Wednesday, December 20, 2006

Akal Budi 71 - Fakta Sejarah

Baru-baru ini apabila Presiden Hua Zong (Federation of Chinese Associations Malaysia) Lim Gait Tong, menggesa Datuk Zainuddin Maidin (Menteri Penerangan) menarik balik kenyataan beliau berkenaan pembinaan monumen untuk memperingati ahli MPAJA yang terkorban, fakta sejarah kelihatannya sekali lagi dipersoal kesahannya.
Jika tafsiran majoriti rakyat mengenai MPAJA yang kejam itu betul, maka kenyataan dan tindakbalas Hua Zong itu sangatlah dikesalkan. Sebelum ini pun isu mengenai 13 Mei 1969 turut diungkit di Parlimen sehingga menyebabkan kabinet mengulangkaji kewajaran penerbitan dan penggunaan buku hubungan etnik yang sebenarnya sudah pun dihalusi oleh pakar-pakar sebelum ini. Namun apabila pembangkang menimbulkan isu itu di Parlimen, fakta sejarah diperbetulkan walaupun belum tentu sah ia salah.
Agak menarik untuk merenung sama ada isu MPAJA dan monumen ini akan dimanipulasi dan eksploitasi sedemikian juga.

Tuesday, December 05, 2006

Akal Budi 70 - Kejiranan & Kenegaraan

Menurut laporan sesetengah media massa, Menteri Besar Johor ditanggap oleh Singapura sebagai tidak menjelaskan pendirian kerajaan negeri Johor dalam isu SJER. Sekadar makluman, Perdana Menteri Malaysia menyatakan bahawa peranan Singapura amat diperlukan dalam menyokong pembangunan wilayah selatan Johor, manakala tanggapan Singapura pula percaya Kerajaan Johor tidak menginginkan penyertaan Singapura barang sedikit pun dalam soal pembangunan wilayah tersebut.
Dalam pentadbiran kenegaraan, hal ini berhubungkait dengan beberapa dimensi, terutamanya psikologi dan siyasah. Sehingga hari ini, bidang psikologi dikatakan ditegakkan di atas prinsip bahawa struktur psikologi manusia adalah dikuasai sepenuhnya oleh fizikalnya, struktur organik dan juga struktur kebendaan. Pada masa lampau, kajian psikologi dikatakan bermula dengan spekulasi berkenaan roh. Lanjutan daripada itu, berlaku peralihan apabila tumpuan kemudiannya semakin diberikan terhadap pengkajian jiwa serta realiti yang tersimpan di sebalik kejiwaan tersebut.

Akhirnya bidang tersebut kian dikembangkan sehingga perhatian khusus akhirnya dipusatkan kepada proses-proses yang tercetus di dalam mental. Pada masa yang sama, ia turut mengambil kira aspek-aspek perasaan dan kesedaran manusia. Pada hari ini, bidang psikologi tertumpu secara lebih khusus terhadap aspek tingkah-laku manusia.

Dalam rangka kerja bidang pentadbiran pembangunan secara menyeluruh, aspek psikologi dikaitkan secara langsung dan tidak langsung terutamanya di dalam menjelaskan persoalan-persoalan yang berhubungan dengan sikap, tabiat serta tindakan yang dilakukan oleh individu apabila merangsang terhadap sesuatu perubahan misalnya.

Persoalan-persoalan seperti kekeliruan masyarakat di dalam memahami sesuatu program pembangunan contohnya memerlukan penyelesaian secara kaedah psikologi. Ini termasuklah antara lainnya, penganalisisan berkenaan kandungan serta kaedah bagaimana sesuatu program berupaya memberi keyakinan di kalangan masyarakat untuk menikmati, di samping menilai kekesanan projek-projek pembangunan yang disusun untuk kebaikan masyarakat sendiri.
Untuk sekian lamanya, psikologi memainkan peranan yang sangat berkesan di dalam membantu melancarkan perancangan serta pentadbiran pembangunan. Dalam isu persekitaran umpamanya, psikologi digunakan untuk menimbulkan kesedaran betapa menjaga kebersihan dan kemurnian alam sekitar sebenarnya merupakan tangungjawab semua manusia dan bukannya tugas yang hanya dilaksanakan oleh pihak pemerintah semata-mata.

Oleh yang demikian, sambil kaedah kitaran-semula (re-cycle) digunakan oleh jentera pentadbiran pembangunan sebagai salah satu kaedah menjaga keseimbangan eko-sistem, individu-individu di dalam masyarakat pula 'dipujuk', dididik semula dan 'diindoktrinasi' untuk melihat alam sekitar sebagai sebahagian daripada kehidupan di dunia ini. Untuk tujuan tersebut, psikologi digunakan dengan sebaik-baiknya menurut kaedah yang difikirkan sesuai oleh pihak pentadbir pembangunan.

Dengan menggunakan kaedah psikologi, pentadbiran pembangunan dapat mengesan serta mengenal pasti kecenderungan semulajadi manusia terhadap sesuatu benda. Dengan mengkaji punca-punca kecenderungan tersebut, maklumat-maklumat berkenaan akan membantu kerajaan khususnya untuk merangka sesuatu tindakan yang bersesuaian dengan kehendak serta penerimaan masyarakat. Sebagai contoh, ketika kerajaan berusaha keras untuk membina reputasi yang menyakinkan bagi pertumbuhan ekonomi sesebuah negeri, beberapa soal psikologi – seperti mendapatkan keyakinan rakyat tempatan dan asing – menjadi pertimbangan utama, terutamanya sekiranya sesebuah negeri itu telah tercalar reputasinya oleh insiden-insiden tertentu yang membawa kesan negatif dari sudut ekonomi.

Ini dialami misalnya oleh Johor dalam hubungannya dengan pelanggan-pelanggan berpotensi dari Singapura. Laporan kejadian jenayah yang berterusan dilancarkan oleh media Singapura – terutamanya dengan kenyataan-kenyataan media Republik tersebut bahawa rakyat Singapura sering menjadi sasaran peragut, perompak dan penculik – dikatakan menjejaskan ekonomi Johor yang mengakibatkan kehilangan pendapatan kira-kira RM225 juta. Ekoran itu, kerajaan negeri Johor menghantar delegasi ketua-ketua jabatan agensi keselamatan dan pelancongan negeri untuk menanamkan keyakinan rakyat Johor bahawa: (1) Johor selamat bagi pelancong; dan (2) kenderaan-kenderaan Singapura bukanlah sasaran penguatkuasaan Majlis Bandaraya Johor Baru. Lihat laporan “Group to woo back Singaporeans”, New Straits Times, January 3, 2006, halaman 4.