Tuesday, October 31, 2006

Akal Budi 48 - Tuhan merahmati Malaysia

Paparan akhbar-akhbar perdana negara ini kelmarin (30 Oktober 2006) mengenai isu Tun Dr Mahathir yang diulas oleh beberapa orang politik tentu meresahkan banyak orang walaupun ada kemungkinan ia sudah dijangka. Dalam sifat budaya politik negara ini yang unik sejak sejarah negara ini tertulis, kemelut seperti itu seperti boleh dibaca kesudahannya. Pertama, bangsa Melayu- komponen utama yang memberi corak kepada aliran kepemimpinan politik negara ini - akan terus menunjukkan struktur segmentasi yang jelas bepandukan falsafah dan konsep penaung-yang dinaungi (patron-client). Kedua, sentimen politik semasa akan berubah-ubah menurut pemimpin situasi (situational leaders) yang akan memperguna segala macam kaedah dan kesempatan yang ada untuk memancing simpati dan budi rakyat. Ketiga, perang propaganda dan lobi-melobi akan menular kepada penggunaan teknologi dan kaedah psikologi terkini yang tidak akan mengecualikan pemanipulasian unsur-unsur kemanusiaan, keagamaan, dan kemasyarakatan menerusi periklanan (cetak dan elektronik). Dalam keadaan seperti ini, kebiasaannya cubaan membunuh watak - character slaying - akan berterusan selama mana dirasakan perlu.

Pada saat-saat seperti sekarang ini, kebenaran dan kesalahan dilihat tidak mempunyai titik perbezaan yang sangat jelas, kecuali kalau hati sememangnya mahu mendapatkan sama ada kebenaran atau kesalahan itu, seperti kata Jalaludin Al-Rumi,

There is a field beyond all notions of right and wrong. Come, meet me there.”

Monday, October 30, 2006

Akal Budi 47 - Mengundang memori

Sepuluh hari yang lalu diisi dengan pelbagai acara yang menyesak. Jika boleh, semua hal mahu diliputi. Namun bak kata sesetengah orang yang rajin memikir, nostalgia sebenarnya tidaklah diperlukan sangat-sangat. Kasih dan sayang yang mengiringi setiap nostaligia itu yang seharusnya tinggal dan tidak luput.
Eidulfitr memang memberi peluang itu.

Thursday, October 19, 2006

Akal Budi 46 - Sahabat Lama

Hari ini berbual dengan seorang sahabat lama, Hasnah di telefon. Hasnah sahabat lama di SMDB Taiping. Baik seperti sejak tahun 1985 dahulu. Bagi kami yang pada waktu itu amat rapat dalam sekumpulan kami beberapa orang - yang lain termasuk Yazid, Kamal, Lan, Wan, Zarina, Maria, Sham, Fauzi - pengalaman itu tidak datang-datang lagi selepas tahun 1982 apabila kami meninggalkan kawasan persekolahan buat selama-lamanya.
Yazid kini di Shah Alam. Own juga di Shah Alam. Kamal di Taiping. Lan juga di Taiping. Wan? Tada maklumat. Sham, khabarnya di Ipoh. Fauzi, kali terakhir kami bertemu di Sri Manjung. Hasnah, di Kamunting.

Akal Budi 45 - Nikmat

Surah Al-Rahman (55) (78 ayat) menarik terutamanya kerana manusia diasak dengan soalan yang sama berulang-kali oleh Allah (swt).
Soalan itu,
"Maka, nikmat yang mana satukah yang diberikan oleh Tuhanmu yang engkau hendak dustakan?"
Soalan itu ditanya sebanyak 31 kali.
Hal ini datang kembali ke fikiran kerana pada setiap kali saya akan pulang menziarahi ibu mertua - di Seberang Jaya - pada setiap kali itu jugalah Imam masjid, Ustaz Ramli, membacakan surah itu, terutamanya pada setiap solat Subuh.
Kemaskini 30 October 2006, 8.18am
Rupa-rupanya Ustaz Ramli tidak lagi mengimami makmum di Masjid Seberang Jaya. Beliau kini di Surau Jalan Tuna.

Tuesday, October 17, 2006

Akal Budi 44 - Ranking of Universities

Pandangan Profesor Khoo Kay Kim dan Tan Sri Murad mengenai penarafan universiti versi The Times Higher Education Supplement (THES) yang disiarkan media cetak (NST Malaysia) kelmarin (16 Oktober) memberi beberapa segi pemikiran yang berguna. Prof Khoo melihat keadaan itu sebagai sesuatu yang antara lain bersifat perseptif, relatif dan selektif. Ia tidak lebih daripada sekadar pandangan khusus agensi; tidak lebih daripada sekadar perbandingan umum dan bersegmen agensi; dan tidak lebih daripada kaedah terpilih-pilih disebabkan oleh beberapa batasan yang menyukarkan agensi penarafan itu untuk mengambil kira semua kriteria secara berimbang, misalnya dalam soal nisbah pengajar-pelajar dan soal bahasa. Kesimpulannya, Prof Khoo berasa semuanya bermula dengan semangat dan falsafah industri yang sememangnya menguasai iklim akademik universiti sedangkan sebelum ini dunia ilmiah universiti itulah yang memberi corak dan rupa kepada industri.

Monday, October 16, 2006

Akal Budi 43 - Curiga

Permintaan Presiden Gerakan supaya kerajaan menjelaskan bagaimana pengiraan 18.9% pemilikan harta/ekuiti Bumiputera dibuat oleh EPU memang menarik. Walaupun permintaan itu disambut dengan positif oleh Timbalan Perdana Menteri, namun tindakan Presiden Gerakan itu menimbulkan sedikit persoalan berkenaan semangat perikatan dalam konteks kerajaan dan sistem kabinet negara Malaysia. Falsafah kerjasama melalui perikatan antara beberapa parti antara lainny adalah bertujuan untuk menyelesaikan persoalan-persoalan dalam persekitaran yang terkawal dan difahami - seperti dalam mesyuarat mingguan kabinet yang diadakan biasanya pada hari rabu - dan bukannya menggunakan media, terutamanya dalam soal-soal yang dianggap genting kepada kerajaan seperti dalam isu pemilikan ekuiti antara komuniti di dalam negara ini.

Akal Budi 42 - Mengenai Pekerjaan

Sewaktu menghadiri majlis ilmu baru-baru ini, salah seorang tetamu bercakap mengenai kesusahan dan kesukarannya melaksanakan pekerjaan kerana dihimpit oleh kesesakan hidup. Antara lain, katanya dia 'terpaksa'bekerja berat selama berpuluh-puluh tahun untuk menyara kehidupan.
Terfikir dengan hal itu, saya teringat mengenai apa yang Al-Ghazali pernah ungkap dalam salah sebuah kitab tulisannya,
"Bagi seseorang untuk mengatakan 'bekerja untuk hidup adalah satu beban dan kesukaran' merupakan sesuatu yang sangat tidak sejajar dengan tanggungjawab manusia menerima hakikat kehidupan manusia. Seseorang sepatutnya menyerahkan rancangan kepada perancang; kerajaan kepada raja; dan kemudian berkata, sebagaimana Saidina Umar (r.a) berkata, 'Saya tidak peduli sama ada saya miskin atau kaya, kerana saya tidak tahu yang mana satukah antaranya yang baik untuk diri saya'."

Thursday, October 12, 2006

Akal Budi 41 - Dr Lim Teck Ghee

Lanjutan daripada kenyataan memohon maaf Mirzan Mahathir, Dr. Lim Teck Ghee, sarjana ekonomi, membuat keputusan meletakkan jawatan. Tindakan itu khabarnya sebagai tanda pendirian Dr. Lim yang mempertahan hasil penemuan kajian ASLI yang diheboh-hebohkan itu. Keputusan Dr. Lim memang baik dan kena pada tempat dan masanya. Sekurang-kurangnya pendirian beliau itu dapat memaklumkan secara nyata perkara yang dipertahankannya. Tindakan ini amat sukar dilihat berlaku dalam masyarakat negara ini. Ada beberapa kemungkinan. Pertama, individu-individu takut hilang kuasa atas desakan hedonisme dalam diri mereka; dua, mereka gusar hilang perhatian penaung-penaung politik dan orang-orang besar; ketiga, mereka mengelakkan kesusahan kerana mengundur bermakna mereka terpaksa memanjat tangga kejayaan sekali lagi. Tesis teori Maslow mengenai hirarki keperluan manusia nampak agak jelas juga di sini. Sekurang-kurangnya umum mengetahui apa pendirian sesetengah pihak berhubung pemilikan ekuiti Bumiputera.

Wednesday, October 11, 2006

Akal Budi 40 - ASLI

ASLI mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai laporan yang dihasilkan oleh institut itu baru-baru ini mengenai pemilikan ekuiti Bumiputera. Kemungkinan agenda senyap sentiasa ada, khususnya kalau penganalisis merenung hal itu dengan teliti. Kesilapan pengumpulan data bukanlah satu isu. Formula mengira juga bukanlah isu kerana penganalisis yang cekap dan cermat dapat mengesan bahawa yang salah sebenarnya penglompokan kategori, bukannya formula kiraan. Sebab itulah perlu diambil kira juga pemilikan bukan Bumiputera. Bacalah dan renung analisis pemikiran Dr. Zainal, prunding ekonomi berwibawa baru-baru ini. Tentu akan lebih faham.

Akal Budi 39 - Hedonisme

Ini reaksi saya kepada soalan Hilmi.
Secara umum, 'hedonisme' (hedonism) disentuh oleh teori-teori awal dan diikut oleh teori-teori yang lebih kontemporari mengenai motivasi. Prinsip asas hedonisme adalah "individu akan lebih cenderung untuk mencari keseronokan, namun sangat berhati-hati dan sentiasa cuba mengelak kesakitan dan ketidakselesaan." Dalam keadaan sebegitu, hedonisme mengandaikan perilaku yang mereka sedari sewaktu mereka membuat sebarang keputusan atau pilihan untuk kegunaan masa depan. Konsep hedonisme ini dikesan pada awal-awal zaman kefalsafahan Greek dan disentuh secara khusus oleh ahli-ahli falsafah seperti Bentham, Locke, Mill dan Helvetius.
Hari ini, hedonisme lebih kerap dirujuk sebagai fahaman dan perilaku individu-individu yang terlalu melebih-lebihkan keduniaan secara konsisten. Kebanyakan aspek kehidupan pada hari ini dikaitkan dengan hedonisme. Ini termasuklah misalnya bidang-bidang politik, ekonomi dan sosial.

Monday, October 09, 2006

Akal Budi 38 - Budaya Akademik

Membaca tulisan (di sini) seorang ahli akademik tempatan yang sedang bertugas di sebuah negara luar, ada beberapa perkara yang perlu difikirkan dengan lebih dalam. Pertama, kegiatan penyelidikan yang diberi banyak tafsiran dan keutamaan; kedua, governans akademik di universiti-universiti; ketiga, budaya keilmuan di kalangan ahli akademik tempatan yang dikatakan tidak menyokong kegiatan-kegiatan keilmuan; keempat, strategi penyelidikan dan pengembangan disiplin di kalangan ahli akademik; dan kelima, pendekatan dan pemikiran perdana khususnya di Barat mengenai usaha-usaha keilmuan baru.
Apa yang barangkali tidak disentuh oleh penulis itu adalah soal teras dan kefalsafahan keilmuan yang menjadi persoalan penting dalam pembangunan mana-mana masyarakat. Tanggapan dan andaian bahawa seseorang akan terus terpelajar, dan kemudian 'berilmu' sebaik sahaja menyertai arus perdana usaha-usaha keilmuan Barat (atau resapan kapitalisme) - khususnya melalui penyelidikan-penyelidikan besar - adalah penyakit sebenar yang ditanggung oleh masyarakat dewasa ini. Pusat-pusat pengajian tinggi dan aspek-aspek governansnya tidak terkecuali. Ini tentunya perlukan pemikiran dan renungan semula.

Friday, October 06, 2006

Akal Budi 37 - Mandat rakyat

Malam kelmarin, televisyen - melalui rancangan berita pada pukul 8 - menayangkan sedutan wawancara (atau sidang akhbar) antara Perdana Menteri dengan para jurnalis sesudah suatu mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sendiri.

Satu daripada soalan yang dikemukakan adalah kurang lebih, sama ada Pak Lah bersedia untuk melaksanakan pilihanraya umum lebih awal. Apabila ditanya oleh Pak Lah, "Untuk apa?", jurnalis berkenaan menjawab, "Untuk mendapat mandat?"

Soalan seperti itu mungkin amat melukakan hati perdana menteri. Saya fikir seperti ada riak-riak kejutan dan kesedihan yang terpamer di wajah perdana menteri waktu itu. Sama ada soalan seperti itu beretika atau apa, saya tidak pasti. Cuma tertanya-tanya bagaimana agaknya sentimen umum di kalangan para jurnalis mengenai hal itu kerana ia menyangkut juga soal-soal keikhlasan hati dan kesantunan dalam mencari reaksi dan berita, terutamanya daripada perdana menteri, ketua kerajaan.

Thursday, October 05, 2006

Akal Budi 36 - Negara Maju

Perdana Menteri, Pak Lah mengatakan bahawa negara ini akan memajukan bidang teknologi angkasa dalam usaha untuk menjadikan negara ini maju dan mampu bersaing dengan negara-negara lain yang sudah pun maju sekarang ini (berita).
Ketika berucap merasmikan Pusat Angkasa Negara di Sungai Lang, beliau berkata, “Untuk bersaing dengan negara-negara maju, saya percaya kita perlu menguasai pelbagai cabang sains dan teknologi yang ada termasuk teknologi angkasa.’’
Ada pandangan - seperti di kalangan ahli ekonomi dan futuris - menyebutkan bahawa kejayaan dan kegagalan sesebuah negara dalam bersaing antara satu sama lain sangat bergantung kepada pertumbuhan. Dengan itu, menambaikbaik taraf dan kualiti hidup menjadi syarat paling asas - namun sangat utama - dalam memberikan isyarat awal kepada kejayaan negara. Jika syarat ini sukar dipenuhi, masyarakat mungkin akan terus memikir apa perlunya menghantar angkasawan menyertai misi penjelajahan, seperti yang berlaku sekarang. Dan soalan paling asas kemungkinannya 'kenapa bersaing dengan negara maju?' akan terus ditanyakan.

Wednesday, October 04, 2006

Akal Budi 35 - LKY

Surat balasan yang dikirimi Kuan Yew kepada Perdana Menteri Malaysia sudah pun ditatap rakyat negara ini. Kandungannya mengesahkan kenyataan sebelum ini, bahawa LKY tetap juga LKY: bongkak, jahat & berdendam kesumat. Rakyat tahu LKY memang bencikan Tun Dr Mahathir. Sebelum itu, dua-tiga pemimpin negara ini yang silam juga menjadi sasaran kebencian beliau kerana disifatkannya sebagai 'ultra-Malay' (dalam kebongkakan beliau yang tidak berasa sedikit pun bahawa dia merupakan 'ultra-Chinese').
LKY semakin bongkak kerana ada parti politik di negara ini pun ikut berkongsi sentimen dan dendam yang sama. Tidak pernah ada kesyukuran sedikit pun di hati mereka ini betapa negara sekecil Malaysia ini sangat bertuah. Inilah sebenarnya 'mentaliti kelas ketiga' yang menyusahkan negara ini.

Tuesday, October 03, 2006

Akal Budi 34 - Melayu 2020

Agak menarik juga membaca kenyataan akhbar menteri berkaitan apabila beliau menyatakan negara ini akan mempunyai generasi masyarakat perdagangan & perindustrian Bumiputera (MPPB) dalam erti kata sebenar menjelang 2020. Dengan kata lain, sejak MPPB itu disebut-sebutkan sekian lama, belum ada erti sebenar yang difahami mengenai MPPB itu. Satu soalan yang memang ramai menunggu tanda-tanda dan jawapannya adalah 'bagaimana agaknya keadaan Melayu pada tahun 2020' itu. Antara lain, soalan-soalan berikut mungkin releven kerana Melayu 2020 itu nanti akan dipengaruhi secara langsung dan/atau tidak oleh : (1) demografi Melayu; (2) Alam sekitar & politi Melayu negara dan rantau ini; (3) Perdagangan dan ekonomi negara; (4) teknologi - pereka dan penggunanya; dan (5) kerajaan dan bentuk masyarakat yang diwatakkan. Lagi pun, 2020 itu tidaklah terlalu jauh jaraknya dari sekarang, cuma 14 tahun.

Monday, October 02, 2006

Akal Budi 33 - Pemilihan UMNO

Khusus menjawab pertanyaan Rahimi.
Saya memohon maaf kerana pertanyaan itu tidak sesuai untuk saya yang menjawabnya. Pertama, ia di luar skop perbincangan di blog ini. Kedua, saya tidak berada di kedudukan yang sepatutnya untuk mengulas soal tersebut kerana isu itu tidak begitu mengenai secara langsung topik-topik akademik sebagaimana menurut aliran pemikiran di blog yang khusus ini, lebih-lebih lagi memikirkan status saya yang non-partisan. Saya fikir, saudara boleh membaca pandangan yang khusus yang disuarakan oleh penulis blog lain, seperti artikel yang terkini tulisan Datuk A. Kadir Jasin di blog beliau.

Akal Budi 32 - Mentadbir Bandar

Saya ikuti dengan teliti pengumuman kerajaan mengenai penubuhan Lembaga Kemajuan Bandar (LKEB) yang akan mengambilalih peranan UDA. Difahamkan lembaga tersebut akan memainkan peranan utama dalam menambah penyertaan Bumiputera dalam perniagaan di bandar-bandar.

Sambil menantikan maklumat yang lebih banyak berkenaan terma-terma rujukan bidang tugas LKEB itu, saya fikir LKEB tentunya memerlukan sokongan dan kerjasama baik daripada agensi-agensi lain yang turut mengongsi matlamat yang kurang lebih sama dengan LKEB, terutamanya mungkin Dewan-Dewan Perniagaan Melayu.