakan guru kepada Alexander the Great. Apabila Alexander menjadi raja Macedonia (336 SM), Aristotle mengasaskan Lyceum yang merupakan komuniti untuk menjalankan penyelidikan. Selepas kematian Alexander, Aristotle meninggalkan Athens atas sebab-sebab politik dan kemudiannya meninggal dunia pada tahun berikutnya. Selama hayatnya, Aristotle menulis tidak kurang 400 buah buku meliputi pelbagai cabang pengetahuan. Bagaimanapun, penulisan beliau atas tema-tema biologi, logik dan sains politik adalah antara yang sangat menonjol dan mempengaruhi pemikiran ramai orang.

Wednesday, August 01, 2007

Tindakan

Dean, ini pandangan peribadi saya semata-mata.
Kebanyakan daripada kita mempunyai lima deria: dengar; sentuh; hidu; rasa; dan lihat. Kemudian, ada satu lagi deria bawah sedar yang jarang diperkata orang, naluri, atau intuisi. Semua deria ini merupakan nikmat dan hikmah Tuhan paling berharga kepada kita. Jalan menuju gedung pengetahuan dibuka melalui penggunaan deria tersebut secara berhukum dan bersusila. Bagaimanapun, sebelum semua deria itu boleh dimanfaatkan, kita dipertanggungjawab untuk mencetuskan tindakan terlebih dahulu. Menunggu dan berharap tanpa berbuat apa-apa tidak akan menggerakkan semua indera tersebut untuk menjadi tindakan. Tanpa tindakan, tidak ada hasil.

Tindakan adalah kunci ke arah pencapaian matlamat. Ia merupakan paduan antara rumusan akal budi dan hati dengan gerakan deria-deria yang khusus. Semua gerakan itu dicetuskan oleh hati kita yang telah tetap dengan keputusan yang telah dipilih oleh kita sendiri. Dengan kata lain, tindakan merupakan gambaran atau menifestasi kita terhadap niat, keinginan, impian dan usaha kita dalam cubaan untuk memperoleh sesuatu.
Ini seumpama kisah Mikimoto, seorang pedagang mutiara berbangsa Jepun yang berjaya. Bertahun-tahun Mikimoto memikir jalan untuk mendapatkan mutiara yang berkualiti secara mudah dan praktikal. Pada suatu hari, beliau mendengar syarahan seorang profesor universiti bernama Mizukuri. Profesor tersebut percaya bahawa mutiara terhasil akibat daripada objek luar yang terperangkap di dalam tiram. Jika objek luar itu tidak membunuh tiram, maka ia akan bertukar menjadi mutiara. Selepas itu, Mikimoto menggunakan daya imaginasinya dan menggunakan kelebihan alam semulajadi ciptaan Tuhan untuk melakukan keajaiban untuknya. Dia menyatukan objek luar ke dalam tiram dan menghasilkan mutiara terbaik. Moral kisah ini adalah: Mempunyai pengetahuan semata-mata tidak mencukupi sekiranya pengetahuan itu tidak dimanfaatkan.
Ketika seseorang melihat halangan sebagai suatu batu penghalang, pastinya seseorang yang lain menggunakannya sebagai ’batu loncatan’. Memanfaatkan itulah yang dilihat sebagai ”tindakan”.